KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj melalui kesukaran untuk hamil dan mengambil masa 10 tahun sehingga mendakap anakanda sulung, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Kata Permaisuri berjiwa rakyat ini, baginda disifatkan oleh Alhmarhum ayahandanya sebagai anak yang kuat. Bonda kepada lima putera puteri ini melihat nendanya, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultanah Tun Aminah Binti Ungku Ahmad sebagai dirinya.
“Kerana Tok (nenda) saya sendiri, Almarhum Sultanah Tun Aminah selepas 12 tahun berkahwin baru mendapat cahaya mata. Jadi saya melihat diri Tok sebagai seseorang yang memberikan semangat,” kata baginda permaisuri berlinangan air mata menahan sebak.
Mengimbas kembali bagaimana perjuangan nendanya itu mendapatkan cahaya mata, ia sungguh menginspirasikan permaisuri berusia 58 tahun ini.
“Bukan sahaja 12 tahun, 6 gugur. Melahirkan anak setahun kemudian meninggal. Hamil dan bersalin kemudian setahun kemudian meninggal dunia lagi.
“Ayahanda saya adalah anakanda yang keempat. 12 tahun berumahtangga barulah Nenda memperolehi cahaya mata yang hidup,” kata Tunku Permaisuri Agung.
“Saya seolah-olah seperti nenda saya sendiri di mana saya mengalami 6 keguguran dan melahirkan 6 anak. Kalau tidak saya sudah ada 12 orang anak manakala nenda pula 13 orang anak,” kata baginda.
DAHULU TAHUN 1920AN TIADA LAGI RAWATAN KESUBURAN
Kata Permaisuri kesayangan rakyat Malaysia ini, baginda turut cuba merasakan cabaran yang terpaksa dilalui nendanya.
“Jadi bila saya lalui ini semua, saya fikirkan nenda saya juga. Perkahwinan nenda pada tahun 1920, pada usia 14 tahun. Anak gugur dan anak meningga dunia. Nenda alami kesukaran mendapatkan anak. Agaknya masa tu sains perubatan tiada rawatan. Hanya pada tahun 1932, barulah seorang cahaya mata hidup iaitu Almarhum ayahanda saya,” ungkap baginda.
NENDA DAN SAYA TIADA BEZANYA
Puteri ketiga Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ini menganggap apa yang berlaku kepada nendanya adalah apa yang pernah dilalui dulu, tiada beza.
“Saya fikir jika nenda saya boleh melalui semua ini, tiada bezanya antara saya dan nenda. Ayahanda saya selalu berkata “Azizah macam Tok. Susah (dapatkan anak).”
Baginda Permaisuri Agung juga turut berkongsi kepahitan yang terpaksa didepani dalam usahanya mendapatkan zuriat. Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi amat prihatin dengan apa yang dilalui puterinya.
“Macam mana ye, menangis bila balik. Apabila selesai rawatan, dua minggu kemudian kita akan mengetahui keputusan sama ada mengandung atau tidak. Dalam dua minggu tu hati berdebar-debar tapi apabila mendapat keputusan, negatif mengandung.
“Saya menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu. (Baginda Permaisuri Agung sebak)
TAK SANGGUP TENGOK AZIZAH DERITA…
“Saya ingat lagi semasa lahirkan anak kembar, Almarhum memberitahu saya. “Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi.”
“Setiap kali saya membuat treatment dia tahu apa yang saya lalui. Saya ke Singapura dan balik kena baring selama 6 bulan.
“Azizah, Tuhan dah kurniakan Azizah 4 anak, cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita,” kata Almarhum.
Tapi rezeki sudah tertulis buat ibu cekal ini. DYMM Permaisuri Agung akhirnya hamil sendiri tanpa rawatan pada tahun berikutnya. Apa yang dikatakan Alharhum ayahanda baginda, itulah berkat sabar.
Paling manis ialah apabila Almarhum ayahandanya mengatakan dia adalah anak yang paling kuat dan diuji. Doa bapanya selalu mengiringi.
YAYASAN FERTILITI TUNKU AZIZAH
Pengalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, permaisuri berjiwa rakyat ini telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu pasangan kurang berkemampuan mendapatkan cahaya mata.
“Saya ada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah kerana saya tahu susahnya nak dapat anak. Dan anak saya seramai 4 orang pun daripada rawatan IVF. Saya buat tu apabila saya nak lancarkan buku masakan. Saya ditanya ke manakah saya nak salurkan hasil jualan meja-meja.
“Masa tu lah tercetusnya idea. Saya kata saya nak buat yayasan untuk menolong mereka berpendapatan rendah yang tak mampu untuk membayar kos rawatan infertiliti yang mahal iaitu RM20 ribu hingga RM30 ribu. Jadi apa yang Allah kurniakan kepada saya, saya nak beri balik untuk menolong,” kata baginda.
60 PASANGAN AKAN DIHANTAR MEMBUAT RAWATAN KESUBURAN
Alhamdulillah saya ada 115 cucu dan Insya Allah bulan depan, sempena hari keputeraan Tuanku yang ke 60, saya ingat saya nak hantar 60 orang untuk membuat rawatan. Raja Permaisuri Agong turut memberitahu ia masih dalam peringkat mesyuarat.
“Yang saya hantar beratus juga couple trough the years. Itu yang saya terima hasil daripada jualan buku dan makan malam amal, 100 peratus memang disalur untuk yayasan ini. Saya tidak kira bangsa dan agama tapi pasangan tersebut mestilah berkahwin dan bergaji terkumpul RM5,000 ke bawah,” kata baginda.
BERI HARAPAN KEPADA PASANGAN 35 TAHUN KE ATAS
Dalam pemilihan, baginda menumpukan kepada pasangan yang pada peringkat usia 35 tahun hingga 43 tahun.
“Saya selalu tumpukan kepada pasangan yang berumur 35 tahun ke 43 tahun untuk memberikan peluang dan harapan yang lebih. Yang muda-muda saya kata tunggu sekejap. Tapi ada juga yang muda tetapi bila kita tengok surat daripada doktor report 30 tahun kahwin pun tak akan mengandung.
“Dan masalah kesuburan ini bukan masalah isteri sahaja, 50% daripadanya adalah daripada suami. Lelaki juga ada masalah.”
Antara kriteria kelayakan ialah;
- Berdaftar sebagai pasangan suami isteri
- Pasangan suami isteri adalah rakyat Malaysia
- Umur isteri tidak melebihi 45 tahun
- Bukan penderma sperma / ovum
- Maksimum pendapatan bulanan bersama pasangan tidak melebihi RM4,000.00
- Tempoh perkahwinan melebihi 3 tahun
Jika memenuhi kriteria :
Pasangan hendaklah melengkapkan dan menandatangani borang permohonan berserta borang penilaian Pakar Sakit Puan.
Terdapat beberapa lagi peringkat dan prosedur perlu dilalui. Untuk keterangan lanjut boleh melayari Portal Diraja Pahang > TUNKU AZIZAH FERTILITY FOUNDATION (TAFF).
"Semua tahu bagaimana susahnya saya nak dapat anak. Empat anak saya hasil rawatan IVF.Saya sembilan tahun lebih kahwin pun macam hendak putus asa, 17 kali buat rawatan. Setiap kali saya mengandung, saya kena baring enam bulan tak turun daripada katil," kata Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Posted by Utusan Online on Sunday, July 28, 2019
Sumber: Utusan Online & Portal Diraja Pahang
Foto: istana_negara
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI