Disaat kenaikan harga semua barang yang tidak terjangkau dek akal, lebih-lebih lagi pada harga minyak dan ayam, ada baiknya kita memilih cara masakan yang lebih sihat menggunakan air fryer untuk anak-anak dan keluarga.
Bukan hanya lagi jimat bahkan lebih sihat serba serbi. Bosan dengan ayam, apa kata jadikan Kentang Bakar Berempah ini sebagai kudapan untuk anak-anak di petang hari.
Ayam mahal, minyak mahal, maka kita makan kentang bakar sahajalah. Kita guna air-fryer atau oven untuk buat hidangan ni. Mudah, tapi anak-anak pasti suka. Sesuai buat kudapan.
Kentang Bakar Berempah by Kamarul Ariffin Nor Sadan
Bahan-bahan: (3-4 orang makan)
½ kg kentang kecil
1 sudu besar empingan cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil daun parsli kering
1 sudu kecil daun basil kering
3 sudu besar minyak masak
2 sudu serbuk keju parmesan
Garam secukup rasa
Kita sedia bahan-bahan. Kalau tak ada daun parsli atau basil kering, guna sahaja daun oregano.
Agar cepat empuk, potong kentang kepada 2 atau 4 bahagian, basuh dan rebus. Terpulang pada kalian nak kupas kulitnya atau tidak, tapi pada saya kulit tu yang akan buat sedap nanti.
Setelah kentang empuk, tos kentang, dan masukkan dalam mangkuk. Taburkan rempah ratus kita tadi serta minyak masak ke atas kentang. Saya gunakan minyak rendaman tomato yang kita buat tempoh hari.
Minyak rendaman tomato bakar tu akan menyedapkan lagi kentang kita ni.
Susun kentang, kulit di bahagian bawah. Jangan letak banyak sangat tau, nanti tak garing luaran kentang tu.
Set suhu sekitar 120-150°C dan masa 15-20 minit. Sejujurnya, hasil gorengan air fry tak sesedap deep fry, tapi apa boleh buat, keadaan memaksa. Haha! Kena jimat minyak masak.
OK ni hasil selepas 20 minit. Belum cukup garing. Kita terbalikkan kentang. Nak kulit dia pula garing. Biar luarnya rangup dan berempah, dan dalamnya empuk-empuk manis.
Kali ni kita set 200°C untuk 10 minit. Jika tak ada air-fryer atau oven, boleh goreng tohor (pan fry) guna kuali leper. Cuma kena rajin balik-balik kentang agar tak geseng.
Fuh itu dia hasilnya! Dah nampak menyelerakan. Kalau nak hidang dah boleh dah ni, tapi saya terbalikkan semula, dan tambah lagi 5-10 minit untuk dapatkan kerangupan yang saya mahukan.
Letak atas pinggan, tabur keju parmesan sikit, hias dengan tomato ceri, dan hidang dengan mayonis atau sos kegemaran kalian. Gurih! Pedas, masin, manis dan berlemak.
Siap!
Menarik: Hidung Terletak Macam Baby Korea, Wajah Ala-Korea Anak Intan Ladyana Curi Perhatian, Comelnya!
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat!
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Kredit: Kamarul Ariffin Noor Sadan