Awas, Tabiat Merasa Makanan Sebelum Suap Ke Mulut Anak Boleh Sebabkan Pemindahan Bakteria!

Share

Kebanyakan ibu suka lakukan tabiat merasa makanan terlebih dahulu sebelum disuap ke dalam mulut. Niatnya nak merasa makanan tersebut tak panas dan selamat dimakan oleh si kecil.

Tanpa sedar, rupanya tabiat tersebut boleh menyebabkan berlakuk pemindahan bakteria ke dalam mulut anak dan lagi teruk menyebabkan masalah kerosakan gigi. Itu antara punca mengapa ada ibu yang pelik kerana anaknya minum susu ibu tapi tetap ada masalah gigi rosak.

Baca lebih lanjut penjelasan yang dikongsikan oleh doktor pergigian, Dr Iqbal Rosli seperti dikongsi di laman facebooknya.

“Anak saya tidak minum dari botol susu. Cuma susu badan. Kenapa gigi rosak juga?”

Pertama, mari kita bezakan bagaimana mekanisme keduanya ketika anak minum susu. Semasa menyusu badan, anak akan memasukkan puting hampir keseluruhan areola ke dalam mulutnya. Tindakan itu akan meletakkan puting dan susu yang keluar jauh ke dalam mulut. Anak akan terus telan.

Berbeza dengan botol susu, tidak perlu memasukkan semua puting, susu sudah keluar. Walaupun tak dihisap, susu tetap akan menitik dan berpotensi untuk berkumpul di dalam mulut jika tak ditelan terutamanya sewaktu tidur.

Kedua, mari kita fahami bagaimana gigi rosak terjadi. Ada 4 faktor utama terjadinya karies gigi.

Gigi- gigi susu adalah lebih rapuh berbanding gigi kekal kerana lapisan enamelnya yang lebih nipis

Makanan- apa-apa sahaja yang masuk ke dalam mulut termasuklah susu

Bakteria- bakteria dari banyak sumber. Barang mainan yang dimasukkan ke dalam mulut, puting tiruan, tangan ibu bapa

Masa- jika gigi lama tak dibersihkan, perlahan-lahan proses karies akan berlaku

Ketiga, penting untuk kita fahami juga, susu ibu semata-mata tidak menyebabkan karies. Ada kajian menunjukkan kandungan dalam susu ibu baik untuk pertumbuhan dan kesihatan gigi. Ada kajian menunjukkan kanak-kanak yang masih menyusu ibu selepas umur 2 tahun berpotensi mengalami kerosakan gigi lebih serius.

Seperti dalam point kedua, ada lagi faktor lain menyebabkan karies. Ibu-ibu bolehlah muhasabah dan re-check aktiviti seharian yang mungkin berkaitan dengan penjagaan gigi anak masing-masing.

Antara yang selalu terlepas ialah, apabila ibu-ibu merasa makanan dahulu sebelum menyuapkan ke dalam mulut si anak. Pemindahan bakteria boleh berlaku dan menyumbang kepada kerosakan gigi.

Selain itu, bergantung semata-mata kepada susu ibu, dan tidak menggalakan pemakanan selepas umur 6 bulan, juga adalah tidak betul. Malah tidak baik untuk pertumbuhan dan kesihatan gigi, dan juga perkembangan kesihatan anak secara amnya.

Keempat, sebab itu, hal paling utama dalam mengelakkan gigi rosak adalah penjagaan kesihatan gigi. Bagilah anak-anak susu ibu atau susu formula. Tapi sekiranya kebersihan gigi tak dititikberatkan, gigi tetap akan rosak juga.

Kelima, ketahuilah Puan-puan sekalian, komuniti doktor gigi tidak pernah menyalahkan penyusuan anak-anak sehingga menyebabkan gigi rosak. Sebaliknya, apabila tiada keseimbangan di antara penyusuan/pemakanan dan penjagaan kebersihan gigi, itulah punca utama gigi mudah dan cepat rosak.

Semoga bermanfaat

Dr Iqbal Rosali

Published by
Hasnita Sawal