Kalau anda tak nak fikir risiko pada diri sendiri tolonglah fikirkan risiko pada anak kalau masih berdegil nak terus merokok.
“Abang, nanti kalau baby dah lahir cubalah berhenti merokok ya,” si isteri cuba menasihat encik suami.
“Ala, sayang jangan risau. Abang tak akan merokok depan anak. Kat luar rumah je,” jawab encik suami.
Kalau para ayah sekalian tak nak memikirkan keburukan pada diri sendiri, cubalah fikirkan nasib buruk yang boleh menimpa pada anak kesayangan.
Renunglah wajah suci dan polos si kecil yang baru mengenal dunia. Kasihanlah pada mereka kerana terpaksa menghidu asap rokok yang busuk dan menerima kesan buruknya.
Menurut laman facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, berikut antara kesan kepada bayi yang dilahirkan dalam persekitaran ayah atau ibu yang merokok.
Bayi mungkin akan sukar tidur, asyik meragam atau mempunyai tidur yang terganggu. Bila bayi mempunyai pola tidur yang tidak berkualiti ia boleh mengganggu tumbesarannya yang sihat.
Kadangkala kes kematian bayi baru lahir secara tiba-tiba tidak diketahui apakah kesannya. Mungkin kesan merokok yang dialami oleh bayi tersebut.
Kini ramai bayi baru lahir yang mempunyai kes diserang penyakit batuk seawal usia kelahiran mereka. Jangan terkejut kerana ia berpunca daripada kesan asap rokok sama individu yang mencium bayi tanpa mengira sama ada perokok merokok secara berhampiran atau berjauhan daripada bayi. Asap rokok yang melekat pada pakaian si ayah yang merokok juga boleh menngganggu saluran pernafasan bayi.
Asap rokok boleh merosakkan tisu paru-paru yang menyebabkan keupayaan menyerap oksigen terganggu. Jika mengalami batuk, bayi mungkin mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Asap rokok mengandungi nikotin, tar, karbon monoksida dan lebih 4,000 bahan lain yang membahayakan kesihatan. Sudah tentu bayi yang kerap terdedah pada asap rokok akan meningkatkan risikonya mendapat asma lebih tinggi!
Jika bayi baru lahir sudah dijangkiti batuk sudah tentu dia memerlukan rawatan rapi yang hanya boleh diperoleh di hospital. Maka kadar kemasukan si kecil ke hospital adalah lebih tinggi.
Sekiranya anda tidak sayangkan diri sendiri, cubalah sayangi bayi yang masih kecil dan terpaksa menanggung kesakitan di awal usianya lahir ke dunia.
Bahkan anak-anak yang terdedah kepada bapa yang merokok lebih berisiko mendapat kesan buruk tersebut berbanding anak-anak yang tidak menghidu asap rokok. Jadi, renung-renungkanlah!
Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia