Diuji dengan pelbagai ujian hebat, penyanyi dan pelakon Bella Astillah mengakui bahawa ada kalanya dia berasa tidak kuat seperti apa yang diperkatakan oleh netizen di media sosial.
Melalui perkongsiannya menerusi satu video yang dikongsikan di Tik Tok, ujar ibu kepada dua anak ini dia sendiri mencari kekuatan buat dirinya untuk terus membesarkan anak-anak.
Menerusi video berdurasi 4:23 saat di TikTok Hijabista, Bella berkata dia sama seperti manusia yang lain kerana ada masa dia berasa down, sunyi, sakit hati, kecewa dan hancur.
“Bella sebenarnya tak lah kuat, cuma kekuatan ini datang sebab anak-anak. Bella syukur ada Ayden dan Ara sebab mereka beri saya kehidupan.
“Kalau Bella rasa down tak kisahlah sebab masalah mahupun kerja ke, kalau balik tengok muka mereka Bella akan gembira.
Ads
“Ini anugerah yang Allah bagi sebab merekalah peneman hidup Bella,” luahnya sebak.
Berbicara kisah keluarga, Bella memberitahu ibunya merupakan suri teladan buat dirinya sejak kecil malah teramat mengagumi ibunya.
“Mak inspirasi Bella. Orangnya rajin sangat-sangat sejak Bella kecil. Mak jaga Bella dan ikut ke mana sahaja Bella pergi. Kawan-kawan sekolah pun tahu.
Ads
“Bella tak pernah nampak dia mengeluh sehingga ke hari ini. Cuma dalam hal rumah tangga itu takdir masing-masing.
“Bella kalau boleh nak macam mama dan ayah. Mereka dah 32 tahun kahwin. Mungkin rezeki Bella bukan dekat situ. Bella percaya pada takdir hanya fokus untuk menjalani kehidupan selepas ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Bella dikurniakan dengan dua orang cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Tidak pernah tergambar dalam fikiran Michael Tong Wai Siong, 55, bahawa dia akan dipertemukan dengan takdir yang membuatnya menjadi “bapa” kepada tiga anak lelaki yang berbeza bangsa dan agama.
Namun, dalam perjalanan hidup yang penuh liku dan tidak dijangka, Michael menerima hakikat yang jauh daripada kebiasaannya. Di sebalik setiap kesedihan dan pengorbanan, kasih sayang yang terbina antara mereka mengubah segalanya, menjadikan hubungan itu lebih bermakna daripada sekadar pertalian darah.
Dikenali dengan panggilan mesra “Uncle Mike,” Michael merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Melalui penyertaan dalam kelab kereta dan program rumah amal, dia dipertemukan dengan tiga anak Melayu yatim piatu yang akhirnya mengubah seluruh hidupnya.
“Semasa saya pertama kali bertemu mereka, saya tidak pernah bayangkan akan jadi sebahagian daripada hidup mereka. Ia berlaku dengan begitu cepat,” katanya dengan mata berkaca.
Lebih 16 tahun yang lalu, di sebuah rumah anak yatim di Gombak, Michael dipertemukan dengan Rafei Ahmad Fauzi, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang baru kehilangan kedua ibu bapanya. Hati Michael terusik melihat kesedihan dalam mata Rafei, dan tanpa berfikir panjang, dia membuat keputusan besar untuk membawa Rafei pulang dan menjaganya sebagai anak angkat.
Namun, kebahagiaan itu tidak lengkap. Rafei mempunyai dua lagi adik lelaki, Rasyid yang ketika itu berusia 11 tahun dan Abdul Rahman yang berusia 8 tahun. Melihat kesedihan di wajah dua kanak-kanak itu, Michael tak sanggup memisahkan mereka. Tanpa memikirkan kesukaran yang bakal dihadapinya, dia memutuskan untuk menjaga ketiga-tiga beradik itu sekaligus.
“Pada mulanya, saya hanya niat untuk bantu Rafei. Tapi bila saya lihat wajah adik-adiknya yang tak sanggup berpisah, hati saya tak boleh biarkan. Saya tak mahu mereka rasa kehilangan lebih dari yang mereka dah lalui,” katanya dengan suara yang sebak.
Kini, setelah hampir 16 tahun, hubungan Michael dengan ketiga-tiga anak angkatnya kekal erat, seperti keluarga kandung. Rafei, 29, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, telah dewasa di bawah jagaan Uncle Mike, yang bukan hanya menjadi penjaga, tetapi seorang ayah yang penuh kasih sayang walaupun tiada pertalian darah antara mereka.
“Kasih sayang saya terhadap mereka tak pernah pudar. Walaupun kami berlainan bangsa, agama, dan asal-usul, hubungan kami jauh lebih dalam dari semua itu. Mereka adalah anak-anak saya, dan saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat dulu.”
Michael juga menyifatkan sokongan keluarganya sebagai salah satu kekuatan utamanya dalam menjaga ketiga-tiga beradik itu. Walaupun pada awalnya ada yang terkejut dengan keputusannya, keluarganya akhirnya menerima ketiga-tiga anak angkat itu dengan hati terbuka.
“Saya bersyukur kerana keluarga saya memahami dan menyokong keputusan saya. Mereka juga menasihati saya untuk menjaga anak-anak ini dengan penuh kasih sayang. Ini adalah rahsia yang saya simpan selama bertahun-tahun, dan tidak ramai yang tahu mengenai kisah kami,” tambah Michael.
Pada Isnin lalu, di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), Michael diiktiraf dengan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024 atas dedikasinya dalam menjaga tiga anak yatim berlainan bangsa dan agama. Lebih istimewa lagi, anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menjadikan Michael satu-satunya penerima berbangsa Cina pada hari yang penuh makna bagi masyarakat Islam.
“Saya terharu dan bersyukur. Penghargaan ini bukan sekadar untuk saya, tapi untuk seluruh keluarga saya dan anak-anak yang telah bersama saya selama ini. Ia menginspirasikan saya untuk terus berbuat kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan,” kata Michael dengan penuh rendah diri.
Ini bukan sekadar kisah tentang Michael menjaga tiga anak yatim. Ia adalah kisah tentang kasih sayang, pengorbanan, dan bagaimana sebuah keluarga boleh terbentuk walaupun tanpa pertalian darah. Kasih sayang sejati tidak mengenal bangsa, agama, atau asal usul, dan Michael adalah bukti hidup bahawa manusia boleh menyatukan hati yang terpisah, hanya dengan keikhlasan.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesungguhnya anak sulung ada keistimewaan tersendiri. Merekalah yang mengajar kita untuk menjadi ibu ayah serta mengajar kita erti kesabaran. Selain itu, kehadiran mereka mendidik ibu ayah untuk lebih matang dan bertanggung jawab.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr Taufiq Razif melalui penulisannya, terdapat beberapa fakta tentang anak sulung yang tidak ramai tahu.
Ikuti perkongsian ini.
Fakta Mengejutkan Tentang Anak Sulung Yang Tak Ramai Tahu
+ Anak Sulung mempunyai IQ yang lebih tinggi
Kajian daripada University of Edinburgh mendapati anak pertama (first-born children) mempunyai IQ yang lebih tinggi
Ini kerana anak sulung mendapat perhatian ibubapa (quality parental attention) yang lebih berkualiti dibandingkan adik beradiknya semasa masih kecil
+ Anak Sulung lebih cenderung untuk jadi CEO syarikat
Kajian yang diterbitkan oleh IZA Institute of Labor Economics mendapati anak sulung lelaki 24% lebih cenderung menjawat jawatan CEO daripada anak nombor dua dan 28% lebih cenderung untuk menjawat jawatan CEO berbanding anak nombor dua.
+ Anak Sulung lebih penakut
Ada satu kajian yang dibuat pada tahun 1968 mendapati anak sulung ni lebih cenderung untuk tak terlibat dengan sukan berbahaya disebabkan takut dengan kecederaan fizikal.
Walau apa pun kajian tentang anak sulung, yang jelas perangai dan kelakuan anak sulung akan menjadi ‘references’ atau tempat rujuk adik beradiknya yang lain.
Semua mata akan tertumpu padanya. Adik beradik akan tengok perangai anak pertama. Jiran jiran pun suka tengok perangai anak yang pertama. Mak ayah pun akan letak harapan yang lebih tinggi (higher expectations) pada anak pertama ni.
Jadi, tak mudah juga sebenarnya menjadi anak yang pertama ni sebab segunung tanggungjawab dan harapan orang di sekeliling yang terpaksa digalas di bahunya.
Cuma kita kena ingat, walau anak nombor berapa pun kita, kasih dan cinta kita pada mak ayah yang melahirkan kita tetap kena jadi yang pertama selepas Allah dan RasulNya.
Selain itu, anak sulung juga mempunyai kriteria seperti berikut:
KAYA KASIH SAYANG
Selalulah berbicara pada mereka. Katakan betapa anda sayangkan si sulung. Semakin mereka meningkat besar, mereka akan banyak buat perangai pelik untuk mendapatkan perhatian anda. Jika ibu dan ayah tidak lokek berkongsi perasaan sayang dan sering memberitahu mereka tentangnya, anak sulung akan membesar menjadi anak yang penyayang dan kaya dengan rasa cinta.
Bukan itu sahaja, mereka akan menjadi anak yang penuh dengan rasa hormat terhadap kedua orang tuanya. Apabila mereka membesar dalam persekitaran yang membahagiakan begini, mereka juga akan menyayangi dan disayangi oleh adik-adiknya. Bahkan, anak sulung akan sentiasa diutamakan oleh adik-adiknya dalam apa jua hal.
ADIK-ADIK JADI KEUTAMAAN
Ketika anda keluar dengan anak sulung dan bertanya tentang apa yang mereka mahukan, lihat jawapannya. Biasanya memang mereka akan beritahu apa yang mereka mahu, tetapi tidak lupa untuk mengingatkan kita untuk belikan juga untuk adik-adiknya. Cuba uji mereka dengan memberi makanan kegemaran mereka dan minta anak-anak untuk berkongsi. Biasanya anak sulung tidak kisah dan rela hati memberikan bahagiannya kepada si adik.
Jika anda lihat anak sulung anda begitu, ia satu petanda yang bagus. Anak sulung anda menjadi seorang abang atau kakak yang bertanggung jawab dan bertimbang rasa. Ajarkan juga anak-anak yang lain untuk sama-sama berkongsi agar tidak timbul soal pilih kasih di kemudian hari. Lagipun, berkongsi makanan atau barang dengan adik-beradik kan seronok?
SUKA MENYAKAT
Sekiranya si adik mengadu kepada anda yang abang atau kakaknya mengusik mereka, jangan terus dimarah. Tanyakan pada si sulung, mengapa mereka buat begitu. Ada masanya mereka tidak berniat untuk membuli atau mengganggu, tetapi sekadar suka menyakat kerana mahukan perhatian daripada adik-adiknya. Adakah anda perasan, biasanya anak berebut barang atau suka memotong cakap antara satu sama lain?
Biasanya adik akan menang, kerana abang atau kakak sulung akan memberi peluang kepada si adik. Bila melihatkan mereka begini pun, ibu ayah sebenarnya sudah boleh melihat kematangan anak sulung dan betapa mereka mementingkan adik-adik mereka. Pun begitu, jangan diabaikan kemahuan mereka. Sesekali, tidak salah jika anda yang meminta anak sulung untuk meluahkan perasaan mereka terlebih dahulu.
Shiera Ijoy menangis dengar ucapan dari anak-anaknya baru-baru ni di rancangan realiti “oh mummy “ di tv3 yang berkisarkan tentang keluarga Sharifah Shahirah (shiera ijoy) dan ijoy dalam membesarkan 5 orang anak yang pelbagai kerenah. Sering melihat Shiera dengan personalitinya yang riuh dan happy-go-lucky tapi bila dia menangis terharu membuatkan warganet tersentuh hati.
“Boleh tak kalau kita luangkan masa lebih banyak bersama berdua? main dalam hujan ke, main bola ke apa..”
“Mama.. thank you for teaching me how to be selfless like you..”
Pelakon dan penyampai radio Sharifah Shahirah, digemari oleh penonton dan warganet kerana walaupun dia seorang ibu yang tegas dalam mendidik anak namun dalam masa yang sama sentiasa menyokong minat dan memahami kehendak anak.
Pasangan selebiriti ini telah mendirikan rumahtangga selama 20 tahun dan membesarkan 5 orang anak iaitu Alisya, Airel, Aira, Aura dan Adeena.
Rata-rata warganet meninggalkan komen pujian kepada pasangan suami isteri ini kerana memaparkan sisi keibubapaan yang baik sehingga dapat membesarkan anak-anak yang terbuka dalam memaparkan emosi, matang dan jujur.
Antara komen-komen yang ditinggalkan oleh warganet:
Semoga keluarga Shiera Ijoy bahagia selalu dan anak-anak dapat membesar dengan baik dan berjaya dunia akhirat. Terima kasih Shiera Ijoy berkongsi realiti sebenar beliau membesarkan 5 orang anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.