Asyik Melompat, Berlari, Minta Nak Main Basikal Antara Perkembangan Normal Anak 1-5 Tahun

Share

Tanggungjawab ibu bapa semakin besar seiringan dengan peningkatan usia anak. Ini apa yang perlu anda fahami berkaitan perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Kredit: Freepik

Perkembangan fizikal kanak kanak

Istilah kanak-kanak kecil atau toddler, biasanya merujuk kepada anak yang berusia lingkungan 1 hingga 5 tahun. Malah, kebanyakan daripada kita menganggap akhir usia bagi kanak-kanak kecil adalah apabila mereka bersedia untuk beralih ke alam prasekolah.

Jika terfikir tentang kanak-kanak berusia 3 atau 4 tahun, pasti terbayang betapa aktifnya mereka menggunakan kemahiran baru, bercakap dan meneroka dunia. Tidak dinafikan adakalanya akan timbul kekeliruan mengenai perkembangan dan aspek keperluan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Berikut antara 3 perkara asas yang di kongsi oleh Hello Doktor yang perlu anda ketahui semasa membesarkan anak kecil.

#Titik pencapaian dalam pendidikan awal kanak-kanak

Semakin anak membesar, kemahiran dalam diri mereka juga akan bertambah. Seperkara yang perlu anda fahami, apa yang dikongsikan di bawah bukanlah kemahiran khusus kepada anak. Namun ia adalah untuk membantu anda mengetahui kemahiran apa yang mungkin dapat dikembangkan seorang kanak-kanak pada usia ini.

Kemahiran komunikasi

  • Secara konsisten menggunakan 2-3 frasa perkataan
  • Sekurang-kurangnya 50% pertuturan difahami ibu bapa/penjaga
  • Dapat mengikuti 2 arahan tidak berkaitan, seperti “Berikan Mama bola itu dan pakai kasut”
  • Faham mengenai ‘milik saya’ dan ‘milik awak’
  • Bertanyakan ‘apa’ dan ‘di mana’, faham soalan ‘mengapa’

Kemahiran motor kasar

Kemahiran yang menggunakan otot besar – kaki, lengan, tubuh dan leher.

  • Melompat dengan kedua-dua kaki
  • Naik dan turun gelongsor
  • Mengayuh basikal beroda tiga
  • Berjalan naik turun tangga dengan sebelah tangan dipegang
  • Berjalan menggundur

Kemahiran motor halus

Kemahiran yang menggunakan otot kecil – tangan dan jari.

  • Menyusun mainan blok
  • Memegang krayon dengan jari
  • Boleh memotong menggunakan gunting
  • Melukis garisan menegak, mendatar atau bulatan

Kemahiran berdikari

Antara kemahiran penting dalam pendidikan awal kanak-kanak untuk mengajar anak melakukan sesuatu dengan sendiri.

  • Menggunakan sudu dan garfu walaupun tertumpah
  • Membasuh dan mengeringkan tangan dengan pemantauan
  • Memberus gigi dengan bantuan
  • Menggunakan tandas secara konsisten walaupun ada beberapa kali bocor
  • Berpakaian dan menanggalkan pakaian dengan bantuan
  • Meletak barang sendiri, bantu membersihkan rumah dan membuang sampah

Kemahiran kognitif

Melibatkan kemahiran mental seperti berfikir, belajar dan menyelesaikan masalah

  • Terlibat dalam permainan bertukar watak (pretend) dan imaginatif
  • Memadankan bentuk
  • Memahami konsep ‘saya’
  • Bermain bersama rakan sebaya
  • Menyusun warna
  • Mengenal pasti bahagian badan dan fungsinya
  • Melengkapkan susun suai gambar 3 – 4 keping

#Memahami perkembangan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak

Ketika bayi memasuki tahun kedua kehidupan, mereka akan lebih bebas dan mempunyai keinginan untuk meneroka segalanya yang boleh dicapai.

Kebanyakan anak kecil sudah boleh berjalan apabila mencapai usia 1 tahun 6 bulan.

Si manja juga akan mula belajar bercakap, mengenal pasti dan meniru individu di sekeliling mereka serta dapat mengikuti arahan mudah.

Semua ini boleh dianggap sebagai proses pendidikan awal kanak-kanak.

Semakin meningkat usia, anak anda akan belajar mengekspresi lebih banyak emosi, bercakap dalam frasa dan ayat.

Mereka akan menggemari permainan mudah, lagu dan irama, mula mempelajari mengenai warna, bentuk dan abjad.

Seperti span, anak akan menyerap segalanya dan mengingatnya dengan mudah.

Namun, seperkara jangan dilupakan, anak anda masih memerlukan kuantiti tidur malam antara 10 hingga 12 jam bersama tidur siang.

#Keperluan nutrisi anak

Memberi anak kecil makan adakalanya boleh mendatangkan kekecewaan.

Mungkin ketika berusia 6 bulan, anda boleh menyuapkan si kecil dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan.

Namun apabila mereka semakin membesar, segalanya berubah. Anak akan lebih memilih atau cerewat dalam soal makan. Malah mereka mungkin makan dalam saiz hidangan lebih sedikit.

Pemakanan kanak-kanak

Usah bimbang, anda tidak keseorangan dalam hal ini, kerana keadaan itu boleh dianggap sebagai normal dan dialami oleh kebanyakan ibu bapa.

Apa yang penting, berat badan si kecil tetap bertambah dan aspek perkembangan fizikal kanak-kanak adalah normal.

Berikut antara cadangan yang boleh anda cuba untuk memastikan anak mendapat nutrisi yang diperlukan:

Elak paksa anak makan

  • Sediakan hidangan makanan utama dan snek sihat
  • Bersikap fleksibel terhadap penerimaan anak kepada makanan baharu. Jika mereka menolaknya pada kali pertama, cuba lagi dalam tempoh beberapa hari atau minggu
  • Realistik tentang jumlah pengambilan makanan anak
  • Galakkan anak makan buah-buahan
  • Elak menggunakan pencuci mulut sebagai ganjaran
  • Jadikan makanan mudah untuk dimakan, seperti dipotong dalam saiz kecil dan bertekstur lembut

Paling utama, ketika memberi anak makan, anda perlu sentiasa memantau dan memastikan mereka duduk ketika makan.

Ini penting untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa