Awas mama papa, cepat bertindak kalau anak mula tunjuk 8 tanda ini. Itu tanda anak sedang alami tekanan perasaan yang tinggi!
Tidak hanya orang dewasa, anak juga tidak terkecuali untuk mengalami tekanan perasaan atau stres. Cuma bezanya kanak-kanak tidak pandai untuk meluahkan. Jadi mama dan papa kena sentiasa perhatikan tanda-tandanya.
Jangan pandang remeh kalau anak mula menunjukkan masalah emosi ini. Ia jika ditangani dari awal boleh mengelakkan daripada mengganggu perkembangan anak dan menghalang nya untuk memaksimumkan potensi diri. Kalau stres, lama-lama badan pun boleh sakit!
Kajian yang dijalankan oleh Bruce McEwen, pakar neuroendocrinologist Universiti Rockefeller mendapati tindakan ibu bapa menyuruh si manja mengendalikan material yang tidak mampu diproses oleh otak mereka boleh menyebabkan kekecewaan dan tekanan apabila material tersebut gagal dikendalikan dengan betul. Ia akan meningkatkan stres si manja yang boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian hippocampus iaitu bahagian otak yang penting dalam pembelajaran dan daya ingatan.
Menurut Dr. Adelle Cadieux, pakar psikologi pediatrik Hospital Kanak-kanak Helen De Vos Children’s, Michigan, Amerika Syarikat, anak yang stres akan menunjukkan enam petanda ini;
- MASALAH EMOSI ATAU TINGKAH LAKU
Si kecil yang sedang tertekan akan menunjukkan masalah tingkah laku atau emosi yang tidak stabil seperti mudah marah atau merajuk hanya disebabkan perkara yang kecil. Mereka juga mudah menangis dan tangisannya sukar dihentikan seolah-olah menangis adalah satu tanda meluahkan perasaan.
- SUKA MENGAMUK
Ada di kalangan kanak-kanak yang mudah mengamuk dan meragam jika kemahuannya tidak dituruti. Sikap suka menggigit, menendang, memukul, menumbuk, menjerit tanpa sebab juga salah satu ciri anak yang sedang tertekan emosi. Kesabaran mama dan papa sangat diperlukan dalam menangani situasi ini. Kemarahan dan tengkingan daripada anda hanya akan meningkatkan lagi tekanan perasaannya.
- RUTIN TIDUR BERUBAH
Perubahan pada rutin tidur iaitu sama ada anak kurang tidur, terlebih tidur atau sukar untuk melelapkan mata. Waktu tidur yang tidak menentu ini menyebabkan mereka resah dan kurang segar pada keesokan harinya.
- SUKA KARBOHIDRAT DAN MAKANAN RAPU
Antara anda-tanda anak sedang tertekan ialah perubahan kepada seleranya-dia semakin berselera kepada makanan yang kaya karbohidrat dan makanan ringan. Ada juga yang kehilangan selera makan atau terlalu cerewet dalam bab makan. Malah ada yang akan hanya makan makanan kegemarannya sahaja dan enggan menyentuh makan makanan lain.
- TERLALU AKTIF
Anak tiba-tiba jadi aktif! Ada sahaja yang ingin dilakukan dan biasanya hal yang dilakukan berbahaya kepada dirinya. Lebih teruk lagi, kanak-kanak yang stres akan merosakkan barang yang dipegangnya.
- MASALAH FIZIKAL
Pada ketika dia sedang tertekan, secara tidak langsung tubuhnya memberikan reaksi atau simptom. Banyak masalah pada fizikal timbul seperti sakit perut, kembung perut, sakit kepala, cirit birit, sembelit, loya, sakit dada, degupan jantung yang laju sebelum melakukan sesuatu aktiviti, mulut kering dan kelihatan tidak bertenaga.
7. SUKAR FOKUS
Si kecil yang stres akan mengalami kesukaran untuk fokus. Dia akan jadi pelupa atau mudah terlupa sesuatu perkara, kurang sistematik serta gagal memberikan pendapat apabila diminta.
8.TIDAK BERMINAT UNTUK BERINTERAKSI
Anak yang tertekan tidak berminat untuk berinteraksi dengan ahli keluarga dan orang lain. Mereka akan lebih menyendiri dan merasakan kurang yakin pada diri sendiri.
MAMA & PAPA PERLU COOL!
Mama dan papa kena cool, jangan marah-marah. Buat lima perkara ini untuk mengurangkan tekanan yang dialami anak. Antara langkah yang boleh diambil ialah;
- Memberikan respons kepada anak dan berkomunikasi dengan baik.
- Mudahkan apa sahaja yang hal berkaitannya pada waktu-waktu dia sedang tertekan.
- Jadikan bermain sebagai terapi yang menenangkan. Misalnya beri masa untuk dia dengan bermain permainan kegemarannya seperti anak patung atau haiwan peliharaan.
- Ajar anak cara tangani tekanan. Berikan perhatian lebih daripada biasa, pelukan dan ciuman.
- Elakkan hukuman dan denda sebaliknya gunakan cara pemberian hadiah dan pujian-pujian apabila dia melakukan sesuatu yang baik dan sebaliknya jika dia melakukan kesalahan. Misalnya “Hari ini, kalau Ainur masukkan pakaian kotor ke dalam bakul dan kemas mainan mama akan upah Ainur pensel warna baru.”
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI