Kasih ayah sepanjang masa. Demi anaknya yang autisme, seorang ayah sanggup berhenti kerja dan buka cafe khas bagi membolehkan anaknya belajar berdikari.
Oh, memang sangat menyentuh hati membaca kisah ayah ini. Semoga cerita yang ditulis oleh Khairul Hakimin ini dapat dijadikan inspirasi oleh semua ibu ayah yang ada anak istimewa.
“Khairul tahu tak, anak abang minum susu 18 botol sehari, dan kami memang rasa sangat-sangat pelik,”
Aku terdiam. Biarkan sahaja Abang Adli bercerita tentang anaknya, Luqman yang kini sudah berusia 18 tahun. Semasa beliau lahir, ia normal. Seperti bayi-bayi yang lain, Luqman memberi kegembiraan dan keceriaan kepada keluarga.
Cuma yang menjadi pening ialah beliau sangat suka menangis. Sikit-sikit menangis, sana sini menangis. Dan Abang Adli bersama isteri menganggap ia hanyalah ujian buat mereka yang dapat anak yang jenis kuat menangis.
Apabila umur 2 tahun, Luqman masih belum boleh bercakap. Abang Adli bersama isteri membawa Luqman ke klinik demi klinik. Lebih 15 doktor mengatakan anak mereka itu normal dan hanya lambat sahaja bercakap.
Hari demi hari berlalu. Luqman masih kuat menangis. Perkara baru yang berlaku ialah beliau akan melompat tanpa henti. Ya kawan, tak pernah berhenti selama berjam-jam.
Kemudiannya apabila ditegur, Luqman akan menggenggam tangannya dan meletakkan ke dua-dua tangannya itu di tepi kepala dan menghayunkannya sekuat hati seperti geram. Matanya dipejamkan. Giginya diketap-ketap dan pandangannya ditundukkan.
Rupanya anak penghidap Autism
Mulai hari itu, Abang Adli memutuskan untuk mencari doktor pakar untuk menyelesaikan masalah Luqman. Akhirnya, terjawab. Luqman salah seorang penghidap Autism. Abang Adli dan isteri tidak mahu percaya.
Dicarinya di Google dan Yahoo, ada yang kena ada yang tidak. Waktu 18 tahun lalu, penguasaan informasi di internet tidak sebagus hari ini. Jadi, masih boleh dibetah-betah.
Apabila Luqman semakin besar, beliau juga semakin tidak boleh dikawal. Pernah dibawanya ke kompleks beli belah, dia membuka pintu kereta dan menutupnya kembali. Dan perlakuan buka tutup pintu itu dibuatnya beratus-ratus kali hingga terkena kereta yang diletakkan di sebelah.
Abang Adli berkata kepada kami, jika pada zaman dahulu kala, inilah anak-anak yang akan dipasung di bawah rumah, diikat di kaki tangga juga dibuat kurungan seperti reban di belakang rumah.
Ads
Mereka ini dianggap tidak siuman, dianggap sebagai perosak dan semestinya perlu dijauh-jauhkan kerana bimbang akan melukai keluarga lain.
Berhenti kerja demi anak autism
Maka, bermula sebuah episode yang cukup panjang buat keluarga Abang Adli. Beliau berhenti kerja, membuat kajian dan mencari apakah kelemahan yang ada bagi Autism. Diikutkan, penyakit ini tidak ada ubatnya. Kebiasaannya hanya perlu menjalani sesi terapi yang teramat panjang supaya anak-anak ini memahami apa yang berlaku.
Anak-anak Autism tidak dapat ‘register’ di dalam kepala dan badannya tentang sakit, tentang lapar, tentang arahan dan tentang boleh atau tidak. Bukan seperti anak-anak lain, asal lapar, menangis. Apabila kenyang, mereka akan ok.
Namun, anak-anak ini tidak boleh tahu bagaimana mereka lapar atau kenyang. Mereka juga sukar untuk tahu mereka sedang sakit.
Mereka tidak akan beritahu semua itu kerana mereka tidak dapat merasainya. Namun, mereka akan mula meragam. Marah, tantrum dan meluahkannya dengan mengamuk tidak tentu hala.
Sebagai ibu bapa, mereka alami tahap stress yang berganda. Ahli keluarga yang tidak faham, akan kata pasangan ini tidak pandai menjaga anak. masyarakat akan menganggap anak-anak ini biadap, juga pastinya sesiapa yang melihat saat mereka ini meragam akan membawa dimensi buruk kepada zaman yang suka benar video dirakan ini.
Buka cafe khas untuk anak autism
Ads
Abang Adli kemudiannya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang mengalami perkara yang sama. Rupa-rupanya, pada sekitar 10 tahun lalu, katanya penghidap Autism ialah hanya seorang dalam 10,000 manusia. Namun pada hari ini, ia adalah 1 : 46 orang. Dan sememangnya ia perlu memberi edukasi dan pendedahan kepada seluruh masyarakat.
Autism ini memerlukan kesabaran dari semua orang. Anak-anak ini tidak mempunyai daya faham yang sama seperti manusia normal. Mereka tahu siapa yang memahami, siapa ibu bapa, siapa juga ahli keluarga. Orang lain, mereka tidak tahu dan kenal, maka ketakutan adalah cabaran paling besar.
Mereka tidak suka dipandang. Malah, mereka akan bercakap dengan kita tanpa memandang kita. Jika ada yang boleh bercakap, kebiasaannya kita akan rasa anak-anak ini biadap kerana menjawab soalan kita tanpa memandang wajah kita dengan wajah mereka yang seperti marah-marah. Namun, itulah Autism.
Autism mempunyai beberapa jenis. Ada yang boleh dijalani terapi dan akan menampakkan hasil. Ada juga yang sukar dikawal, sukar bercakap dan hanya orang terdekat sahaja yang memahami mereka kerana tindak tanduk yang sudah boleh dibaca.
Kebiasaanya orang awam tidak perlu memaksa diri untuk mendekati mereka ini. Cukup sekadar memberi senyuman dan bertanya khabar. Mereka tidak suka disentuh dan menganggap sentuhan itu sebagai gangguan.
Mereka juga tidak suka berbalah atau berbahas tentang apa yang mereka mahu. Jika ianya perlu ditawar menawar, itu hanya boleh dibuat oleh mereka yang terdekat sahaja. kebolehan mereka untuk mengamuk dan tidak terkawal boleh terjadi.
Mereka ini anak-anak yang memerlukan perhatian yang kompleks. Hanya boleh menikmati masakan sihat, kurang gula, tiada casein (biasanya hanya ada di dalam susu lembu) juga tiada gluten.
Oleh yang demikian, susu kambing dan susu unta sangat baik untuk mereka. Namun, kata Abang Adli, susu unta adalah yang terbaik kerana tiada kandungan casein. Oleh itu ia akan membantu anak-anak autism tenang secara semulajadi tanpa (atau kurang) bantuan ubat-ubatan.
Casein akan menyebabkan anak-anak autism ini ketagihan dalam perlakuannya. Ia akan membawa kepada perbuatan yang sukar dikawal seperti hyper aktif. Jadi mencari alternative kepada susu lain amat-amat perlu.
Ada yang mengatakan, autism alah kepada casein. dan alahan itu bukan terjadi kepada kulit, kepada badan dan sebagainya. Ia akan pergi ke perlakuan yang sukar dikawal.
Kos penjagaan anak-anak autism sangat tinggi. Mereka perlu menjalani sesi terapi yang mengambil wang ibu bapa sebanyak sekitar RM15,000-RM30,000/bulan. Ia termasuk terapi perbualan, terapi pemahaman, terapi motor, terapi perbuatan, terapi permainan dan banyak lagi. Dan kawan, hanya beberapa tempat terpilih sahaja yang ada sesi-sesi ini.
Mereka ini sangat memerlukan kasih sayang dengan sentiasa ditegur, sentiasa disayang-sayang, sentiasa diasuh. Walau prosesnya terlalu lama, ia memerlukan seseorang untuk sentiasa ada di sebelah. Dari bangun tidur, mandi, ambil baju, pakai baju, lap badan, gosok gigi, kemudian bersiap setiap satu helaian, duduk di meja makan, pegang sudu, pegang garfu, makan guna tangan, keluar dari rumah, masuk dalam rumah, masuk dalam kereta, keluar kereta, duduk baik-baik dalam kereta, serta kembali ke bilik tidur, semuanya perlu disuruh dengan seteliti mungkin.
Jika tidak, mereka akan melompat / berlari atau berdiri di satu tempat tanpa henti. Ia perlu disuruh. Dan kesabaran yang perlu ada pada setiap ibu bapa sangat tinggi.
Luqman kini sudah boleh bercakap. Kini bersama ayahnya, Abang Adli di sebuah kafe di Puchong yang menempatkan semua pekerja Autism dalam Autism Café Project Malaysia. Ia bukan untuk mendapatkan keuntungan.
Ia hanya sebuah kafe yang boleh dihadiri oleh orang awam untuk makan-makan dan ianya menjadi pusat terapi buat anak-anak autism untuk belajar bagaimana untuk survival apabila ibu bapa mereka pergi nanti.
Kebanyakkan anak-anak autism tidak boleh memegang barang. Ia kerana ibu jari mereka tidak kuat untuk bersentuhan dengan jari lain. Di café tersebut, terapi pertama yang mereka akan lalui ialah membasuh pinggan. Dan ia antara aktiviti paling berjaya untuk anak-anak di sana.
Anak-anak ini mempunyai sifat lurus yang tinggi. Pernah berlaku di sekolah Luqman, ada seorang kawan yang tertinggal bekas pensil. Oleh kerana cikgu sudah berpesan semua alatan perlu dibawa pulang ke rumah, maka semua kena berbuat begitu.
Namun pernah berlaku, kawan Luqman terlihat ada sebuah bekas pensil yang tertinggal, lalu beliau bawa balik dengan niat untuk memulangkan esoknya, namun terlupa berhari-hari. Natijahnya, dituduh pencuri apabila ada yang ternampak ada di dalam simpanannya.
Sekiranya ada kes amuk, kes serangan dan sebagainya, lekas maklumkan keluarga dan teman rapat, dapatkan polis dengan segera dan pastikan ianya ditenangkan sebaiknya. (Biasanya berlaku kepada mereka yang sudah berumur).
“Luqman, tarik abah ke syurga juga ya!”
Di akhir perbualan, Abang Adli nak sangat beritahu kami tentang satu peristiwa yang baru sahaja berlaku dalam hidupnya. Beliau berkata, Luqman ini memang ya autism. Namun disebalik wajah dan kelakuannya, Luqman hanya tahu Luqman ini normal sahaja. namun, mindanya dan badannya tidak menerima respon yang sama seperti kita semua.
Luqman bertarung dalam hidupnya kenapa dia begitu begini. Nak beritahu dia sedih, dia tidak menangis. Namun dia hanya pandang ke luar dan biarkan emosi itu berlalu. Hendak beritahu dia sakit, dia tidak tahu. Dia hanya melompat tanpa henti atau berdiri sahaja di sebuah sudut sampailah cara nak beritahu itu sampai kepada ibunya atau ayahnya.
Ads
Luqman bertarung sepanjang hidupnya untuk itu dan ini. Dan pada suatu malam, Abang Adli masuk ke bilik Luqman.
Luqman sudah pun bersiap untuk tidur. Abang Adli duduk di sebelahnya yang mana dia sudah pun berbaring. Abang Adli cakap,
“Luqman sayang, manalah tahu Allah nak beri Luqman syurga nanti, Luqman boleh tak cepat-cepat tarik abah sekali?”
Lalu Luqman memegang tangan Abang Adli dan jawab “Boleh bah..”
Abang Adli tergamam, anaknya dah boleh bercakap. Di hadapan kami semua, air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Kami juga.
Wahai kawan-kawan,
Saya dan semua tahu ramainya antara kalian yang mempunyai anak-anak autism. Tak perlu takut, tak perlu segan. Keluarlah dan sertailah mereka ini. Mereka akan bantu kalian. Kita sama-sama didik masyarakat yang anak-anak ini akan menghiasi dunia besar ini dengan pelbagai cabaran dan halangan suatu hari nanti. Ia bukan perkara kecil.
Kita lalui sama-sama ya.
Kita yang normal ini, tugas kita menyebar kebaikan. Dan tolonglah demi sebuah kemanusiaan, sekiranya ada apa-apa yang terjadi di sekolah, tempat kerja dan dimana-mana pun, siasat dahulu mereka ini. Boleh jadi mereka jadi lurus bendul, boleh jadi juga mereka ini perlu dilayan beriya-iya.
Kita normal, maka sabar itu jadi tanggungjawab kita. Kita yang kena kawal kerana kita normal. Tuhan beri kita kelebihan untuk hadapi semua ini, jadi kita berbuat baik.
Sebarkan segala maklumat ini. Semoga ianya menjadi sebuah kebaikan untuk diri kita, keluarga kita dan seluruh masyarakat.
Pastinya akan hadir rasa bimbang apabila si kecil masih sukar bertutur walaupun sudah berusia 3 tahun. Bertenang, ada cara mengatasi anak lambat bercakap yang boleh dicuba.
Lewat pertuturan
Secara amnya, seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun boleh menyebut sekitar 50 perkataan dan bertutur dalam ayat yang mengandungi 2 hingga 3 patah perkataan.
Perbendaharaan kata mereka akan meningkat kepada hampir 1,000 perkataan apabila mencecah usia 3 tahun.
Pada usia ini anak sudah boleh bercakap dalam ayat dengan bilangan perkataan antara 3 hingga 4 patah.
Sekiranya anak masih belum mencapai perkembangan tersebut, mereka mungkin mengalami keadaan lewat pertuturan (speech delay).
Keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh gangguan pendengaran, neurologi mahupun perkembangan.
Mesti anda tertanya-tanya adakah terdapat petua anak lambat bercakap?
Dalam kebanyakan kes lewat pertuturan akan dapat diatasi dengan berkesan.
Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengenal pasti tanda anak mengalami kelewatan pertuturan dan cara mengatasi anak lambat bercakap.
Cara mengatasi anak lambat bercakap: Fahami perbezaan lewat pertuturan dan bahasa
Sebelum kita mengetahui cara mengatasi anak lambat bercakap, ambil tahu perbezaan antara lewat pertuturan dan lewat bahasa (language delay).
Pertuturan adalah ungkapan lisan bahasa dan merangkumi artikulasi iaitu cara kita membentuk bunyi dan perkataan.
Seorang kanak-kanak dengan masalah kelewatan pertuturan mungkin tidak dapat menggunakan banyak perkataan seperti individu seusianya.
Lewat bahasa pula berlaku jika anak mengalami kesukaran memahami apa yang dikatakan individu lain atau tidak dapat menyatakan apa yang difikirkan mereka.
Ini termasuklah secara verbal, bukan verbal dan tulisan.
Masalah lewat pertuturan kanak-kanak 3 tahun
Kemahiran pertuturan dan bahasa bermula sejak bayi.
Seiring peredaran masa, celoteh (babbling) bayi yang tiada makna akan berkembang menjadi perkataan pertama dapat difahami.
Umumnya, lewat pertuturan bagi kanak-kanak berusia 3 tahun adalah apabila mereka tidak mencapai titik perkembangan biasa.
Namun, keadaan itu tidak bermakna ia didasari oleh masalah serius.
Kelaziman bagi kanak-kanak berusia 3 tahun:
Menggunakan lebih kurang 1,000 patah perkataan
Memanggil diri dan individu lain dengan nama
Boleh menggunakan kata nama, kata sifat dan kata kerja dalam ayat yang mengandungi 3-4 patah perkataan
Mampu bertanyakan soalan
Boleh bercerita dan menyanyi lagu
Petua anak lambat bercakap: Kenal pasti simptomnya
Sekiranya anak tidak bertindak balas terhadap suara atau bunyi, ia perlu dibawa untuk pemeriksaan doktor segera.
Dalam keadaan biasa, sukar untuk ibu bapa mengetahui sama ada anak mengambil masa yang lama untuk mencapai perkembangan pertuturan atau bahasa mahupun mengalami masalah tertentu.
Berikut antara tanda yang boleh dikenal pasti jika si kecil mungkin mengalami masalah dan pemeriksaan doktor perlu dilakukan:
Menjelang usia 12 bulan: Tidak menggunakan isyarat seperti melambai tangan
Menjelang usia 18 bulan: Lebih suka gerak isyarat daripada berkomunikasi verbal
Menjelang usia 18 bulan: Berdepan kesukaran meniru bunyi seperti bunyi kucing
Menghadapi masalah untuk memahami arahan ringkas
Berusia 2 tahun: Hanya dapat menurut kata-kata atau perbuatan dan tidak bertutur perkataan atau frasa secara spontan
Usia 2 tahun: Menggunakan bunyi atau perkataan berulang dan tidak dapat menggunakan bahasa lisan untuk berkomunikasi lebih daripada keperluan segera
Usia 2 tahun: Tidak dapat mengikuti arahan mudah
Usia 2 tahun: Mempunyai nada suara luar biasa seperti suara kasar atau sengau
Anda disarankan membawa anak untuk pemeriksaan doktor jika pertuturannya sukar untuk difahami pada tahap usia mereka:
Ibu bapa seharusnya boleh memahami sekitar 50% percakapan anak pada usia 2 tahun dan 75% daripadanya ketika berusia 3 tahun
Pada usia 4 tahun, apa yang diucapkan kanak-kanak seharusnya dapat difahami, sama ada oleh ibu bapa ataupun individu luar
Punca anak alami lewat pertuturan
Masalah kelewatan percakapan ini mungkin disebabkan oleh:
Gangguan mulut – Masalah dengan lidah atau lelangit. Dalam istilah perubatan di sebut ankyloglossia (tongue tie), di mana lidah disambungkan ke lantai mulut
Frenulum pendek (lipatan bawah lidah) yang boleh mengehadkan pergerakan lidah
Diagnosis & cara mengatasi anak lambat bercakap
Sekiranya anak mungkin menghadapi masalah, penting untuk melakukan pemeriksaan segera dengan ahli patalogi bahasa pertuturan (SLP).
SLP akan memeriksa kemahiran pertuturan dan bahasa anak melalui ujian standard.
Pakar terapi juga akan memeriksa:
Apa yang difahami anak – disebut bahasa reseptif
Apa yang anak boleh ucapkan – disebut bahasa ekspresif
Pengembangan suara dan kejelasan pertuturan
Status oral-motorik anak – bagaimana mulut, lidah, lelangit dan bahagian lain bekerjasama untuk bersuara, makan dan menelan
Cara mengatasi masalah anak lambat bercakap melalui:
Terapi pertuturan-bahasa
Perkhidmatan intervensi awal
Merawat keadaan yang mendasari
Cara mengatasi anak lambat bercakap: Apa yang boleh ibu bapa lakukan?
Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membantu anak yang mempunyai kesukaran untuk bercakap.
Berikut antara petua anak lambat bercakap yang boleh dicuba di rumah:
Fokus pada komunikasi – Bercakap dan bernyanyi dengan anak serta menggalakkan mereka meniru bunyi dan isyarat
Membaca kepada anak – Mulakan membaca apabila anak masih bayi
Guna situasi harian – Bercakap sepanjang hari dengan anak mengenai apa yang anda buat, lihat atau makan. Pastikan ia perkara mudah
Kesimpulan
Kelewatan pertuturan untuk seorang kanak-kanak bererti mereka tidak dapat mencapai titik pekembangan pada usia tertentu.
Umumnya, keadaan ini bukanlah satu masalah besar kerana anak mempunyai fasa perkembangan yang tersendiri.
Tetapi jika masalah tersebut dialami si kecil anda, usah risau dan bawalah mereka berjumpa pakar.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semua ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kalau boleh seawal 1 tahun dah boleh sebut banyak perkataan. Itulah satu pencapaian yang kita banggakan. Yelah anak kita pandai lebih dari usianya. Namun dalam tak sedar jika kita terlalu menghulurkan buku, mungkin anak kita kekurangan waktu bermain.
Seperti kisah Puan Wawa Shauqi, penulis keibubapaan dia mengakui tersilap dalam mendidik anak. Terlalu inginkan anak pandai sehingga terlupa kanak-kanak perlu bermain, deria mereka perlu dirangsang. Semuanya ada kaitan dengan perkembangan anak-anak. Memang lumrah anak-anak bermain, jadi jangalah kita menafikan hak anak-anak untuk bermain dengan memaksa mereka belajar diawal usia. Ikuti perkongsian ini.
Salah ke nak ajar anak membaca awal?
Siapa yang dah pernah follow saya dari tahun 2018, mesti tau kisah saya yang ada anak bijak, tapi ada masalah sensori. Ini saya repost semula.
JANGAN ULANGI SILAP SAYA. ANAK SAYA PANDAI TETAPI…
Ini kisah Ammar, anak sulung saya. Dia seorang yang cepat berjalan dan cepat bercakap. Pada usia dia 2 tahun, dia telah mengenal huruf dan dapat memadankan kesemua huruf kecil dan huruf besar.
Pada usia 3.5 tahun, dia mula membaca dan menghafal lebih dari 20 surah. Sekarang usianya 4 tahun, telah masuk separuh buku Iqra’ kedua.
Nampak macam perkembangannya cepat, tetapi ada perkara yang dia tidak mahir kalau nak dibanding dengan teman seusianya yang lain.
Pada usia 3 tahun, masih banyak kemahiran badan yang dia tak capai. Tak boleh tangkap bola, tangan tak kuat nak sepit objek menggunakan forcep mainan. Serta tak mampu bergayut walau 2 saat di ‘monkey bar’.
Saya sangka, mungkin kekurangannya itu kecil dan biasa. Mungkin pencapaian motor kasarnya tak mengikut carta milestone kerana dia bukan kategori ‘body intelligence’.
Yalah, sangka saya setiap budak ada kelebihan dan kekurangannya.
Tapi bukan itu sahaja. Ammar seorang penggeli. Dia geli memijak pasir, geli duduk pada kerusi kulit (atau pvc) dan menjerit bila memegang ais.
Gelinya kadang-kadang keterlaluan. Pernah dia menjerit waktu kami lalu di sebuat kedai mainan. Ingatkan apa yang ditakutnya, rupanya ‘Magic Stretch Ball’.
Saya tak pernah sangka kesemua masalah ini mempunyai perkaitan yang sama. Malah masalah dia meraung bila mencuba kasut baru di mall dulu juga, ada kaitannya.
Dia mempunyai tanda-tanda yang kebiasaan ada pada anak-anak yang ada kecelaruan terhadap deria sentuhannya. Atau disebut Sensori Processing Disorder (SPD) Tactile (Hypersensitif).
Ammar mungkin membaca awal dan cepat tangkap dalam pembelajaran, tapi masalah ini jika saya tak sedar dari awal, akan mengganggu pembelajarannya bila dia mula bersekolah nanti.
Dia mungkin akan cepat stress akibat terlebih ransangan dengan persekitaran sekolah. Boleh jadi juga dia ketinggalan menyalin nota di papan putih. Atau penat menulis dan duduk di kerusi. Dan macam-macam lagi masalah.
Kadang-kadang kita terlalu mahukan anak pandai, lalu kita hulur anak buku, pensil & kertas dan kita nafikan fitrah anak bermain. Sebenarnya tidaklah salah nak besarkan potensi anak kita yang bijak tu. Cuma jangan sesekali skip perkembangan sensorinya.
Nak tau lebih lanjut pasal sensori, boleh rujuk nota ni. Ada kaitan tau sensori dengan kemahiran membaca.
Di akhir nota, ada di guide bagaimana nak bantu anak-anak kita jadi pandai dengan cara yang betul.
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fasa ‘infant’ (bayi kecil 0-3 bulan) di kenali sebagai fasa trimester ke-4. Iaitu sambungan daripada 3 trimester kehamilan yang telah bayi manusia lalui. Bezanya, kali ini, untuk trimester yang ke-4 ini, iaitu pada 3 bulan pertama usia bayi selepas di lahirkan, bayi harus melalui fasa ini di luar rahim ➡ alam dunia.
Nama lain fasa trimester ke-4 ini ialah fasa ‘belum menetas’. Ia ibarat fasa peralihan untuk bayi. Ia seperti fasa telur ayam di eram oleh ibunya sekitar 21 hari sebelum menetas🐣. Kita lihat 🔄 telur telah keluar dari perut ibu ayam, namun kekal di dalam sarung telurnya. Ha, begitulah ibaratnya bayi ‘infant’ 💡
Maka, cara menenangkan dan menidurkan bayi ‘infant’ sangat berbeza dengan bayi besar atau ‘toddler’ (kanak-kanak) . Cara paling berkesan untuk tenangkan dan buat bayi ‘infant’ lena ialah bila bersama ibu atau ayahnya : berpeluk, berdukung, berdodoi, bergendong, mengempeng… Ini kerana bayi ‘infant’ telah tidur di dalam badan ibu (dalam rahim) selama 9 bulan kandungan. Maka inilah punca mengapa bayi manusia mudah tenang dan lena bila mendapat sentuhan badan manusia (skin to skin).
Namun BEZA UTAMA rahim dengan ibu (atau ayah) manusia ialah : rahim itu ibarat mesin yang tak perlukan rehat manakala ibu manusia ialah makhluk yang ada batas. Maka, ia menyebabkan pada suatu tahap, ibu manusia tidak mampu lagi nak terus memeluk, berdukung, mengendong dan membenarkan anak mengempeng berjam-jam dalam sehari sedangkan ibu juga perlukan rehat dan membuat urusan hidup yang lain.
Maka, di sinilah ibubapa boleh beralih kepada sumber bantuan tambahan: bantuan dari manusia lain (ahli keluarga) atau alat. Meminta bantuan tambahan BUKAN petanda ibu lemah dan lembik. Ia petanda ibu cukup KUAT untuk menyedari hakikat dan mengakui bahawa sebagai manusia biasa, adalah normal untuk dia perlukan bantuan tambahan.
Jika ibu tidak boleh mendapatkan bantuan dari ahli keluarga lain,maka alat bantu tenang dan tidur seperti bedung, buaian, sumber bunyian white noise dan puting adalah alternatif terbaik. Mengapa saya sebut ‘alternatif’? :
💚 Bunyi degup jantung ibu, pernafasan dan suara ibu ➡ alternatifnya sebarang bunyi white noise.
💜 Mengempeng ➡ alternatifnya puting tiruan.
Maka, ibu ganti cara tidur bayi ‘infant’ sahaja: daripada bergantung kepada ibu 💯, kepada alat bantuan tambahan bila ibu perlukan. Maksudnya ,bayi ‘infant’ tetap perlu bergantung kepada ‘sesuatu’ untuk boleh tenang dan lena. ‘Sesuatu’ itu boleh jadi samada : ibu VS alat. Bayi ‘infant’ TIDAK BOLEH tidur tanpa mana-mana salah satu, kecuali jika bayi ‘infant’ itu ialah bayi dari kategori ‘easy going’.
Namun🔜🔜🔜🔜 enough is enough. Sampai masa, bayi perlu berdikari dan memang boleh tidur berdikari TANPA PERLU LAGI BERGANTUNG KEPADA MANUSIA ATAU ALAT.
Bukankah manusia adalah mamalia tercanggih yang hidup di muka bumi ini? Jadi tiada istilah bayi manusia tidak boleh ‘tidur sendiri’ apabila sampai waktunya. Dia hanya perlu di ajar dan di latih sahaja.
Maka, usia ‘selepas menetas’lah tanda bermulanya bayi manusia sudah secara berperingkat boleh di latih tidur berdikari (sleep training). Iaitu bermula 4 bulan. Adakah sleep training wajib? Oh tidak. Ia pilihan. Namun, jika ibu tak pernah latih, tak mahu latih atau tak tahu latih, maka ibu tak boleh berharap anak akan tahu buat sendiri. Faktanya, bukan semua anak akhirnya akan tahu tidur sendiri. Jadi, jika ibu pilih untuk harapkan nasib baik sahaja, teruskan menanti dan berharap sahajalah yang ibu boleh buat. Untung nasib timbul, tak untung nasib tenggelam. Begitulah..
Apa bukti saintifik usia 4 bulan adalah permulaan usia sesuai ‘sleep training’? Mengapa tak sesuai nak ‘sleep training’ ketika ‘infant’?
☑ Jam biologi tidur – bangun bayi manusia hanya mula berfungsi selepas usia 12 minggu (3 bulan) ke atas. Ini kerana, badan bayi kecil tidak menghasilkan hormon tidurnya sendiri sebelum usia 3 bulan. Inilah sebab tidur bayi kecil caca-marba dan berterabur. Jadi, bagaimana nak sleep training jika hormon tidur tiada atau belum berkesan?
☑ Peningkatan kecekapan hormon tidur di hasilkan badan bayi selepas usia 3 bulan dan kapasiti perut bayi yang semakin membesar membolehkan bayi tidur lebih panjang tanpa perlu kerap bangun menyusu. Maka, ‘kerap lapar’ sudah tak lagi jadi isu gangguan jalan kejayaan sleep training.
☑ Secara perkembangan mental pula, bayi mula masuk dunia peristiwa (world of event) pada usia +/- 19 minggu. Iaitu bayi faham bahawa setiap peristiwa terdiri daripada beberapa episod kejadian pendek yang mengikuti antara satu sama lain. Misalnya bola getah yang melantun itu terdiri daripada episod : bola turun ➡ bola naik ➡ berulang kali ➡ kelajuan menurun ➡ bola akhirnya berhenti. Maka, kerana itulah, selepas usia 4 bulan, bayi sebenarnya telah boleh faham bahawa tidur juga adalah sejenis peristiwa. Maka, ibu ajarkan lah tentang bagaimana peristiwa tidur itu harus bermula, berlaku dan berakhir. Bayi sudah boleh berkerjasama untuk menjayakan peristiwa tidur dan tak lagi perlu harap ibu saja yang tolong ‘buatkan’.
☑ Bayi yang telah lepas usia menetas mempunyai kemahiran menenteramkan diri (self soothing) yang lebih berbanding bayi infant. Misalnya dah boleh hisap jari untuk tenangkan diri, dah boleh meniarap untuk merasa aman memeluk ‘sesuatu’ dan dah boleh membebel lagu sendiri atau main air liur untuk hiburkan diri.
Sumber:
USWATUN HASANAH MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
DBL INSTITUTE SYDNEY
THB EDU ASSC
THE WONDER WEEKS ACADEMY
SLEEPSMART EDUCATION
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dilalui oleh wanita ini selepas hampir sembilan tahun membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal, kehidupan...