Semasa hamil, setiap tubuh anda memerlukan penjagaan yang rapi kerana hormon kehamilan akan membuatkan anda melalui banyak perubahan. Tidak terkecuali, gigi! Ibu hamil sering terlepas pandang akan penjagaan mulut mereka, terutamanya gigi dan gusi.
Disebabkan kurang penjagaan pada bahagian oral, jadi, tidak hairanlah mengapa ramai wanita yang mengalami masalah gigi dan gusi semasa sedang hamil. Masalahnya, jika perkara ini berlaku, akibatnya bukan hanya ditanggung oleh ibu hamil sahaja, sebaliknya bayi dalam kandungan turut menerima kesan buruk.
Ads
Risiko kepada kandungan
Tahukah anda bahawa perubahan dan peningkatan hormon semasa hamil akan menyebabkan tubuh bertindakbalas dengan plak, iaitu lapisan bakteria yang ada pada gigi. Oleh itu, amat mudah untuk ibu hamil mendapat sakit gigi jika kebersihan gigi tidak dijaga dengan baik. Sistem imunisasi badan ibu akan lemah apatah lagi jika ibu mengalami sakit gigi berserta jangkitan batuk ataupun demam. Proses jangkitan yang dialami pada badan ibu bukan sahaja akan melemahkan ketahanan tubuhnya, bahkan juga boleh menyebabkan bakteria yang menyerang gigi merebak kepada janin anda.
Ads
Ibu hamil yang mengalami sakit gigi berisiko mendapat keguguran, kelahiran bayi pramatang dan bayi mati dalam perut. Bayi yang lahir juga akan mengalami masalah kurang berat badan.
Jadi, jangan pandang remeh jika anda mengalami masalah sakit gigi semasa hamil. Segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.
Ads
Penjagaan gigi semasa hamil
Penjagaan gigi yang betul dengan bantuan daripada doktor gigi akan menjadikan gigi anda kekal sihat walaupun semasa anda sedang mengandung. Bagi mengelak dan mengurangkan risiko anda daripada mengalami masalah sakit gigi semasa hamil, ikuti langkah-langkah di bawah:
Teruskan amalan penjagaan gigi semasa hamil.
Patuhi amalan kebersihan oral untuk mengelakkan atau mengurangkan masalah kesihatan mulut dan gigi.
Kurangkan makan makanan yang manis. Anda perlu menggosok gigi setiap kali selepas mengambil makanan manis.
Amalkan diet yang sihat dan seimbang. Gigi pertama bayi anda akan mula tumbuh semasa tiga bulan pertama kehamilan. Jadi, ambillah makanan yang mengandungi produk tenusu, keju dan yogurt yang amat baik untuk penghasilan gigi, gusi dan tulang yang sihat.
Jika perlu mendapatkan rawatan gigi, jumpa doktor obstetrik anda dahulu. Doktor akan memberikan nasihat tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh ibu hamil- termasuklah dari segi penerimaan ubat-ubatan semasa rawatan gigi.
Beritahu doktor gigi anda tentang kehamilan anda terutamanya jika anda masih lagi berada di trimester pertama. Doktor akan memberi nasihat tentang rawatan yang selamat untuk ibu hamil.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesetengah wanita mengandung mungkin akan merasa gatal-gatal pada kemaluan, ia sering berlaku. Ada yang tidak serius, tetapi terdapat sesetengah kes rupanya ibu hamil tersebut dijangkiti fungal.
Apakah itu jangkitan fungal dan adakah ia sesuatu yang serius? Dr Zubaidi Hj Ahmad ada berkongsi tentang hal ini di laman Facebooknya.
Kegatalan pada kemaluan bermakna rasa tidak selesa, rasa mahu digaru dan adakalanya pedih di bahagian kemaluan luar (labia majora dan minora). Selain itu terdapat juga lendiran dari faraj yang berwarna putih, seperti susu basi. Adakalanya mendatangkan ketidakselesaan ketika melakukan jima’ dan rasa pedih dan terbakar ketika kencing.
Namun begitu jangkitan fungal pada kemaluan ketika hamil mendatangkan kerisauan kepada ibu yang hamil dari aspek keselamatan ubat yang digunakan dan keselamatan bayi yang dikandungkan.
“Salam doktor…saya sedang hamil 28 minggu. Saya menghadapi masalah keputihan dan apabila kering berwarna kekuningan dan berbau. Sebelum ini saya telah mengambil ubat yang dimasukkan ke dalam faraj ketika kandungan berusia 3-4 bulan. Apa yang perlu dilakukan?”
Jangkitan fungal (yeast infections) juga dikenali sebagai monilial vaginitis atau vaginal candidiasis, disebabkan oleh fungal Candida albicans. Memang terdapat beberapa fungal secara semulajadi di faraj, tetapi jika ia membiak dengan banyak dan dalam kadar yang laju ianya akan mendatangkan masalah.
Ketika hamil, hormone estrogen akan menyebabkan faraj mengeluarkan lebih banyak glycogen, menyebabkan fungal senang membiak. Estrogen juga akan menyebabkan fungal lebih senang melekat di dinding faraj.
Kadang kala wanita hamil suka melakukan douching, iaitu memasukkan air berubat (atau herba) ke dalam faraj ketika mandi. Ini akan membunuh kuman dan fungal yang baik, dan menyebabkan bacteria dan fungal yang merosakkan bertambah banyak. Pengambilan antibiotic tanpa kawalan tanpa nasihat doctor juga menyebabkan masalah yang sama, terutama jika diambil dalam jangka waktu yang lama.
“Bolehkah saya mendapatkan rawatan fungal itu dari farmasi. Saya lihat banyak krim yang dijual di sana..”
Walaupun ubat fungal banyak didapati di farmasi, pastikan anda berjumpa dengan ahli farmasi. Masalahnya pembantu farmasi yang berada di kaunter kadang kala tidak ada pengetahuan mengenai penyakit dan ubat. Berjumpalah dengan doktor supaya pemeriksaan dapat dijalankan untuk memastikan ianya benar-benar jangkitan fungal. Jangan cuba merawat diri sendiri. Kemungkinan kegatalan yang disangkakan sebagai fungal itu sebenarnya disebabkan oleh penyakit lain, seperti jangkitan kuman bakteria.
“Betul ke doktor ubat yang disumbatkan dalam faraj itu tak merbahaya?”
Bagi wanita yang hamil, saya selalu memberikan preskripsi suppository yang dimasukkan ke dalam faraj. Ianya lebih selamat digunakan ketika hamil berbanding dengan ubat tablet yang perlu ditelan, kerana ianya boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan. Ianya haruslah dimasukkan ke dalam faraj setiap hari selama seminggu berturut-turut pada waktu tidur.
Krim sapu juga boleh digunakan pada kulit kemaluan di sebelah luar, terutama jika kulit menjadi kemerah-merahan akibat jangkitan fungal yang semakin merebak.
“Tapi saya pernah mencuba suppository tu. Namun ianya berulang..”
Masalah jangkitan fungal yang berulang, bukanlah disebabkan oleh ubat yang tidak bagus. Ianya akan sentiasa berulang-ulang dan wanita itu haruslah menjaga kebersihan diri dengan lebih kerap. Ramai wanita yang tidak sabar dalam rawatan. Selepas beberapa hari, kegatalan semakin berkurang, selalunya pesakit sudah berhenti dari meneruskan rawatan. Akibatnya fungal itu akan membiak semula. Rawatan itu memerlukan beberapa hari sebelum ianya memberikan kesan.
Buat sementara jika terlalu gatal, boleh tuamkan dengan ice pack atau rendam dalam besen yang mengandungi air sejuk selama sepuluh minit. Membasuh kemaluan luar dengan air (tanpa sabun) juga akan mengurangkan kegatalan pada kemaluan.
”Doktor, boleh tak jangkitan fungal menjangkiti anak saya?”
Jangkitan fungal tidak akan memberi kesan pada bayi dalam kandungan. Namun jika terdapat jangkitan fungal pada kemaluan ibu ketika proses kelahiran, kemungkinan anak yang dilahirkan juga mengalami jangkitan fungal yang sama.
Bayi akan mendapat thrush iaitu keputihan pada sebelah dalam mulut dan lelangit dan kadang kala di lidah. Ianya tidak serius dan boleh dirawat. (Tapi perlu diingat bayi juga boleh mendapat thrush walaupun ibunya tiada jangkitan fungal di faraj)
“Doktor, saya ini kerap mengalami masalah kegatalan dan keputihan ini. Saya malu dengan suami saya. Apa yang perlu saya lakukan untuk mengelak agar tidak berulang?”
Kata kunci utama bagi mengelakkan jangkitan fungal ialah ‘kebersihan diri’. Fungal (kulat) suka tempat yang lembab. Kalau terasa gatal dan lembap, cepat-cepatlah membersihkan diri. Antara tip-tip yang boleh saya berikan ialah :
1. Pakai pakaian underwear yang diperbuat dari kapas dan elakkan menggunakan pantyhouse atau seluar yang ketat terutama diperbuat dari synthetic.
2. Lekas tukarkan pakaian yang basah akibat berpeluh selepas bersenam. Cucilah kemaluan apabila gatal.
3. Cuba tidur malam tanpa menggunakan underwear.
4. Elakkan berendam dalam air buih atau perfumed soap terlalu lama.
5. Bersihkan kemaluan luar dengan air suam. Jangan gunakan teknik douching.
6. Selalu cuci kemaluan dari depan ke belakang, bagi mengelakkan kuman dari anus boleh merebak ke faraj.
7. Mengamalkan yogurt yang mengandungi Lactobacillus acidophilus akan mengurangkan fungal yang tidak baik faraj.
#HealthDrZubaidi
Semoga dengan perkongsian dari Dr Zubaidi ini dapat memberi manfaat kepada ibu hamil yang mungkin sedang mengalami masalah ini. Yang penting, jika ada masalah begini rujuklah dengan doktor dan jangan cuba untuk merawatnya sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menghitung hari untuk melahirkan cahaya mata pertama dengan Jep Sepahtu, Sari Yanti dilihat begitu berseri-seri. Menariknya juga Sari Yanti telah diraikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya dalam satu majlis baby shower baru-baru ini.
Menerusi muatnaik di akaun Instagram (IG) miliknya, Sari Yanti cukup terharu diraikan dalam majlis tersebut dan berharap urusan bersalinnya nanti dipermudahkan.
“Assalammualaikum. Terima kasih cousins, sisters, and friends for the baby shower yesterday. Feel so much love for the thought.
“Alhamdulillah. I am thankful to have this silaturahim and will always cherish it all the way.
“Terima kasih untuk suami yang sentiasa ada dan menghargai. Terima kasih untuk sahabat sahabat baik, adik beradik dan cousins,” tulisnya.
Selain ucapan tahniah, peminat turut mendoakan agar kesihatan Sari Yanti dan bayinya sentiasa sihat.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat sudah mula menunjukkan rasa tidak sabar untuk melihat anak pasangan tersebut.
Mereka juga memuji wajah Sari yang kelihatan semakin cantik dan berseri selain mendoakan kesejahteraan artis kesayangan mereka.
Sumber: Instagram sariyanti
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri hidup. Namun tak semua yang bernasib baik untuk terus dikurniakan zuriat.
Tapi, jangan berputus asa kerana rezeki mungkin ada cuma masanya belum tiba seperti perkongsian daripada Super Daddy ini yang telah menanti 10 tahun lamanya untuk mendapatkan zuriat.
Ramai tak tahu yang aku menunggu 10 tahun untuk dapat anak pertama. Yer 10 tahun wehh.
Waktu ni aku dengan wife dah pasrah. Yelah, dah 10 tahun mencuba, segala jenis rawatan dah buat tapi tak berjaya. Padahal kami dua ok jer. Doktor dah kata takde masalah untuk dapat anak, kalau tak dapat tu maknanya tuhan tak nak bagi.
Lalu pasrahlah kami. Siap berbincang macamana kami nak mati berdua tanpa anak-anak. Syahdu betul.
Tapi, macam manapun kami tetap terus mencuba. Usaha tetap kami usaha, doa tetap kami doa walaupun dah tak letak harapan. Tapi kan, Allah dah kata, dia akan bagi pada hamba dia yang berusaha bila dah sampai masa dan ketika yang sesuai.
Pada suatu malam di bumi asing ditemani salji dengan suhu dibawah paras beku, maka lahirlah Khaleef.Gembira bukan kepalang.
So, bagi yang sedang mencuba, dah masuk 5-6 tahun, 7- 8 tahun tu jangalah berputus asa yer. Kawan aku sorang tu lagilah, dekat 20 tahun tunggu, tup-tup dapat anak. Orang ingat dia dok bawak cucu.
Aku perasan lah, antara benda yang buatkan kami berjaya dapat anak adalah dengan mengubah cara hidup.
Yelah, berubat dah, jumpa semua pakar dah, buat ujian kesuburan dah, buat prosedur suntik sperm tu pun dah, segala mak nenek dah tapi gagal, jadi ikhtiar terakhir adalah ubah gaya hidup.
Betul weh, ubah gaya hidup yang lebih sihat buatkan sistem badan kau termasuk segala benda dalam badan tu jadi lebih sihat dan kuat. Ehh bunyi macam iklan Milo pulak.
Aku ni kebetulan berhijrah dan tinggal di luar negara. Jadinya, gaya hidup dan cara hidup bertukar terus.
Dari jenis keluar subuh balik malam jadi keluar pagi balik petang. Jenis tak pernah bersenam terus jadi bersenam selalu, jenis yang makan segala benda kepada jenis makan banyak sayur dan buahan, dari yang jenis makan lewat malam kepada jenis makan sebelum maghrib.
Lepas 6 bulan, berat turun 5 kilo, pergi jumpa doktor buat full medical checkup, doktor senyum sebab semua bacaan cantik. Tubuh rasa lebih sihat dan segar, hidup pun rasa bahagia tanpa stress.
Kau tahulah kan, bila laki bini bahagia ni, happy ending jer lah. Cukup setahun lebih sikit terus mengandung.
Jadi aku nak sarankan pada yang masih mencuba untuk dapatkan anak tu, jangan mudah give up. Cubalah segala rawatan yang ada dan paling penting cuba tukar gaya hidup korang laki bini.
Sentiasa bangun awal, sentiasa tidur awal, sentiasa bersenam, jaga makan minum dan paling penting kena bahagia. Tak boleh stress sangat. Isteri jangan stress, suami jangan stress.Kena sentiasa bantu membantu dalam rumahtangga.
Suami selalu tolong isteri dan vice versa. Bagi yang duduk KL ni, stress tak pernah habis. Gaji cukup makan, kerja macam tak cukup siang. Keluar subuh balik isyak. Makan lewat malam, lepas tu letih, tidur. Dan bangun esok ulang rutin tu sampai mati. Kalau ada peluang berhijrah maka hijrahlah.
Cuba balik duduk kampung. Atau hijrah ke bandar atau pekan kecil yang lebih tenang. Hidup rileks, takde serabut keluar subuh hadap jem, balik isyak pun hadap jem lagi.
Mungkin dengan asbab hidup yang lebih tenang dan sihat, dapat banyak berbuat amal ibadat sebab banyak masa terluang, dapat banyak bersedekah sebab ada lebihan since duduk kampung kos sara hidup rendah, disamping terus berusaha dan berdoa maka Allah akan hadiahkan cahayamata seperti yang diingini.
Mudah-mudahan.
Semoga semua yang masih mencuba, akan terus mencuba tanpa jemu. Kalau tak dapat juga maka bersyukurlah dengan penuh tawaduk. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!