Kasih ayah sepanjang masa. Demi anaknya yang autisme, seorang ayah sanggup berhenti kerja dan buka cafe khas bagi membolehkan anaknya belajar berdikari.
Oh, memang sangat menyentuh hati membaca kisah ayah ini. Semoga cerita yang ditulis oleh Khairul Hakimin ini dapat dijadikan inspirasi oleh semua ibu ayah yang ada anak istimewa.
“Khairul tahu tak, anak abang minum susu 18 botol sehari, dan kami memang rasa sangat-sangat pelik,”
Aku terdiam. Biarkan sahaja Abang Adli bercerita tentang anaknya, Luqman yang kini sudah berusia 18 tahun. Semasa beliau lahir, ia normal. Seperti bayi-bayi yang lain, Luqman memberi kegembiraan dan keceriaan kepada keluarga.
Cuma yang menjadi pening ialah beliau sangat suka menangis. Sikit-sikit menangis, sana sini menangis. Dan Abang Adli bersama isteri menganggap ia hanyalah ujian buat mereka yang dapat anak yang jenis kuat menangis.
Apabila umur 2 tahun, Luqman masih belum boleh bercakap. Abang Adli bersama isteri membawa Luqman ke klinik demi klinik. Lebih 15 doktor mengatakan anak mereka itu normal dan hanya lambat sahaja bercakap.
Hari demi hari berlalu. Luqman masih kuat menangis. Perkara baru yang berlaku ialah beliau akan melompat tanpa henti. Ya kawan, tak pernah berhenti selama berjam-jam.
Kemudiannya apabila ditegur, Luqman akan menggenggam tangannya dan meletakkan ke dua-dua tangannya itu di tepi kepala dan menghayunkannya sekuat hati seperti geram. Matanya dipejamkan. Giginya diketap-ketap dan pandangannya ditundukkan.
Rupanya anak penghidap Autism
Mulai hari itu, Abang Adli memutuskan untuk mencari doktor pakar untuk menyelesaikan masalah Luqman. Akhirnya, terjawab. Luqman salah seorang penghidap Autism. Abang Adli dan isteri tidak mahu percaya.
Dicarinya di Google dan Yahoo, ada yang kena ada yang tidak. Waktu 18 tahun lalu, penguasaan informasi di internet tidak sebagus hari ini. Jadi, masih boleh dibetah-betah.
Apabila Luqman semakin besar, beliau juga semakin tidak boleh dikawal. Pernah dibawanya ke kompleks beli belah, dia membuka pintu kereta dan menutupnya kembali. Dan perlakuan buka tutup pintu itu dibuatnya beratus-ratus kali hingga terkena kereta yang diletakkan di sebelah.
Abang Adli berkata kepada kami, jika pada zaman dahulu kala, inilah anak-anak yang akan dipasung di bawah rumah, diikat di kaki tangga juga dibuat kurungan seperti reban di belakang rumah.
Mereka ini dianggap tidak siuman, dianggap sebagai perosak dan semestinya perlu dijauh-jauhkan kerana bimbang akan melukai keluarga lain.
Berhenti kerja demi anak autism
Maka, bermula sebuah episode yang cukup panjang buat keluarga Abang Adli. Beliau berhenti kerja, membuat kajian dan mencari apakah kelemahan yang ada bagi Autism. Diikutkan, penyakit ini tidak ada ubatnya. Kebiasaannya hanya perlu menjalani sesi terapi yang teramat panjang supaya anak-anak ini memahami apa yang berlaku.
Anak-anak Autism tidak dapat ‘register’ di dalam kepala dan badannya tentang sakit, tentang lapar, tentang arahan dan tentang boleh atau tidak. Bukan seperti anak-anak lain, asal lapar, menangis. Apabila kenyang, mereka akan ok.
Namun, anak-anak ini tidak boleh tahu bagaimana mereka lapar atau kenyang. Mereka juga sukar untuk tahu mereka sedang sakit.
Mereka tidak akan beritahu semua itu kerana mereka tidak dapat merasainya. Namun, mereka akan mula meragam. Marah, tantrum dan meluahkannya dengan mengamuk tidak tentu hala.
Sebagai ibu bapa, mereka alami tahap stress yang berganda. Ahli keluarga yang tidak faham, akan kata pasangan ini tidak pandai menjaga anak. masyarakat akan menganggap anak-anak ini biadap, juga pastinya sesiapa yang melihat saat mereka ini meragam akan membawa dimensi buruk kepada zaman yang suka benar video dirakan ini.
Buka cafe khas untuk anak autism
Abang Adli kemudiannya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang mengalami perkara yang sama. Rupa-rupanya, pada sekitar 10 tahun lalu, katanya penghidap Autism ialah hanya seorang dalam 10,000 manusia. Namun pada hari ini, ia adalah 1 : 46 orang. Dan sememangnya ia perlu memberi edukasi dan pendedahan kepada seluruh masyarakat.
Jika tidak, mereka akan melompat / berlari atau berdiri di satu tempat tanpa henti. Ia perlu disuruh. Dan kesabaran yang perlu ada pada setiap ibu bapa sangat tinggi.
Ia hanya sebuah kafe yang boleh dihadiri oleh orang awam untuk makan-makan dan ianya menjadi pusat terapi buat anak-anak autism untuk belajar bagaimana untuk survival apabila ibu bapa mereka pergi nanti.
Namun pernah berlaku, kawan Luqman terlihat ada sebuah bekas pensil yang tertinggal, lalu beliau bawa balik dengan niat untuk memulangkan esoknya, namun terlupa berhari-hari. Natijahnya, dituduh pencuri apabila ada yang ternampak ada di dalam simpanannya.
“Luqman, tarik abah ke syurga juga ya!”
Di akhir perbualan, Abang Adli nak sangat beritahu kami tentang satu peristiwa yang baru sahaja berlaku dalam hidupnya. Beliau berkata, Luqman ini memang ya autism. Namun disebalik wajah dan kelakuannya, Luqman hanya tahu Luqman ini normal sahaja. namun, mindanya dan badannya tidak menerima respon yang sama seperti kita semua.
Luqman bertarung dalam hidupnya kenapa dia begitu begini. Nak beritahu dia sedih, dia tidak menangis. Namun dia hanya pandang ke luar dan biarkan emosi itu berlalu. Hendak beritahu dia sakit, dia tidak tahu. Dia hanya melompat tanpa henti atau berdiri sahaja di sebuah sudut sampailah cara nak beritahu itu sampai kepada ibunya atau ayahnya.
Luqman bertarung sepanjang hidupnya untuk itu dan ini. Dan pada suatu malam, Abang Adli masuk ke bilik Luqman.
Luqman sudah pun bersiap untuk tidur. Abang Adli duduk di sebelahnya yang mana dia sudah pun berbaring. Abang Adli cakap,
“Luqman sayang, manalah tahu Allah nak beri Luqman syurga nanti, Luqman boleh tak cepat-cepat tarik abah sekali?”
Lalu Luqman memegang tangan Abang Adli dan jawab “Boleh bah..”
Abang Adli tergamam, anaknya dah boleh bercakap. Di hadapan kami semua, air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Kami juga.
Wahai kawan-kawan,
Saya dan semua tahu ramainya antara kalian yang mempunyai anak-anak autism. Tak perlu takut, tak perlu segan. Keluarlah dan sertailah mereka ini. Mereka akan bantu kalian. Kita sama-sama didik masyarakat yang anak-anak ini akan menghiasi dunia besar ini dengan pelbagai cabaran dan halangan suatu hari nanti. Ia bukan perkara kecil.
Kita lalui sama-sama ya.
Kita yang normal ini, tugas kita menyebar kebaikan. Dan tolonglah demi sebuah kemanusiaan, sekiranya ada apa-apa yang terjadi di sekolah, tempat kerja dan dimana-mana pun, siasat dahulu mereka ini. Boleh jadi mereka jadi lurus bendul, boleh jadi juga mereka ini perlu dilayan beriya-iya.
Kita normal, maka sabar itu jadi tanggungjawab kita. Kita yang kena kawal kerana kita normal. Tuhan beri kita kelebihan untuk hadapi semua ini, jadi kita berbuat baik.
Sebarkan segala maklumat ini. Semoga ianya menjadi sebuah kebaikan untuk diri kita, keluarga kita dan seluruh masyarakat.
Sumber: Khairul Hakimin Muhammad