Ibu-ibu yang mengamalkan pengambilan herba dan jamu semasa hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat insiden anak lemas.

Ia bukan cakap kosong tetapi berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para penyelidik yang telah membuat kajian di kalangan masyakarat Melayu di negeri Kedah.

Dato’ Dr. Mohd Rushdan Md Noor, Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Jabatan Obstetriks & Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berkongsi hasil kajian tersebut sebagai rujukan semua ibu mengandung dan melahirkan anak.

AMALAN MENGAMBIL JAMU DAN HERBA SEMASA HAMIL : MANFAAT ATAU MUDARAT

Amalan mengambil jamu, herba dan kaedah-kaedah rawatan komplimentari merupakan amalan turun menurun. Walaupun keberkesanan amalan ini tidak dapat dipastikan namun ramai dalam kalangan ahli masyarakat kita yang mengamalkannya.

Adakah amalan mengambil jamu dan herba semasa hamil ini berkesan untuk menangani masalah ketika hamil dan ketika melahirkan anak? Atau adakah ianya boleh membawa mudarat?

Kajian: Ibu Yang Amalkan Herba Dan Jamu Masa Mengandung Berisiko Mendapat Insiden Bayi Lemas
Risiko bayi lemas dalam kandungan

Saya ingin berkongsi hasil kajian yang dijalankan oleh salah seorang bekas Penuntut Sarjana O&G yang pernah menjalani latihan di Jabatan O&G Hospital Sultanah Bahiyah dibawah seliaan saya.

Beliau kini sudah menjadi Pakar O&G dan Pensyarah Fakulti Perubatan UITM. Kajian beliau adalah mengenai amalan pengambilan jamu dan herba semasa hamil khususnya oleh masyarakat melayu di negeri Kedah.

Kajian dijalankan ke atas sejumlah 447 orang ibu-ibu yang hamil di Hospital Sultanah Bahiyah. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang ditemui:

IKLAN

1.Peratusan ibu-ibu yang mengamalkan pengambilan jamu ataupun herba semasa hamil adalah 85.4%.

2.Majoriti yang mengamalkan pengambilan jamu dan herba ini adalah dalam lingkungan usia 26-35 tahun

3.Majoriti (96.3%) adalah berbangsa melayu dan 68.8% adalah suri rumah

4.Alasan utama amalan ini adalah untuk tujuan memudahkan kelahiran (45.5%), tradisi turun menurun (31.1%) dan nasihat daripada ibubapa (15.4%).

Kajian: Ibu Yang Amalkan Herba Dan Jamu Masa Mengandung Berisiko Mendapat Insiden Bayi Lemas

IKLAN

5.Pengambilan herba adalah yang paling kerap diamalkan oleh ibu hamil iaitu 58.3%, diikuti dengan selusuh (24.3%), produk minuman kesihatan (11.5%), urutan, hemeopati, akupuntur dan lain-lain.

6.Jenis herba yang paling kerap digunakan adalah “akar kayu bunga Fatimah” (37.7%), diikuti dengan gamat (13.4%). Lain-lain produk adalah jamu mustika ratu, kacip Fatimah, spirulina, kopi herba tongkat ali dan sebagainya.

7.Keseluruhannya, wanita-wanita yang mengamalkan jamu dan herba ketika hamil didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami anak lemas (“fetal distress”) berbanding dengan wanita yang tidak mengamalkannya walaupun kumpulan pertama mendapat sedikit manfaat dari segi peratusan kelahiran normal.

8.Hasil kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan selusuh meningkatkan peluang untuk bersalin dengan normal dan jangkamasa bersalin yang lebih singkat oleh ibu yang pernah melahirkan anak. Pengambilan selusuh dan akar kayu bunga Fatimah tidak memberi manfaat kepada jangkamasa proses kelahiran kepada wanita yang hamil anak pertama.

9.Amalan pengambilan gamat tidak memberi apa-apa manfaat kepada ibu hamil sama ada semasa hamil ataupun semasa melahirkan anak.

IKLAN

10.Walau bagaimanapun penggambilan lain-lain herba berpotensi memudaratkan ibu yang hamil serta anak di dalam kandungan seperti contoh:

a.Pengambilan kacip Fatimah dan salindah meningkatkan risiko kelahiran tidak cukup bulan
b.Pengambilan spirulina meningkatkan risiko kekurangan air ketuban
c.Pengambilan minuman tenaga dan air tongkat ali meningkatkan risiko anak lemas dan penyakit darah tinggi
d.Jamu Mustika Ratu dikaitkan dengan kelahiran anak yang kurang daripada 3 kg

Kadar amalan pengambilan ubat herba traditional dan alternatif dalam kalangan orang melayu khususnya adalah sangat tinggi iaitu 85.4%.

Amalan menggunakan selusuh didapati dapat memendekkan jangkamasa proses kelahiran anak walaupun hanya kepada ibu-ibu yang pernah hamil, manakala untuk anak pertama selusuh dapat meningkatkan kadar kelahiran normal. Berkemungkinan selusuh dapat memberi rasa tenang dan mengurangkan stress kepada ibu.

Keseluruhannya, ibu-ibu yang mengamalkan pengambilan herba dan jamu semasa hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat insiden anak lemas (“fetal distress”) berbanding dengan ibu-ibu yang tidak mengamalkannya.

Pengambilan jamu dan herba dalam bentuk makanan atau minuman termasuk herba, gamat, akar kayu, spirulina, Jamu, Kacip Fatimah, air bertenaga, tongkat ali dan lain-lain LEBIH BAIK DIELAKKAN kerana di samping belum ada bukti manfaatnya, sebahagian daripada amalan ini mempunyai risiko ke atas ibu dan anak di dalam kandungan seperti tekanan darah tinggi, anak tidak cukup bulan, kekurangan air ketuban, anak lemas dan berat badan anak yang lebih rendah.

Terdapat kajian lain yang menunjukkan bahawa ibu yang mengamalkan herba ketika pantang mempunyai anak yang berisiko lebih tinggi menghidap jaundis (kuning) (2).

Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan untuk mendapat keputusan yang lebih tepat termasuk kesan jangka panjang amalan ini oleh ibu hamil dan ibu yang di dalam pantang.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI