Ayah Mesti Jadi Hero Di Hati Anak Perempuan. Barulah Sampai Besar Dia Bangga!

Share

Bagi anak perempuan, ayah adalah lelaki pertama yang dia kenali dalam hidupnya dan cinta pertama mereka. Jadi waktu ini jangan dilepaskan begitu saja kerana banyak momen yang boleh anda cipta untuk tinggalkan kenangan buat si anak apabila mereka besar nanti.

Persoalannya macam mana ya untuk ayah menjadi ‘cinta pertama’ dalam hidup anak perempuan?

Perkongsian dari Tuan Akhi Fairuz Al-Jengkawi ini sangat membantu kita terutama suami isteri untuk menjadi ibu bapa yang baik dan ayah pula menjadi hero dihati anak-anak.

Baik, mari saya kongsikan.

1. Sebaik-baiknya ia perlu bermula dari awal, ketika bayi berada dalam rahim ibu, walau kita masih belum tahu jantinanya. Bacalah Al-Quran, berkomunikasi dengan bayi dan ucaplah kata-kata yang baik pada anak, juga pada isteri.

2. Bila anak ini dilahirkan, azankan di telinganya. Tak cukup dengan itu, si ayah harus belajar bagaimana untuk membasuh uri anak dan menanam ‘kembarnya’ itu.

3. Walau badan anak masih lembut, si ayah belajarlah untuk mandikan anak. Kena beranikan diri. Basuh berak anak jangan lupa. Jangan sekadar sental dengan tisu basah, basuh juga ia dengan air paip. Takkan nak harapkan mak mentua atau isteri yang tengah berpantang tu.

4. Bila anak berusia 7 hari, mohon si ayah cukur rambut bayi. Beli je mesin gunting rambut di Mr DIY. Kemudian, cukurkan. Senang. Jangan beri alasan takutlah, kepala bayi lembutlah, rasa gelilah, eh, macam-macamlah. Anak kita tu, berilah servis yang terbaik ya.

5. Bila anak selesai menyusu badan, bersambung pula dengan susu formula, ayah tolonglah belajar buat susu anak. Tak tahu, belajar.

6. Tapi iyalah, bila anak dah mula minum susu botol, mulalah jam 2 3 pagi dok merengek suruh buat susu. Jadi, janganlah pergi kejut isteri untuk buatkan. Ayah bangunlah tidur, bancuh susu dan beri pada anak. Dapat pahala tau.

7. Bila anak dah besar sikit, selalulah peluk mereka. Cium dahi, pipi, tangan dan ubun-ubun anak. Mereka akan rasa disayangi oleh seorang ayah.

8. Sebelum anak pandai untuk gosok gigi dan mandi sendiri, si bapa haruslah uruskan benda tu. Gosokkan gigi mereka, jirus dan sabunkan. Anggap saja ia satu khidmat yang kita beri untuk membantu isteri di rumah.

9. Sikatkan rambut anak perempuan kita selepas mandi. Belajar bagaimana nak ikat rambut mereka. Memang susah, dia lari sana sini. Ah, kau pandai-pandailah kunci pergerakan depa. Kahkah

10. Orang perempuan suka dipuji, maka pujilah anak perempuan kita selalu. Jangan kedekut untuk cakap comellah anak ayah, cantiklah anak ayah, bagi pickupline ke, apa sahajalah. Yang penting, kata-kata pujian.

ARTIKEL MENARIK [Menangis & Mengamuk, Jangan Tengking Suruh Diam. Guna Penawar Al-Fatihah, Tiup Di Ubun Anak]

11. Bila kita peluk anak, jangan lupa cakap, abi sayang Aya. Buatlah setiap hari. Dan ajar anak kita tu cakap benda yang sama. Aya sayang abi! Oh ya, Aya tu anak saya, Aya Sophia. Hehe

12. Ayah dan anak perempuan perlu ada chemistry. Maksud saya, kena pandai masuk ketika mereka bermain. Sebagai contoh, bila dia naik atas badan kita, maka jadilah kuda. Bila anak main masak-masak, kita cubalah buat-buat rasa masakannya walau tak ada apa-apa yang dia suap pada mulut kita. Gunalah imaginasi untuk mewarnai imaginasi anak kita. Jangan dok ralit main game je.

13. Tonton kartun kegemaran mereka bersama-sama. Bab ini saya suka. Upin Ipin saya tengok bersama mereka, Boboiboy, Ejen Ali, Ultraman, Doraemon, Omar Hana, Didi & Friends dan lain-lain. Err, sebenarnya bapak yang lebih suka, bukan anak. Kahkah

14. Ayah dan anak perempuan kena ada trademark. Sebagai contoh, high five ke, fist bumb ke, macam Baymax dalam Big Hero 6, fist bumb Neuro Style dalam Ejen Ali ke, colek ibu jari ke, macam-macamlah yang boleh dibuat.

15. Bila anak dah pandai bercakap, jadilah pendengar yang baik. Mendengar dengan penuh minat apa yang anak kongsikan, ceritakan, aduan dan sebagainya. Tunjukkan yang kita prihatin dan mendengar apa yang mereka katakan. Bukan anak cakap, mata kita dok mengadap phone layan group wassap. Anak perempuan ni paling banyak bertanya ketika usia mereka 4 dan 5 tahun.

16. Ayah kena sentiasa berkomunikasi dengan anak. Tanamkan persoalan akidah pada anak, bercerita, kongsikan kisah-kisah Nabi, wanita-wanita hebat dalam Al-Quran, ajarkan doa dan baca Al-Quran.

17. Si ayah wajib berkongsi pada anak-anak, berkenaan private part, sentuhan selamat dan tidak selamat, menjaga aurat, soal akil baligh anak perempuan dan isu-isu melibatkan kesihatan reproduktif. Ia tanggungjawab bersama suami dan isteri.

18. Jangan lebih-lebihkan antara anak lelaki dan perempuan. Layan sama rata. Tolong sangat jangan banding-bandingkan sesama mereka. Kata-kata tengok abang kau tu rajin, kau bodoh. Tengok akak kau tu, belajar pandai, kau macam tu jelah result. Anak amat benci kata-kata ini. Tukar kepada perkataan yang lebih baik, “anak ayah semua pandai. Yang membuat kalian berbeza adalah usaha serta sikap tidak berputus asa. Keep it up! Jom sama-sama berjaya. Kita bantu membantu satu sama lain.” Kerja rumah bagi sama adil. Jangan lagi berpegang kerja dapur tu kerja orang perempuan. Kerja lelaki dan perempuan sebenarnya. Didik dari awal.

19. Bila anak perempuan ini meningkat usia remaja, ketika itu mereka akan rasa bapanyalah lelaki paling baik, kacak, prihatin, pendengar yang baik dan boleh berkongsi cerita. Maka, mereka tak akan sewenang-wenangnya beri cinta pada lelaki tah mana-mana yang dia jumpa di sekolah, dalam internet atau tepi jalan. Mereka tak akan pilih lelaki selekeh untuk menjadi pasangan hidupnya.

LAGI ARTIKEL MENARIK [Suami Tak Dapat Teman Isteri Bersalin, Ustazah Nik Salida Ajar Doa Ini Untuk Diamalkan]

Saya rasa cukup 19 point ini. Semoga bermanfaat untuk kita semua. Moga kita menjadi bapa-bapa yang disayangi anak perempuan dan lelaki. Amin.

Kau tahu kawan, salah satu punca berlakunya kes cabul seorang bapa kepada anak perempuanya adalah disebabkan si ayah tidak berperanan sebagai seorang bapa. Beliau bertindak sebagai diktator di rumah dan mahu anak takut padanya.

Sejak anak perempuan ini kecil, langsung tak disentuh, dipuji, dimandi, disuap makan dan dibelai. Bila anak ini dah akil baligh, dah besar, tumbuh payu dara dan sebagainya, si jantan ini akan melihat anak dengan ‘pandangan’ yang lain. Tak rasa itu adalah anaknya.

Minta dijauhkan. Nauzubillah.

Sumber: Akhi Fairuz Al-Jengkawi

Published by
Wan Amy