Pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkongsi khabar berita apabila isterinya, Neelofa sudah selamat melahirkan anak lelaki pada Sabtu, tepat jam 3.44 petang.
Menerusi kenyataan media, mereka memilih Muhammad Bilal Muhammad Haris sebagai nama anak sulungnya itu.
“Assalamualaikum. Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya.
“Isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor sudah selamat melahirkan putera sulung pada 29 Januari lalu, jam 3.44 petang.
“Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat. Kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dengan itu, Haris dan Neelofa meluahkan rasa penghargaan atas doa dan ingatan yang diberikan kepada mereka sekeluarga.
“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan bersyukur atas doa dikirim anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah menimang cahaya mata.
“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri, tahun lalu, mohon titipkan juga doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami mampu menjadi khalifah dan memberikan kebaikan kepada agama serta negara,” katanya.
Pasangan ini juga memohon maaf tidak dapat berkongsi gambar permata hati mereka buat masa ini.
Terdahulu, Haris dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu.
Kredit: Berita Harian
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)