Kes tular mengenai pelajar MRSM yang dibuli hanya kerana menegur mereka yang menonton video lucah sepatutnya kita jadikan pengajaran dalam mendidik anak-anak kecil kita. Kita pantaulah apa jua yang ditonton mereka di kaca tv mahupun di telefon bimbit.
Sebagai mak ayah, kitalah yang perlu menjadi pembimbing dan benteng untuk anak-anak agar tidak berbuat silap. Kita cuba kerana inilah satu tanggungjawab buat kita dalam mendidik anak. Inilah yang dikongsikan oleh Ustazah Asma Harun di facebooknya.
Allahu Allah, memang tersangat perit hati ini semasa dalam flight petang tadi, terbaca tentang khabar seorang pelajar MRSM yang dibuli hanya kerana menegur mereka yang menonton video lucah.
Sudah buat perkara haram, kemudian sakiti pula orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar, Astaghfirullah.
Beberapa hari yang lalu, tular video berdurasi 10 saat yang memaparkan seorang pelajar dibuli beramai-ramai, mereka menumbuk dan menendang mangsa secara bergilir-gilir sehingga cedera tisu lembut di bahagian perut mangsa. Hal ini sangat membimbangkan kerana berlaku dalam kalangan anak muda seusia awal remaja iaitu lingkungan 13 tahun.
Bermula dengan niat baik mangsa menasihati mereka yang menonton video lucah agar menghentikan perbuatan tersebut atau tindakan mereka akan dilaporkan kepada guru.
Namun, kerana rasa tercabar dan ego yang tinggi, mereka menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap nasihat yang diberikan. Allahu Akbar.
Buli ini banyak puncanya tetapi dalam kes sebegini ia berlaku akibat ego orang yang melakukan kemungkaran, apabila ditegur mereka membalas pula dengan kekerasan.
Analoginya ibarat orang yang hampir mati lemas, apabila datang orang untuk membantu, mereka mencaci maki si penyelamat.
Kita semua sedia maklum tentang keburukan buli seperti yang berlaku terhadap arwah adik Zulfarhan di UPNM pada tahun 2017 dan lain-lain kes sebelum ini sama ada yang tular atau tersembunyi.
Namun, saya ingin tegaskan di sini bahawa perbuatan menonton video lucah itu juga merupakan satu kemungkaran yang mesti dijauhi.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنٰىٓ اِنَّهٗ كَانَ فَاحِشَةً ۗوَسَاۤءَ سَبِيْلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’, 17: 32)
Allahu Akbar, sedangkan mendekati atau menghampiri sahaja pun sudah ditegah oleh Allah, apatah lagi melaksanakan perbuatan zina. Jangan disangka bahawa zina itu hanyalah melakukan persetubuhan secara haram, namun segala perbuatan yang menghampiri zina seperti berkata, melihat atau mendengar perkara lucah juga dikira sebagai kemungkaran.
Daripada Nu’man bin Basyir r.anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ الْحَرَامَ بَيِّنٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Tuan Puan,
Tabiat menonton video lucah bukan sahaja menyebabkan semakin nipisnya rohani, tetapi turut memberi kesan terhadap kesihatan mental seseorang, iaitu pelaku akan alami ketagihan beronani (masturbation), hilang rasa malu dan paling membimbangkan sudah mula timbul kecenderungan untuk berzina secara nyata. Allahurabbi.
Akibat daripada perbuatan ini menyebabkan perubahan tingkah laku, di mana si pelaku akan jadi seorang yang panas baran, cenderung untuk menyakiti orang lain dan budaya menipu atau memperdaya menjadi kebiasaan. Kesan daripada kemungkaran yang dianggap remeh ini, berlakunya kes-kes mencederakan orang lain seperti buli.
Kadang saya terfikir juga mengapa terlalu ramai orang yang terjerumus melakukan kemungkaran ini, antaranya kerana ramai ibu bapa yang tidak mengawasi bahan tontonan anak-anak semasa mereka kecil.
Kita boleh lihat dalam filem-filem, animasi, rancangan kanak-kanak atau kartun yang menonjolkan karakter lelaki atau perempuan yang mendedahkan aurat dan seksi.
Bayangkan di usia 2-6 tahun anak-anak sudah terdedah dengan penampilan sebegitu, jangan pelik apabila mereka besar, semua itu sudah menjadi kebiasaan dan ketagihan, bahkan berapa ramai anak remaja berusia 13-16 tahun sekarang sudah terlibat dengan penzinaan. Allahu Akbar.
DUHAI IBU BAPA, AWASILAH ANAK-ANAK KITA
Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan anak-anak membesar sebagai manusia yang baik dan berguna. Kadang kita rasa takut jika terlalu mengongkong sehingga timbul rasa rimas daripada anak-anak, namun jika terlalu longgar dalam pengawasan pula akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan anak-anak.
Saya percaya semua orang impikan anak-anak yang soleh dan solehah, walau kita sedar hakikat cabaran ke arah itu sangat tinggi. Namun, siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, pasti Allah SWT tak akan sia-siakan. Panduan untuk mendidik ahli keluarga supaya dapat menangani masalah sebegini ada digariskan di dalam sebuah hadis.
Daripada Abdullah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Barangsiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu, hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan.
Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Jika kita muhasabah semula, sebenarnya amat jelas hikmah Allah perintahkan kita supaya menjaga pandangan, hati dan kemaluan supaya tidak terjebak dengan perkara maksiat sebegini, walaupun perintah itu telah diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini. SubhanAllah.
Sebab itu, Allah Ya Hakim, yang Maha Bijaksana dan Allah Ya ‘Alim, yang Maha Mengetahui segala baik buruk kita, segala kelemahan dan kekurangan kita. Oleh itu, banyakkan memohon petunjuk dan bimbingan daripadaNya supaya diri dan ahli keluarga kita terselamat daripada terjebak dengan dosa maksiat.
SYABAS DAN TAHNIAH KEPADA PIHAK YANG PANTAS BERTINDAK
Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dengan tindakan yang diambil oleh pihak MARA, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Mufti, institusi Diraja, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan banyak lagi atas tindakan dan arahan yang dikeluarkan berikutan kes buli yang berlaku ini.
Semoga setiap usaha untuk membendung isu buli ini dikira sebagai satu bentuk amar makruf nahi mungkar dengan menggunakan kuasa di tempat yang betul, sekaligus menjadi pahala ibadah yang sangat besar di sisi Allah SWT, insyaAllah .
Semoga bermanfaat buat semua.
Menarik: Nak Jadi Macam Kakak, Dr Sheikh Muszaphar Kongsi Tip Biasakan Anak Dengan Taekwondo!
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!
Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
Nak join? Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/bakat-cilik/ atau untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi https://wa.me/+60179701167
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!