Punca penyakit asma masih belum diketahui dengan tepat. Ketahui siapa yang berisiko dan adakah ia boleh dicegah dari awal.
Asma mungkin bermula pada awal usia, sewaktu sistem imun masih berkembang. Ciri-ciri tertentu pada sistem imun seseorang boleh menjadikannya lebih terkesan kepada alergen atau virus. Oleh itu, pendedahan kepada beberapa alergen atau virus boleh mencetuskan perubahan dalam sistem imun ke arah penyakit asma dan alahan.
Memandangkan asma ditemui dalam ahli keluarga yang sama, beberapa ciri penting sistem imun mungkin berada dalam bentuk genetik. Walau bagaimanapun, gen sebenar yang berkaitan dengan asma masih belum diketahui.
Meskipun punca penyakit asma masih menjadi kajian, terdapat beberapa faktor risiko yang didapati berkait rapat dengan kejadian penyakit asma.
SEBELUM KELAHIRAN
Ibu Merokok
Kanak-kanak mempunyai risiko asma yang lebih tinggi jika ibu merokok semasa mengandung. Kesannya dalam dilihat setelah mereka dilahirkan. Pada usia dua tahun, kanak-kanak ini 40% lebih cenderung mengalami nafas berdehit (wheezing) dan 85% lebih cenderung untuk mengalami asma.
Antara umur lima hingga 18 tahun, mereka adalah 52 % cenderung untuk mengalami nafas berdehit dan 23% lebih cenderung untuk mengalami asma. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap sewaktu dalam kandungan mengalami penurunan fungsi paru-paru sepanjang hayat.
BAYI DAN KANAK-KANAK
Alahan
Ads
Alergen adalah salah satu daripada dua faktor risiko yang paling penting terhadap penyakit asma. Alahan berkembang selepas seseorang terdedah kepada alergen. Bentuk-bentuk biasa alergen adalah hama debu, lipas, dan kulat. Alergen merangsang sistem imun anda membuat antibodi.
Antibodi penting untuk melawan jangkitan berbahaya. Walau bagaimanapun, ia juga menyebabkan tindak balas alahan terhadap perkara-perkara yang tidak berbahaya, seperti hama debu atau haiwan. Apabila alahan telah tercetus, pendedahan berterusan kepada alergen boleh menyebabkan asma.
Satu kajian meneliti risiko penyakit asma pada kanak-kanak berusia enam tahun yang mengalami alahan semasa berusia tiga tahun. Berbanding dengan kanak-kanak tanpa alahan, keputusan menunjukkan bahawa risiko asma adalah:
Lebih daripada 9 kali lebih tinggi dalam kanak-kanak dengan alahan anjing.
Hampir 4 kali lebih tinggi dalam kanak-kanak dengan alahan kucing.
Hampir 3 kali lebih tinggi dalam kanak-kanak dengan alahan hama debu atau kulat.
JANGKITAN VIRUS DAN NAFAS BERDEHIT
Jangkitan virus adalah faktor risiko utama lain terhadap penyakit asma. Kanak-kanak yang nafas berdehit ketika mengalami selesema lebih cenderung berbanding yang tidak berdehit untuk mengalami asma ketika mereka berumur enam tahun. Dua virus selesema biasa yang dikaitkan dengan asma ialah RSV (respiratory syncytial virus) dan HRV (human rhinovirus).
RSV adalah jangkitan virus biasa yang menyebabkan selesema. Bayi yang mempunyai jangkitan RSV mempunyai simptom yang kelihatan seperti asma. Satu pertiga daripada kanak-kanak yang mendapat jangkitan RSV mengalami nafas berdehit secara berterusan. Ini kemungkinan besar berlaku jika salah seorang ibu bapa mempunyai asma.
Ads
HRV sering menyebabkan selesema biasa, dengan simptom yang menjejaskan hidung, tekak, dan paru-paru. Kanak-kanak yang nafas berdehit semasa menghidap selesema adalah hampir 10 kali ganda lebih berkemungkinan mengalami asma berbanding yang nafas tidak berdehit.
PENDEDAHAN KEPADA ASAP ROKOK
Kanak-kanak yang membesar dalam rumah dengan perokok menghadapi peningkatan risiko nafas berdehit dan asma. Bagi kanak-kanak berumur dua tahun yang ibunya merokok, risiko nafas berdehit kira-kira 70% lebih tinggi dan risiko asma adalah 20% lebih tinggi berbanding mereka dengan ibu yang tidak merokok.
Akibat daripada penghidu asap rokok secondhand boleh memberi kesan walaupun setelah dewasa. Satu kajian menunjukkan bahawa mereka yang terdedah kepada asap rokok secondhand sewaktu kanak-kanak hampir dua kali ganda berisiko menghadapi asma berbanding orang lain.
FAKTOR PENCETUS LAIN
Faktor lain boleh meningkatkan risiko asma, walaupun kaitannya tidak jelas. Contohnya termasuklah:
Pencemaran udara
Diet tidak sihat
Penggunaan antibiotik berlebihan
Pendedahan kepada perengsa (irritants)
Tekanan hidup yang berterusan
Ads
ASMA BAGI MAMA & PAPA/ ORANG DEWASA
Merokok
Sukar untuk mengkaji sama ada merokok menyebabkan asma pada orang dewasa, tetapi kebanyakan kajian menunjukkan bahawa kedua-duanya saling berkait. Dalam tempoh sepuluh tahun, merokok adalah faktor risiko asma bagi orang dewasa yang mengalami alahan pada hidung (allergic rhinitis/hay fever). Asma lebih kerap berlaku dalam perokok tegar berbanding perokok ringan. Berbanding dengan bukan perokok, perokok yang menghisap 1-10 tahun pek (tahun pek= bilangan pek rokok/hari x tahun) adalah dua kali ganda berkemungkinan mengalami asma bahkan mereka yang mempunyai sejarah lebih 21 tahun pek berisiko sebanyak lima kali ganda.
Alahan
Sesetengah asma muncul pada masa dewasa kerana alergen dan kerengsaan (irritants) di tempat kerja. Tukang cuci, jururawat, pekerja fabrik dan petani yang kerap terdedah kepada kerengsaan di tempat kerja lebih cenderung mengalami asma. Dalam keadaan lain, pendedahan besar-besaran terhadap kerengsaan yang tinggi, seperti tumpahan toksik, telah dilaporkan menyebabkan asma. Mereka yang hidup di rumah yang mempunyai tahap kerengsaan yang tinggi, seperti sebatian organik juga mempunyai risiko asma yang lebih tinggi.
Obesiti
Selama beberapa tahun sebelum ini, obesiti dan asma kelihatan meningkat bersama-sama. Kaitan antara keduanya tidak diketahui. Obesiti boleh menyebabkan perubahan saluran udara yang menyebabkan sesak nafas. Orang yang berat badan berlebihan juga mungkin mudah mengalami keradangan yang membawa kepada masalah dengan saluran pernafasan.
Belajar pelbagai bahasa sebenarnya dapat meningkatkan kepekaan/IQ dan meningkatkan tumpuan atau fokus kanak-kanak.
Ibu bapa mana yang tak mahu anak kuasai lebih dari satu bahasa. Sebolehnya nak anak-anak pandai sekurang-kurangnya 2 bahasa. Namun ada Ibu bapa yang mengelak daripada menggunakan banyak bahasa kerana risau akan mengelirukan anak-anak mereka sekiranya menggunakan banyak bahasa serentak. Bagaimana caranya nak ajar anak lebih dari satu bahasa? Ikuti perkongsian ini
Kalau tengok IG saya suka tengok lG Hanis Zalikha. Bukan tengok dia. Tapi seronok tengok anak dia.
Petah dan comel berkeletah.
Budak besar-besar ni, selain pipi, kepetahan diorang pun boleh jadi aset. Kan? Lagi pulak bila muka Melayu tapi speaking. Comel je!
Dulu bermimpi juga nak anak-anak saya speaking London macam Peppa Pig tu. Tapi apakan daya, cubaan sering gagal bertahan. Kadang tu, adalah 10 minit cuba speaking. Lepas tu dah tercakap Melayu balik.
Tak keliru ke budak-budak kejap cakap BM, kejap cakap BI? Jawapannya yang saya dapat dari sebuah ensiklopedia tentang otak,
TAK, KALAU :
🧠 Kita ajar dwibahasa sebelum usia anak 12 tahun 🧠 Kita bercakap 11 juta patah perkataan setahun untuk satu bahasa. Ini untuk dapatkan tahap petahlah! 🧠 Strategi yang betul. Kalau kejap BM, kejap BI, kejap speaking Ghombau, kejap speaking Ganu, rasanya jiran sebelah dengar pun confuse.
Kenapa umur 0-12 tahun?
Sebab, waktu tu, bahagian otak yang bernama Wernick & Broca sangat aktif. Wernick & Broca adalah bahagian otak yang aktif berhubung, bila kita cuba cakap pelbagai bahasa. Especially dwibahasa.
WERNICK adalah bahagian otak yang bekerja untuk bantu kita memahami maksud sesuatu ayat.
BROCA area pula digunakan semasa bercakap. Ia akan membantu menjana arahan untuk menyusun ayat.
Tu sebab kita tengok anak yang dah biasa dwibahasa dari kecik, diorang jadi senang nak belajar bahasa lain. Bahagian otak yang 2 ni dah aktif dari kecik.
Kalau dah lepas 12 tahun baru nak belajar, boleh aje. Cuma bahagian otak ni dah tak seaktif masa kecik. Macam nak lentur buluh bila dah jadi rebung. Keras sikit.
Nak ikut accent tu yang paling susah. Nak cakap Perancis, keluar nahu Ganu. Allahu.
Jadi, kalau ada anak bawah 12 tahun ni, jangan putus asa. Teruskan usaha. Biasakan 2 bahasa dulu. Dah power nanti, tambahlah bahasa apa-apa, insya Allah ok.
STRATEGI NAK ANAK PETAH SPEAKING.
1️⃣ Strategi OPOL.
OPOL bermaksud, ‘One Parent, One Language’. Kena buat keputusan, siapa nak cakap BM, siapa nak cakap BI. Tak apalah level BI kita tak setinggi Oxford. Tapi cubalah jangan campur-campur.
2️⃣ ML@H
Yang ini biasa diguna oleh orang yang duduk luar negara. Anak kat sekolah dan dengan kawan-kawan cakap English / Arab/ bahasa komuniti. Tapi kita kat rumah je bertutur Bahasa Melayu. Contoh.
3️⃣ T&P (Time & Place)
Dalam seminggu tu, kita boleh pilih hari apa untuk kita isytiharkan ‘Speaking Day’. Contohnya hari Jumaat je ke. Atau setiap hari, waktu bermain bersama (bonding time) je kita ‘speaking’.
Kalau anak korang dah terer nanti, insya Allah cerah peluang mereka nak belajar luar negara. Seterusnya pulang bawa jodoh orang luar negara. Tiber.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahukah anda bahawa haiwan peliharaan sebenarnya boleh menjadi sesuatu perkara yang dapat membantu perkembangan seorang kanak-kanak? Ya, anda mungkin pernah mendengarnya tetapi adakah anda pernah melihatnya sendiri?
Hakikatnya, haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, hamster, ikan, burung dan pelbagai lagi jenis haiwan lain bukan sahaja perlu dipelihara kerana penampilannya yang comel dan manja itu. Ia malahan akan membantu dalam perkembangan anak anda.
Selain daripada cara pemakanan, teknik pengasuhan dan pelbagai lagi aspek yang dapat membantu perkembangan si kecil, haiwan peliharaan juga sebenarnya adalah termasuk dalam salah satu daripada aspek-aspek tersebut.
Manfaat membela haiwan peliharaan buat kanak-kanak
Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa terdapat banyak manfaat membela haiwan peliharaan buat kanak-kanak. Kadangkala, kita sendiri pun tidak terfikir langsung mengenai manfaat tersebut.
Berikut merupakan manfaat-manfaat tersebut:
#1. Ajar anak berdisiplin
Kanak-kanak akan belajar tentang disiplin sepanjang memelihara haiwan kesayangan mereka. Contohnya, mereka perlu mengetahui cara penjagaan haiwan yang betul seperti waktu memberikan haiwan makan, waktu tidur haiwan dan juga waktu memandikan haiwan peliharaan.
Dengan cara ini dapat membantu mereka mengetahui peraturan-peraturan yang perlu diikuti sepanjang menjaga haiwan. Itulah juga yang akan diterapkan dalam kehidupan harian mereka nanti.
#2. Semai rasa tanggungjawab
Haiwan peliharaan memerlukan perhatian dan penjagaan daripada individu yang membela mereka. Hal ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan rasa tanggungjawab dalam kalangan kanak-kanak terutama semasa peringkat awal kehidupan mereka.
Contohnya, kanak-kanak akan mempelajari waktu yang sesuai untuk memberikan haiwan kesayangan mereka makan, bermain dan menguruskan kelengkapan mereka. Selain itu, mereka juga belajar menjadi seorang yang penyayang dan bersifat belas kasihan kepada haiwan.
Sikap bertanggungjawab kepada makhluk lain ini secara tidak langsung turut disemai dalam diri mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.
#3. Tingkat keyakinan diri
Sikap tanggungjawab yang disemai kelak dapat membantu meningkatkan keyakinan diri kepada kanak-kanak. Contohnya, jika mereka sudah pandai memberikan makanan atau minuman kepada haiwan kesayangan, anak anda akan menganggap itu sebagai suatu pencapaian untuk mereka.
Tambahan pula jika ada yang memuji haiwan mereka comel atau lain-lain ucapan yang positif. Bagi mereka itu adalah suatu kejayaan memandangkan merekalah yang menjaga haiwan tersebut.
#4. Rangsang kemahiran motor
Interaksi dengan haiwan peliharaan akan membuatkan kanak-kanak bergerak lebih aktif dan cergas. Jika memelihara haiwan peliharaan, masa anak anda akan terisi dengan perkara lain selain daripada televisyen dan gajet. Kanak-kanak juga akan terdorong untuk lebih banyak bergerak sekali gus dapat meningkatkan lagi kemahiran motor mereka.
#5. Belajar benda baharu
Semasa memelihara haiwan, kanak-kanak akan turut berminat untuk mengetahui segala hal berkenaan haiwannya. Contohnya, bagaimana untuk menjaga bulu haiwan, bagaimana untuk membiakkan haiwan, bagaimana untuk menjaga haiwan yang sakit dan sebagainya.
Hal ini akan membuat minda seorang kanak-kanak lebih berkembang untuk memahami kitaran hidup haiwan kesayangan mereka sekali gus meluaskan lagi pengetahuan mereka.
#6. Sebagai penghibur hati
Di kala suka, duka atau marah, kanak-kanak pasti akan mendapatkan haiwan peliharaannya dulu bagi menceritakan perasaannya. Menurut kajian, haiwan mempunyai aura yang membawa rasa ketenangan kepada manusia.
Selain itu, haiwan peliharaan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada anak anda tetapi juga akan memberi manfaat kepada anda. Tidak percaya dengan penyataan ini? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.
Manfaat membela haiwan peliharaan buat ibu bapa
Tahukah anda bahawa haiwan peliharaan juga mampu menjadi terapi buat individu dewasa. Jadi, tidak hairanlah jika satu keluarga itu akan sentiasa kekal sihat dan gembira jika mereka ada membela haiwan peliharaan di kediaman mereka.
Berikut merupakan manfaat-manfaat tersebut:
#1. Mengurangkan tekanan
Paling penting, haiwan peliharaan dapat mengurangkan tekanan buat ibu bapa setelah penat seharian bekerja. Masa yang diluangkan bersama haiwan peliharaan akan melepaskan endorfin. Ini mempunyai kesan menenangkan pesakit dan mengurangkan tahap tekanan. Ini sangat bermanfaat untuk pesakit yang mengalami demensia atau gangguan lain.
Pesakit yang menghidapi penyakit-penyakit tersebut boleh menjadi tertekan dan kecewa apabila mereka tidak dapat berkomunikasi dengan orang atau tidak dapat menyatakan idea atau perasaan mereka. Walau bagaimanapun, mempunyai haiwan peliharaan membolehkan pesakit membina ikatan yang kuat dengan haiwan peliharaan mereka.
Ini sekali gus dapat mengurangkan tekanan, kesunyian, kebimbangan dan mengurangkan simptom-simptom yang dialami mereka.
#2. Mengurangkan risiko kemurungan
Selain itu, haiwan peliharaan dapat mengurangkan perasaan terasing atau keseorangan, yang akhirnya akan membawa kepada kemurungan. Ia mungkin membantu anda membuat kawan baru atau berbual dengan individu lain semasa membawa haiwan kesayangan anda bersiar-siar di luar rumah.
Terapi haiwan peliharaan secara perlahan akan mendorong pesakit untuk mendapatkan hubungan sosial yang lebih. Haiwan adalah makhluk penyayang yang menawarkan keselesaan dan jaminan kepada pemiliknya. Terdapat sesuatu yang menyegarkan secara semula jadi mengenai kucing anda ketika anda memeluknya di pangkuan anda.
Dengan memelihara haiwan kesayangan, anda tidak lagi akan berasa bersendirian. Ini sekali gus akan mengurangkan risiko kemurungan.
#3. Mengurangkan risiko tekanan darah tinggi
Penghidap tekanan darah tinggi mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat penyakit jantung, terutamanya buat mereka yang sudah berusia. Masa yang diluangkan dengan haiwan kesayangan didapati dapat menurunkan tahap tekanan darah. Ini akhirnya memainkan peranan aktif dalam menurunkan risiko masalah jantung dan masalah koronari yang lain.
Pesakit dengan tekanan darah mendapat manfaat daripada terapi haiwan peliharaan dan mungkin akan menjalani kehidupan yang lebih panjang dan sihat.
#4. Memperbaiki emosi
Kajian mendapati bahawa individu yang terlibat dalam interaksi positif dengan haiwan mempunyai tahap “berasa baik” yang lebih tinggi berbanding penggunaan bahan kimia seperti dopamin dan serotonin.
Ya, bahan-bahan ini memang dapat membantu mengawal mood, menghalang kemurungan, mengurangkan kebimbangan dan membantu kekal tenang dalam situasi yang tertekan. Namun terapi haiwan peliharaan ini akan lebih membantu seseorang berasa “selamat”, dihargai dan mampu untuk bebas meluahkan emosi mereka.
Pendek kata, berinteraksi dengan haiwan boleh merangsang ketawa lalu mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan pada orang yang kehidupannya telah diliputi oleh penyakit yang melibatkan emosi.
#5. Meningkatkan aktiviti fizikal
Selain emosi, membela haiwan kesayangan juga dapat meningkatkan tahap kesihatan fizikal anda. Terapi haiwan peliharaan menawarkan anda dan individu tersayang berkenaan cara untuk meningkatkan aktiviti fizikal.
Dengan membawa haiwan peliharaan bersiar-siar di luar rumah, ia akan memberi peluang untuk anda melakukan senaman. Ia sekali gus meningkatkan kemahiran motor dan menggalakkan pergerakan bebas. Mengendalikan haiwan comel anda secara fizikal dapat mengurangkan risiko ketegangan dan kesakitan sendi-sendi dalam badan.
Ini terbukti sangat bermanfaat bagi pesakit yang mengalami penyakit yang melemahkan seperti artritis. Ini membantu mengekalkan kekuatan dan kelenturan.
Jadi, sudahkah anda memutuskan untuk membela haiwan peliharaan? Jika ya, ada sesuatu perkara lagi yang perlu anda fikirkan dan putuskan iaitu haiwan apakah yang paling sesuai untuk dipelihara oleh anda sekeluarga?
Haiwan peliharaan apa yang paling sesuai buat anda sekeluarga?
Memelihara haiwan kesayangan sememangnya akan mendatangkan banyak manfaat baik dari segi fizikal mahupun mental kepada seisi keluarga anda. Ia dapat membantu anak anda untuk belajar ilmu berharga mengenai bagaimana untuk menjaga makhluk hidup selain membantu anda untuk menepis segala masalah emosi.
Selain itu, melalui sikap mengambil berat terhadap haiwan juga, anak anda akan belajar tentang sikap kebertanggungjawaban serta kebergantungan. Sesetengah haiwan peliharaan juga amat membantu dalam mengelakkan kesunyian dan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh itu, mari kita lihat haiwan peliharaan apa yang selamat dan sesuai dipelihara oleh anda seisi keluarga.
#1. Kucing
Siapa sahaja yang tidak suka kepada haiwan yang comel tetapi malas ini, bukan? Sesungguhnya, kucing sudah pasti akan menjadi pilihan utama untuk dipelihara kanak-kanak tanpa mengira latar belakang. Tiada siapa mampu menafikan kecomelan dan kegebuan tubuh badan mereka.
Berbeza dengan anjing, kucing adalah lebih berdikari jadi mereka tidak berapa memerlukan perhatian keterlaluan daripada individu yang membelanya. Ini kerana kebanyakan kucing menghabiskan banyak masa mereka untuk tidur sahaja di dalam rumah terutamanya pada waktu siang.
Pun begitu, kucing masih memerlukan rutin pemeriksaan ke veterinar atau pusat jagaan haiwan untuk mendapatkan imunisasi tahunan. sekiranya keluarga anda mempunyai ruang rumah yang terhad, kucing adalah pilihan terbaik untuk mengajar anak anda mencintai haiwan dan berkawan dengannya.
Antara baka kucing terbaik untuk dipelihara oleh anda termasuklah:
Baka Abyssinian – merupakan baka kucing yang mesra dan gemar bergaul
Baka American Shorthair – kucing berbulu dan berkaki pendek yang mudah bergaul dengan haiwan lain
Baka Birman – sangat mudah untuk dijaga
Baka Burmese – sangat lembut dan manja
#2. Ikan
Ikan adalah pilihan terbaik untuk kanak-kanak dan juga ibu bapa yang gemarkan sesuatu yang mudah dan tenang. Dengan melihat ikan berenang di sekeliling akuarium atau kolam, ia dapat membantu mengurangkan stres dan memberikan anak anda mengenal mengenai jenis-jenis ikan.
Walau bagaimanapun, anda perlu mencari ikan yang senang untuk dibela seperti ikan emas supaya anak kecil anda boleh bersama-sama membantu anda menjaga ikan tersebut tanpa membuat kacau-bilau.
Ikan emas dianggap sebagai salah satu spesies ikan yang mudah membiak kerana ia suka memencil dan tidak memerlukan ruang yang terlalu besar. Anda juga tidak perlu menyediakan aerator, penapis, pemanas, atau bahan kimia untuk menjaga mereka. Paling penting, ia adalah membawa tuah jika mengikut kepada kepercayaan masyarakat Cina.
#3. Tikus
Nanti, usah anda terkejut terlebih dahulu. Tikus di sini bukanlah bermaksud haiwan perosak yang selalu merosakkan atau mengotorkan kawasan rumah anda. Tikus yang dimaksudkan adalah tikus bersih yang sangat comel untuk anda bela.
Tikus adalah pilihan yang baik untuk kanak-kanak yang berumur lebih daripada 5 tahun. Ia adalah lebih kecil, mudah dijaga, mampu dimiliki, dan tidak memerlukan perhatian yang keterlaluan.
Antara contoh tikus yang boleh dibela termasuklah tikus belanda, hamster dan gerbil. Disebabkan kebanyakan tikus hanya memerlukan ruang tinggal yang kecil, ia adalah haiwan peliharaan yang sesuai buat anda yang tinggal di ruang kediaman yang sedikit sempit.
Kajian juga menunjukkan bahawa mereka boleh menjadi haiwan peliharaan yang bagus kerana kelincahan, kebijaksanaan, dan kemesraan mereka kepada individu yang membela mereka.
#4. Iguana
Buat ibu bapa yang gemarkan kelainan, apa kata jika anda membela iguana di rumah sebagai haiwan peliharaan? Ya kebanyakan individu mungkin akan mengatakan reptilia ini adalah berbahaya buat kanak-kanak. Pun begitu, ia adalah tidak benar kerana haiwan ini sebenarnya boleh dijinakkan.
Iguana adalah sejenis cicak yang unik untuk dijadikan haiwan kesayangan yang hebat. Syaratnya, anda perlu menjinakkannya terlebih dahulu dengan pengendalian yang lembut dan konsisten sehinggalah ia dewasa.
Oleh itu, jika anda mahu membelanya, pastikan anda sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan ia di dalam sangkar terlebih dahulu sehingga anda benar-benar pasti bahawa ia telah jinak sepenuhnya sebelum membiarkan anak anda bermain dengannya.
Bagaimana jika anak anda atau anda mengalami alahan?
Ada sesetengah individu yang mengalami alahan terhadap sesuatu jenis haiwan seperti kucing, anjing dan lain-lain. Ini merupakan tindak balas terhadap protein yang terdapat dalam sel kulit, air liur atau air kencing haiwan.
Bulu atau rambut haiwan tidak mempunyai banyak alergen – bahan penyebab alahan tetapi ia boleh memerangkap debunga, debu, kulat, dan pelbagai alergen lain yang terdapat dalam ruangan udara. Alergen adalah bahan yang biasanya tidak berbahaya namun mampu mencetus sistem imun untuk bereaksi berlebihan pada individu yang mengalami alahan.
Jika anda mengalami alahan terhadap haiwan peliharaan dan tindak balas alahan anda tidak mengancam nyawa, terdapat banyak cara untuk mengurangkan alergen dalam rumah dan simptom alahan supaya anda dan haiwan kesayangan anda dapat hidup bersama dengan lebih selesa. Jika mengancam nyawa pula, anda perlu segera mendapatkan rawatan doktor.
Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan simptom alahan anda?
Elakkan diri anda daripada punca alahan yang lain seperti pemakanan dan persekitaran
Uruskan rumah anda agar ia tidak memerangkap alergen
Uruskan haiwan peliharaan anda dengan baik agar ia tidak menyimpan alergen
Dapatkan rawatan pakar jika alahan sudah teruk
Konklusi
Konklusinya, anda sekeluarga digalakkan untuk membela haiwan peliharaan di rumah anda. Pun begitu, keputusan terletak di tangan anda sepenuhnya. Terutamanya, pertimbangkan semula jika anda atau ada ahli keluarga yang lain mengalami masalah alahan haiwan yang teruk.
Hakikatnya, membesar dengan haiwan peliharaan akan mencipta pelbagai memori yang menyeronokkan dan tidak mudah dilupakan oleh kanak-kanak kerana haiwan peliharaan amat menyayangi tuan mereka jika anda melakukan yang sama juga terhadap mereka.
Sekiranya anda berhasrat untuk memberikan anak anda haiwan peliharaan, ajarlah anak anda untuk menjaga kelakuan dan sentiasa ambil berat mengenai keperluan haiwan peliharaan mereka dengan baik.
Paling utama, memilih jenis haiwan peliharaan adalah keputusan seisi rumah. Oleh itu, fikirkan tentang keadaan tempat tinggal anda sebelum bersedia untuk membawa ‘ahli keluarga’ baru ke dalam rumah anda.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ameera Zaini berkongsi tips bagaimana dia telah berjaya wean off atau menghentikan penyusuan susu ibu kepada anak. Mudah rupanya tapi ibu mesti konsisten dan cekal.
Bagi ibu yang menyusukan anak, memang agak sukar untuk memutuskan penyusuan susu ibu. Ini kerana penyusuan susu ibu bukan sekadar memberikan susu tetapi ia melibatkan ikatan emosi antara ini dan anak.
Ameerai berkongsi tip di Instagram tentang caranya memutuskan penyusuan susu ibu dengan anaknya, Mateen yang kini berusia 2 tahun 2 bulan.
Sebelum ini Ameera mengakui yang dia sudah pun menggunakan pelbagai cara untuk menghentikan penyusuan kepada Mateen.
Selalunya apabila masuk ke dalam kereta Mateen akan meminta susu. Apa yang dilakukan pengacara ini ialah buat-buat menangis dan sakit. Kata nak pergi jumpa doktor. Tak lama kemudian anaknya tertidur sendiri.
Selalunya Mateen akan cuba memujuk Ameera untuk menyusu dengan perlahan, tak mahu ibunya sakit.