Penyakit asma usah dipandang enteng. Ada yang mengalami serangan ringan. Ada juga yang diserang sehingga terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ikuti pengalaman mama ini yang mengakui tersalah anggap terhadap kemampuan dan kekuatan serangan asma terhadap anak keduanya. Ikuti kisahnya
“Mama masih ingat, kali pertama dimasukkan ke wad hospital ialah ketika kamu baru berumur lima bulan. Ketika itu, ada jangkitan kuman di dalam paru-paru. Puncanya, kamu demam dan ada selesema juga. Mengenang kembali saat itu, selepas sembuh demam, kamu berterusan mengalami batuk berkahak, selalu sesak nafas, bernafas dengan laju dan dada berlekuk.
Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor pakar sahkan kamu positif menghidap asma di usia masih bayi. Diikutkan di sebelah keluarga mama, atuk, nenek, adik–beradik mama dan diri mama sendiri memang menghidap asma. Sungguh tidak sangka, kamu turut sama mewarisi penyakit itu.
Sepanjang usia bayi sehingga akhir-akhir ini, kamu terlalu kerap diserang asma. Seingat mama, dalam sebulan, dua atau tiga kali kamu dikejarkan ke hospital semata-mata untuk menyedut gas menggunakan nebulizer di wad kecemasan hospital ataupun klinik kesihatan, bergantung kepada keadaan asma yang kamu hadapi ketika itu.
Jika mama dan papa terlambat membawa kamu ke hospital atau klinik setiap kali diserang asma, ia akan menjadi punca kamu ditahan di wad. Menurut doktor, ia terpaksa dilakukan kerana sering didapati oksigen di dalam badan kamu berkurangan dan paru-paru juga menjadi sempit.
Berdasarkan sejarah hidup, paling lama kamu pernah ditahan di wad adalah selama 10 hari. Namun, pada hari ke-11 ketika di rumah, kamu tercungap-cungap semula kekurangan oksigen. Tanpa berlengah mama dan papa pergi semula ke hospital lain untuk menyambung rawatan.
Sejak dahulu, kalau diserang asma, kamu perlu sedut gas menggunakan nebulizer. Doktor ada bekalkan inhealer untuk digunakan setiap hari ketika kamu berada di luar hospital, tetapi bila keadaan makin teruk, pam itu tidak dapat membantu memperbaiki corak pernafasan kamu. Makanya, terpaksalah kamu dilarikan ke hospital untuk menyedut gas menerusi nebulizer.
Kamu seorang yang sangat aktif. Jika terlebih lakukan aktiviti sukan atau sekadar bermain bersama adik-beradik, nafas kamu mudah menjadi laju. Sebab itu, mama selalu pantau dan kawal aktiviti kamu.
Doktor tidak pernah sarankan apa-apa supplemen untuk mengurangkan penyakit asma, tetapi mama dan papa pernah memberi kamu mencuba beberapa jenis supplemen luar termasuklah berubat secara tradisional. Dengan alternatif itu, kamu berjaya bertahan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan. Tetapi selepas itu, asma tetap menyerang juga. Ada kalanya lebih teruk daripada kebiasaannya.
Keadaan terkini kamu semakin kritikal sehingga dimasukkan ke ICU baru-baru ini. Doktor pakar jelaskan, asma kamu bukan biasa. Beliau minta mama dan papa lebih kerap memantau keadaan kamu. Jika diserang asma, mama dan papa tidak boleh sekadar merawat kamu di rumah. Kamu perlu segera di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dahulu mama anggap asma hanya penyakit biasa. Selepas sedut gas atau makan pil, keadaan akan kembali normal. Bila lihat sendiri keadaan kamu di hadapan mata semasa paru-paru tersekat tanpa ada apa-apa pernafasan, barulah mama sedar ia sesuatu yang sangat serius! Lebih bahaya jika oksigen tidak sampai otak.
Apa-apa pun, mama sentiasa doakan kamu, Muhammad Nufail Rafiqi bin Nasrudin, agar diberikan kesihatan berpanjangan dan dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain. Tambahan lagi, tahun hadapan kamu akan memasuki alam persekolahan. Mama dan papa berjanji akan menuruti nasihat doktor untuk sentiasa mengawal dan memantau keadaan kamu dari semasa ke semasa.”
Mama,
Siti Noor Taqwa Binti Yusof
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI