Setiap kali tibanya Ramadan, pasti ada ibu bapa yang menjanjikan ganjaran untuk anak jika dapat berpuasa penuh. Cara ini sebagai cara memotivasi dan menaikkan semangat anak. Sebenarnya terpulang pada ibu bapa asalkan ia memberi kebaikan.
Bagaimanapun pelakon, Datuk Aaron Aziz pula tidak pernah mengamalkan langkah memberi ganjaran seperti wang atau hadiah dalam menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh dalam bulan Ramadan.
Sebaliknya kata Aaron, dia sentiasa mengingatkan mereka mengenai tujuan sebenar berpuasa dan keberkatan yang diperoleh sekiranya ia dilakukan kerana Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Saya sering beritahu mereka kalau tak boleh buat untuk Allah, macam mana Allah hendak dengar apa permintaan kita?
“Saya tidak amalkan ganjaran tetapi sentiasa ingatkan berpuasa di bulan Ramadan adalah diri mereka dengan Tuhan,” katanya.
Ads
Bagaimanapun kata Aaron, itu bukan bererti dia menentang sekiranya ada ibu-bapa memberi ganjaran dalam menggalakkan anak-anak mereka berpuasa.
“Tiada apa yang betul dan salah dalam memberi motivasi kepada anak-anak dan setiap orang ada cara masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aaron mengakui dia seorang bapa yang tegas terhadap tiga anaknya setiap kali tiba bulan Ramadan kerana tidak mahu mereka ambil acuh tak acuh mengenainya.
Ads
Kata Aaron, dia mendidik mereka agar berpuasa seawal usia tujuh tahun kerana ingin mereka membiasakan diri dengan rukun Islam yang ketiga itu.
“Dua anak saya mula berpuasa ketika mereka berusia lapan tahun manakala yang bongsu tujuh tahun.
Ads
“Sebagai bapa saya memang tegas tentang berpuasa dan tidak mahu mereka ambil sambil lewa akan perkara itu.
“Sementara mereka masih kecil, saya mahu tegas tentang soal itu agar mereka terbiasa dengan tanggungjawab sebagai seorang Islam,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Diyana Halik, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7.
Kebiasaan seorang ibu akan tengking atau pukul bila anak buat perangai kan? Jarang-jarang tindakan seorang ibu itu penuh lemah lembut memberi sentuhan dan belaian bagi meredakan hati anak yang sedang diamuk amarah.
Namun cubaan pendekatan berbeza yang dilakukan oleh Cikgu Eya Humaira terhadap anak saudaranya yang sedang diamuk amarah membuahkan hasil yang mengejutkan dirinya sendiri.
Tips tersebut dipelajari selepas membaca buku keibubapaan yang mengetengahkan perubahan kecil dalam teknik parenting yang dibuat oleh ibu bapa boleh membawa kesan yang besar dalam pembentukan akhlak, sahsiah malah mind set anak.
Bila Dituduh Koyak Buku
‘Aaaaaaaaa…….. Din tak buat lah’ jerit anak sedara saya, Muhammad.
Muka nya tegang, dada berombak deras dengan nafas yang turun naik menahan marah.
Membentak-bentak dia dengan kaki yang dihentak-hentak.
Tangan nya di kepal-kepal, dekat dengan muka si adik, Maisarah. Cuba menggertak.
Kami sedang santai berbuka puasa.
Si Muhammad sibuk jalankan projek kinestetik nya dengan mengoyakkan entah apa benda.
Maisarah nampak, terus tukar mode comel kepada makcik bawang. Mengadu pada opah dan atuk..
‘Muhammad koyak kan buku’ katanya dalam nada pelat budak empat tahun.
Seb baik comel dengan mata besar, rambut pony tail, pipi pau masak stim.
Tapi si abang tetap marah.
Terasa bagai difitnah.
Sibuk lah dia membela diri.
Kami pula khusyuk makan nasi lauk kambing masak kurma, mana nak angkat muka.
Sekadar bersuara tinggi dari meja makan yang jaraknya beberapa meter dari lokasi kejadian.
‘Muhammad, usah lah’ walid bersuara
‘Muhammad, koyak buku tu kenapa? Buku opah tu. Nanti opah marah’ ibu nya pula
‘Muhammad, kenapa sepah-sepah ni? Muhammad kemas sekarang’ makcik bawang ke dua tak lepas peluang. Adik saya lah tu.
Hahaha….
Ajaibnya Kuasa Sentuhan
Makin kami cuba tenangkan dia, ugut dia, ancam dia dengan bersuara dari jauh, semakin pula dia rebel dengan menjerit tak tentu hala.
Kami masing-masing dah panas hati.
Mendidih je rasa.
Mujur ada teh ais cincau kaw kaw dalam gelas masing-masing.
Boleh lagi kontrol suara.
Saya senyap. Bangun.
Berjalan dekat dengan Muhammad.
Berlutut depan dia.
‘Muhammad koyak kertas, ya? Owh… bukan koyak buku. Adik kata Muhammad koyak buku ya’ saya bersuara.
Tangan saya mengusap-usap dada nya yang bergelora menahan marah dengan muka yang berkerut-kerut. Kemudian berpindah pada ubun-ubun dan belakang badan.
Saat, hanya beberapa saat.
Mood dia berubah terus.
‘Haah, ini kertas. Bukan buku opah’ katanya.
Terus tukar suara manja mengadu.
Rupanya dia hanya nak membela diri.
Dia nak didengari.
Dia nak bagitau, dia tak buat salah.
**********
Semalam telah selesai sesi book review di hadapan para guru seramai 90+ orang bersama barisan pentadbir.
Saya pilih buku ini untuk dibentangkan.
Kenapa?
Pertama.
Sebab saya banyak dapat input dari buku ini tentang kaedah parenting.
Boleh lah dibuat modal berdepan dengan kerenah anak-anak sedara yang sesekali balik kampung.
Kedua.
Sebab saya tak ada anak lagi.
Jadi mereka tak boleh bash saya dengan tengok hasil iaitu kemenjadian anak. Hahaha…
Bijak, kan?
Bagi ibu bapa yang masih punya anak untuk dididik, mahupun guru yang berhasrat meningkatkan kualiti diri demi anak murid, buku ini WAJIB anda miliki.
Fakta nya ringkas, padat, berserta teori psikologi serta pembelajaran, termasuk maklumat kesihatan berkaitan pemakanan anak yang ringkas dan mudah.
Malah teknik parenting nya sangat santai, praktikal dan boleh jadikan amalan harian kita.
Buku ini mengetengahkan perubahan kecil dalam teknik parenting yang dibuat oleh ibu bapa boleh membawa kesan yang besar dalam pembentukan akhlak, sahsiah malah mind set anak.
Sangat bermanfaat.
Selepas pembentangan semalam, ramai yang jumpa saya dan kata..
‘Ye lah, Eya. Tak terfikir pun nak buat camtu’
‘Eya, tak sangka betul lah rupanya bagi anak makan tempe lebih baik dari bagi makan yogurt’
‘Akak nak cari kacang botor lah lepas ni, Eya’
Juga beratur lah mereka nak meminjam buku ni dari saya.
Tapi saya tetap kata, elok nya beli.
Sebab bila-bila masa kita nak rujuk, senang. Kita bukan nya ada photographic memory.
Sekali baca terus ingat semua, kan?
Tahniah, Dr Taufiq Razif kerana berjaya menghasilkan buku yang osem sangat ini.
InsyaAllah jika ada book review lagi saya pilih buku genre lain pula.
P/s: ini gambar semasa menunggu giliran untuk membentang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam satu kajian menunjukkan 41.5% kanak-kanak di Malaysia tidak dapat tidur yang mencukupi. Tidur merupakan keperluan yang amak penting dan paling asas dalam perkembangan kanak-kanak.
Berdasarkan Maslow’s Hieraki tidur termasuk di dalam salah satu keperluan fisiologi yang paling penting untuk dipenuhi dengan baik.
Tidur bukan sahaja keperluan yang sangat penting bagi kanak-kanak tetapi bagi semua lapisan umur. Tetapi bagi kanak-kanak masa tidur mereka lebih panjang kerana mereka sedang dalam fasa membesar dan berkembang. Keperluan tidur yang tidak dijaga dengan baik akan memberi impak negative daripada sudut akademik dan juga sikap dan perangai mereka.
Berikut merupakan masa/jam tidur yang diperlukan bagi kanak-kanak:-
Umur 2 bulan ke bawah :12 – 18 jam
Umur 3 bulan – 1 tahun : 14 – 15 jam
Umur 1-3 tahun : 12 – 14 jam
Umur 3-5 tahun : 11 – 13 jam
Umur 5-12 tahun: 10 – 11 jam
Umur 12-18 tahun: 8.5 – 9.5 jam
Apa yang akan berlaku sekiranya kanak-kanak tidak cukup tidur?
Tidur yang tidak mencukupi akan menyebab kanak-kanak tidak dapat memberi tumpuan di dalam kelas dan ketika guru mengajar. Fokus mereka lebih tertumpu kepada usaha untuk tidak tertidur di dalam kelas.
Kesan yang lebih buruk terhadap kanak-kanak yang tidak cukup tidur adalah prefrontal cortex tidak dapat berfungsi dengan baik.
Prefrontal cortex merupakan sebahagian daripada otak depan yang berfungsi untuk membuat perancangan, berfikir secara luar kotak dan juga menganalisa.
Jadi kanak-kanak akan rasa terbeban ketika berhadapan dengan situasi untuk menyelesaikan masalah atau tidak menjumpai jawapan yang betul.
Fungsi prefrontal cortex yang menurun disebabkan tidak cukup tidur turut memberi kesan kepada interaksi sosial mereka.
Kekurangan fungsi ini akan menyebabkan kanak-kanak lebih pentingkan diri sendiri, kurang empati dan berdepan dengan kesukaran untuk menyelesaikan masalah.
Bagaimana Tidur Itu Mampu Membantu Otak Kanak-Kanak?
Kanak-kanak memerlukan tidur yang berkualiti dan cukup bagi menguatkan ingatan terhadap informasi yang baru mereka terima dan tidur juga membantu informasi itu difahami dan dapat dihubung kait antara satu informasi dengan infromasi yang lain.
Lagi banyak perkara dan maklumat yang diterima mereka, lagi banyak tidur yang diperlukan. Mengajar mereka perkara baru ketika mereka dalam keadaan umpama mencurah air ke daun keladi.
Berdasarkan jurnal Memory stabilization and enhancement following music practice, apabila anak anda belajar kemahiran motor yang baru seperti memukul bola hoki, bermain gitar atau menari.
Tidur akan membantu otak menghantar memori jangka pendek(Short term memory) perkara yang di pelajarinya ke ‘cortex motor’.
Jadi bila diulang kembali kemahiran motor tersebut, mereka mampu lakukannya dengan lebih pantas dan lebih tepat.
Ada satu istilah yang di panggil Hypnagogia. Hypnagogia merupakan situasi di mana seseorang itu antara Sedar dan Tidur. Di fasa ini, kita akan jumpa cara yang kreatif untuk menyelesaikan masalah ketika siang hari. Ini kerana otak menyusun dan menstrukturkan semula memori dan kesannya meningkatkan kreativiti
Otak memerlukan tenaga untuk berfungsi. Hasil daripada itu menghasilkan sejenis toksik yang perlu disingkirkan melalui ‘glymphatic system’. Toksik ini perlukan di singkirkan kerana ada kajian menunjukkan toksik ini antara sebab berlakunya penyakit Alzherimer.
‘Glymphatic System’ berfungsi sepanjang masa tetapi lebih aktif ketika waktu tidur. Jadi untuk memastikan proses pembersihan berjalan dengan optimum kanak-kanak perlukan tidur yang cukup.
Ketika tidur short-term memories akan ditukar kepada long-term memories. Ketika tidur otak akan memaparkan semula memori pada hari itu dalam proses yang penting untuk menguatkan ingatan.
Berdasarkan Sleep Deprivation dan False Memories tidak cukup tidur pada kanak-kanak bukan sahaja menyebabkan otak mereka gagal untuk menukar ‘short-term memories’ kepada ‘long-term memories’. Malah memori tersebut akan bercampur aduk antara daripada situasi yang lain dan mewujudkan false memories.
KESIMPULAN
Sebagai penjaga kepada kanak-kanak sama ada ibu-bapa atau guru, memastikan mereka mendapat tidur yang cukup sangat penting demi memastikan otak mereka dapat berfungsi dengan baik.
Kasihani mereka, mereka terlalu muda untuk ditekan dan dipaksa di luar kemampuan mereka.
Pastikan kanak-kanak mendapat keperluan asas mereka dengan optimum, demi memastikan kesan dan impak yang lebih hebat.
Ilmu yang datangnya dari sejak kecil lagi sebenarnya perlu ditanam dalam diri anak-anak lelaki kita supaya kelak mampu menjadi anak dan suami yang baik kepada isteri dan anak-anaknya.
Didiklah anak-anak kita khususnya anak lelaki akan segala urusan di dalam rumah. Biar mereka belajar selok belok dapur agar mendidik mereka menjadi lebih bertanggungjawab kelak. Luahan dan perkongsian saudara Muhammad Yusof di facebooknya ini wajar kita jadikan ikutan dalam mendidik anak-anak kecil kita.
Kita rasa remeh namun anak belajar daripada apa yang dilihat di sekelilingnya. Jadi berusahalah untuk memberikan ilmu sebanyak mungkin dan pengalaman yang berfaedah buat anak kita di masa depan.
Ajar anak kenal selok belok dapur
Tengah aku beli surat khabar tadi tiba-tiba bini telefon ‘darling tolong belikan cabai hidup..’
Cabai hidup? Ah, mencabar jugak ni. Cabai tu aku tau la cili/lada. Cabai hidup ni spesis mana pulak?
Aku pun pergilah ke pasar basah lepas tu aku cari kedai yang tak berapa ramai orang. Malu bhai pergi kedai ramai orang, sat gi aku tanya ‘bang, yang mana ya cabai hidup?’ mesti tiba-tiba masa akan jadi jeda dan masyarakat sekeliling akan memandang ke arah ko sambil berbisik-bisik sesama mereka ‘dia ni cabai hidup pun tak kenai’.
Aku aim satu kedai ni sorang pak cik yang jaga dan tak tak berapa ramai sangat orang time tu. Ada sorang budak, mungkin anak dia kot kat depan kedai dia ni.
Aku pun tanya acik yang jaga kedai tu ‘Acik, cabai hidup yang mana ya?’. Seperti yang dijangka, aku tengok pak cik tu senyum je. Dia kata kat budak tadi ‘Mat, hang tunjuk abang ni cabai hidup yang mana..’
‘Bang yang depan abang merah tulah cabai hidup, yang sebelah dia cabai melaka, yang tu cabai kering. Yang dalam botol tu lada hitam..’ Fuh detail budak tu bagi kat aku. Pak cik tadi senyum je aku tengok.
Bawa anak pergi pasar
Aku rasa benda basic ni walaupun nampak macam biasa tapi pada aku ia adalah ilmu parenting yang sangat bagus untuk diterapkan kepada anak-anak kita sekarang. Tak kiralah anak lelaki ke, anak perempuan ke.
Yang ada anak jom kita biasakan anak-anak kita bila ke pasar, kenalkan dengan sayur, buah, ulam-ulam, jenis-jenis ikan dan kalau kita balik kampung, mungkin kita boleh buat task pada dorang untuk mengenal pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah kita.
Yelah takkan nanti bila dorang dah besar, bila isteri suruh beli halia nak buat nasi lemak. Takkan kita nak google halia tu macamana kan? Malu beb, malu.
Sebab tu mak-mak kita dulu-dulu, setiap hari suruh kita bangun awal, suruh kemas bilik, basuh basikal sendiri, beli barang kat kedai, sapu sampah, sidai baju, lipat baju. Anak lelaki ke perempuan ke dulu mak kita paksa je buat.
Aku dulu fikir kenapalah mak-mak ni paksa buat kerja, dah la tak bagi upah. Baru landing nak tengok Dragon Ball, tiba-tiba mak panggil suruh beli kunyit kat kedai, ah, rasa nak telepon je teledera time tu. Hehe.
Bersedia jadi suami bila berkeluarga
Tapi itulah 10-20 tahun ke depan bila dah dewasa, dah matang, baru aku perasan yang apa yang mak aku suruh buat tu adalah ilmu parenting yang sangat berguna buat anaknya menghadapi kehidupan berkeluarga. Betul tak?
Dalam diam tak diam, mak-mak kita sebenarnya dah macam ahli nujum yang mampu untuk dedahkan kepada kita apa yang akan bakal kita lalui untuk jadi yang terbaik sebagai suami dan sebagai isteri.
Ilmu parenting ni yang kurang kita buat kat anak kita, sekarang ni kan? Parent sekarang tak berapa nak harap anak buat kerja sendiri. Berdikari. Semua kita tolong mereka buat sampaikan kerja sekolah pun kadang-kadang ada parent tolong buatkan.
Dalam masa yang sama, ajarlah juga anak-anak tentang slanga atau dialek daerah suami atau isteri sebagai meraikan silang budaya antara keluarga. Walaupun pada awalnya mungkin anak-anak keliru tapi akhirnya benda tu akan jadi normal pada mereka.
Aku belajar sesuatu hari ini tentang ilmu parenting. Walaupun ianya datang dari pasar basah. Ini yang orang kata ilmu terbaik kadang datangnya daripada jalanan.
Dalam kita sedar tak sedar ilmu parenting terbaik adalah daripada mak-mak kita sebenarnya, walaupun dorang takde pun belajar tinggi tapi ilmu pengurusan keluarga mereka, kalau nak diiktiraf dengan sijil, aku rasa PHD pun takkan sama dengan air tangan ibu kita dalam membesarkan kita.
Sambil-sambil kita ajar anak buat kerja rumah kita ingatkanlah anak-anak kita apa yang kita suruh dorang buat ataupun tegur, semuanya ada sebabnya. Walaupun dorang mungkin akan mengeluh, nanti bila dorang dah besar dan bekerluarga, macam aku, dorang mesti akan tiba-tiba teringat momen tu sambil terfikir ‘betul jugak apa mak aku cakap dulu..’.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!