Mendidik anak kecil bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ada kalanya kita rasa sudah cukup sempurna mendidik dengan cara kita sendiri. Namun orang luar yang memandang sebaliknya cuba mengkritik cara didikan kita.
Jangan tertekan atau down dengan kata dan pandangan orang sekeliling. Kita dengan cara kita demi untuk memastikan anak kita berada di landasan yang baik ketika proses membesarnya.
Ibu Rose-Mesejnya Kasih tampil berkongsi permasalahan semacam ini. Namun katanya apa yang paling penting sekali adalah elakkan mengambil kisah dan asyik mendengar pandangan orang lain. Itulah yang sebaiknya.
TERTEKAN KERANA DIKATAKAN TIDAK PANDAI MENDIDIK ANAK.
Ibu.. saya merotan anak saya yang berusia 3 tahun berpunca dari rasa tidak tahan mendengar anak menangis berpanjangan sedangkan sudah dipujuk. Menangis pula tanpa sebab.
Hati bertambah marah bila datuknya menyebut kerana saya ibunya tak pandai mendidik anak maka anak jadi begitu. Menangis tanpa alasan. Saya jadi tertekan. Tertekan dengan kerenah anak tertekan dengan sikap ibu bapa sendiri yang dirasa tak memberi sokongan.
Apa harus saya buat ibu? Saya merotan tapak kakinya. Mencubit pipinya. Saya dah berusaha menjauhkan diri dari mendekati anak bila tidak berupaya memujuk. Tujuan saya untuk mengelak diri dari bertindak keterlaluan.
Tetapi bila saya dikata tidak pandai mendidik hanya kerana anak tidak dapat dipujuk, saya jadi marah. Dan melepas kemarahan kepada anak saya.
Jawapan Ibu;
Ramai ibu bapa terperangkap di dalam keadaan seperti ini. Tertekan dengan apa yang orang lain kata mengenai diri kita dan anak-anak kita.
Anda perlu faham, adakalanya kita perlu pekakkan telinga dengan tohmahan seperti ini. Walaupun ia datang dari orang yang kita hormat dan sayang. Kerana kita perlu ingat, anak kita adalah tangung-jawab kita. Oleh itu kita perlu tenang mengimbangkan keadaan.
Anak-anak kecil tidak akan menangis tanpa sebab. Itu puan perlu yakin. Inilah yang salahnya. Cepat sangat menuduh anak itu menangis kerana sengaja hendak menangis. Sedangkan mungkin dia resah.
Mungkin dia nampak apa yang kita tidak nampak dan dia takut. Mungkin dia sakit…oleh itu TOLONGLAH jangan cepat sangat menuduh anak kecil itu menangis tanpa sebab.
Ingat anak kecil tidak akan menangis tanpa sebab. Begitu juga kita yang sudah dewasa dan datuk nenek yang sudah tua!
Kedua, jika anak menangis bukan lah dia jahat atau kerana kurang didikan. Bila anak menangis adalah kerana dia mahu menyampaikan sesuatu permintaan dan telah rasa kecewa kerana apa yang dia ingin sampaikan tidak dapat difahami. Maka berusahalah untuk memahami dan menyelidik punca tangisan itu.
Maaf ya, Ibu perlu katakan di sini, mungkin dia rasa sedih bila orang merasakan dia anak yang manja, suka buat hal dan suka menyusahkan orang. Anak-anak kecil boleh merasakan apa yang terdetik di dalam hati kita orang dewasa.
Mereka tahu siapa yang mereka rasa selesa dan siapa yang tidak. Ambil saja anak itu dan layan serta peluk dia sehngga dia rasa selamat. Puan perlu tenang dan tidak perlu terikut dengan moodnya.
Ketiga, jika anak puan selalu menangis bukanlah itu bermaksud puan seorang ibu yang gagal mendidik anak puan. Dan BUKAN bermaksud puan seorang ibu yang bodoh!
Ya, puan memang belum tahu semua benda, namun puan bukan bodoh dan bukan ibu yang gagal. Puan hanya belum mahir dan sekarang ini sedang berusaha memahirkan diri.
Maafkanlah ibu bapa puan yang belum memahami. Namun, jangan jadi ibu yang tidak memahami anak-anak puan pula kerana mereka. Bila mereka mengatakan kepada puan perkataan yang menhiris hati, senyumkan saja dan ingatlah bahawa adakalanya puan juga pernah menyusahkan mereka dahulu.
Kemungkinan besar mereka hanya mahu menasihati. Dan berkemungkinan juga puan tersilap faham maksud mereka.
Dan niat mereka hanya mahukan puan lebih bijak. Maka berusahalah untuk menjadi lebih bijak mendidik anak-anak puan. Belajar, baca buku, baca, bincang, bertanya, membuat kajian dan hayati ilmu yang diperolehi. Dan yang penting dan tertinggi, mohon petunjuk dari Allah.
Apa-apa pun yang pasti jangan dilakukan ialah merotan dan memukul anak hanya kerana dia menangis dan malu dengan orang lain yang tidak memahami apa yang anak kita itu sedang bertarung di dalam dirinya.
Pesan Ibu kepada para datuk dan nenek, bijak dan kawallah perkataan kita. Kita ini adalah contoh kepada anak-anak kita yang sedang mendidik anak-anak mereka.
Elakkanlah melemparkan kata-kata yang bakal merungsingkan perasaan mereka dan menjadikan mereka lagi susah menjadi ibu bapa yang baik. Bimbing dengan positif. Mereka akan menghargai kita.
Dan cucu kita yang sekarang ini kecil dan banyak kerenah, bila kita memberi mereka tunjuk ajar dengan sabar dan penuh memahami mereka, mereka pula akan lebih menghormati dan sayang kepada kita.
Jika umur kita dan umurnya panjang akan sampai suatu masa nanti cucu kita lah yang akan memimpin tangan dan mungkin mengangkat kita kerana kita pada ketika itu tidak kuat lagi dan dia sudah dewasa dan kuat. Dia pula akan sabar dengan kelemahan kita pada masa itu.
Dunia ini sfera dan bergerak dimana yang sekarang ini di atas akan berada di bawah suatu hari nanti. Hidup kita di dunia ini ibarat roda kata orang.
Hanya Allah yang mengetahui.
Salam kasih,
Ibu Rose
Artikel berkaitan: Tak Perlu Jadi Ibu Terbaik Setiap Masa, Ada Waktunya Menyinga & Baran, Itu Normal Mama
Nak relaks, jom cuci mata di SINI.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)