Ada sebab kenapa bayi menanis. Bukan hanya kerana lapar, boleh jadi juga dia tak selesa dengan lampin yang basah ataupun perut kembung. Memandangkan bayi ni tak boleh bercakap, jadi mereka gunakan tangisan sebagai isyarat unuk menyampaikan sesuatu pesanan kepada mama papa. Namun kalau asyik menangis, buntu juga kita nak tahu apa masalahnya kan?
Sekiranya anda sudah biasa mengendalikan anak sendiri, anda akan tahu apa yang mereka mahukan apabila menangis. Sebagai langkah pertama sebelum anda memeriksa dengan lebih lanjut, anda boleh lakukan lima perkara ini dahulu:
Tukar lampin. Kemungkinan lampin basah menyebabkannya dia tidak selesa.
Berinya susu atau makanan. Mungkin dia kelaparan atau haus.
Periksa perut bayi jika dia alami kembung perut. Sapu minyak angin pada perutnya.
Cuba tidurkan bayi. Dia mungkin mengamuk kerana mengantuk.
Periksa pakaian yang dipakainya sama ada terlalu ketat atau tebal yang menyebabkannya tidak selesa. Tukar jika perlu.
Jika bayi masih menangis selepas anda buat lima perkara ini, mungkin anda boleh meredakan tangisan si manja dengan beberapa cara yang lain. Usah risau, ia tidak susah dibuat dan biasanya berkesan untuk menenangkan mereka.
1.BAWA BAYI KE TEMPAT YANG TENANG
Bayi boleh menjadi lebih mudah dirangsang apabila berada di ruang yang tenang dari kebisingan dan suasana nyaman. Kadang kala dengan pencahayaan, bunyi dan persekitaran mudah untuk bayi bergerak akan bayi menjadi cerewet. Cuba alihkan bayi ke lokasi yang tenang dan tempat yang biasa dengannya untuk si manja berada dalam keadaan tenang. Pencahayaan bilik yang dimalapkan sedikit juga boleh meredakan tangisan mereka.
Ads
Sumber foto: www.freepik.com
2.BEDUNG BAYI
Kebanyakan bayi suka dirinya dibedung kerana ia membuatkan dirinya berasa selamat seperti di dalam rahim ibu. Apabila si manja di bedung, ia dapat membantu mengawal pergerakan (refleks Moro) bayi anda dan membantu si manja tidur nyenyak.
3.BUAIKAN
Perlahan-lahan buaikan bayi anda dalam gerakan berirama yang boleh membantu mengatasi masalah bayi yang cerewet. Gerakan berirama mengingatkan bayi anda berada di dalam rahim. Anda juga boleh dodoinya sambil berjalan atau meletakkan di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang.
Membuaikan si manja dalam dukungan seperti ini boleh meredakan tangisannya.
4.MENYANYI
Mengulangi bunyi seperti “Shhh, shhh, shhh” atau “ahhh, ahh” dalam corak irama pada nada yang sama boleh membantu menenangkan bayi anda. Tidak mengapa jika suara tidak merdu, asalkan bunyi suara anda adalah biasa dan selesa untuk bayi anda. Bagi Muslim, boleh mengalunkan zikir dalam nada yang sama untuk menenangkan si manja.
Ads
Sumber foto: www.freepik.com
5.UBAH KEDUDUKAN
Kadang-kala memegang bayi dengan cara berbeza boleh membantu memberikan keselesaan pada si manja yang cerewet. Jika bayi anda mempunyai masalah kolik atau kembung perut, anda boleh memegang bayi dengan kedudukannya menghadap anda. Posisi dukung cara ini memberi tekanan pada bahagian perut kecilnya yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan si manja.
6.MASA UNTUK SENDIRIAN
Jika anda masih tidak dapat menenangkan bayi anda yang cerewet ini, cuba letakkan si manja di tempat tidur bayi untuk beberapa minit. Kadang-kala seperti orang dewasa, bayi hanya mahu sendirian untuk dirinya berehat tanpa diganggu.
Ads
Jika anda telah mencuba pelbagai keperluan bayi anda dan mencuba panduan yang diberi ini, namun masih gagal menenangkan bayi, cuba dapatkan rawatan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat serta melakukan pemeriksaan kesihatan bayi.
Info Mengenai Kembung Perut/Kolik
Tangisan bayi selalunya akan lebih kerap di antara usia enam hingga lapan minggu dan akan berkurangan apabila bayi berusia tiga bulan. Jika bayi anda baru lahir sihat tetapi menghidapi kolik, akan membuatkan bayi anda menangis kerana tidak selesa.
Sumber foto: www.freepik.com
Tangisan akibat kolik berbeza daripada tangisan yang normal kerana lebih kuat dan bernada lebih tinggi.Tangisan bayi yang kolik kedengaran seolah-olah dia dalam kesakitan atau berteriak. Bayi yang menangis kerana kolik lebih sukar ditenangkan dan tangisan mungkin akan berakhir selepas dia mengeluarkan angin atau membuang air besar.
Jangan susah hati okay mama papa, periksa betul-betul dan ambil tahu kenapa si manja anda menangis!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Dia memang nak berdukung 24jam, mama memang tak dapat buat kerja” biasa kita dengar keluhan dari ibu-ibu tentang anak yang suka nak berdukung atau melekat ini. Bagaimana sebenarnya cara nak atasi anak yang suka melekat ni? Ikuti perkongsian.
ANAK NAK BERDUKUNG 24 JAM
Baru-baru ini ramai mak ayah yang bertanya macam mana nak mengatasi masalah anak yang suka berdukung setiap masa, dan akan menangis setiap kali letak bawah. Adakah nak biar sahaja anak menangis atau ikut kehendak anak?
1. Keperluan Sensori
Pertama, kena faham kenapa bayi suka kena dukung. Ok macam ini, bayi secara fitrahnya memang suka kena dukung. Sebabnya apabila didukung, secara tak langsung dia akan dipeluk, terasa dibuai dan didodoi seperti duduk di dalam rahim ibu lagi. Perkara ini saya suka kaitkan dengan Pyramid of Learning (Williams & Shellenberger), ada 3 core sensory yang menjadi asas dalam pyramid ini iaitu
Tactile (deria sentuhan)
Vestibular (deria keseimbangan/balance)
Propioception (deria sendi/joint senses)
Sejak dari lahir, bayi memerlukan semua deria ini dalam proses perkembangan otak yang sihat. Ramai mak ayah ingat keperluan bayi hanya minum susu, cukup tidur dan tak sakit perut sahaja. Sebenarnya peluk bayi atau dukup bayi juga salah satu keperluan bayi.
Disebabkan inilah bayi nampak lebih bahagia apabila kerap dibelai (deria sentuhan), dipeluk (deria sendi) dan didukung (deria keseimbangan). 3 deria penting ini memang sangat diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Setiap bayi berbeza keperluannya.
Maka, jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Tugas kita ialah memenuhi semua keperluan deria ini dan caranya bukan hanya dengan berdukung. Ada banyak cara utk memenuhi keperluan sensori bayi, tak perlu beli apa-apa pun cuma pakai apa yang ada sahaja. Contohnya:
Tactile (Deria sentuhan)
Pakaikan losyen pada bayi sambil belai-belai seluruh badan bayi.
Sambil minum susu digalakkan usap-usap kepala anak sekali.
Baringkan bayi dekat atas baju yang belum lipat, lagi banyak jenis material kain lagi bagus.
Beri bayi gengam jari kita.
Usap tangan dan jari jemari bayi.
Beri bayi main dengan pelbagai jenis tekstur dan bentuk.
Vestibular (Deria keseimbangan)
Letak dalam buaian ataupun bouncer semasa bayi sedar. (Penerangan dalam post lain) Proprioception (Deria sendi/ Joint sense)
Urut lepas mandi, sangat penting and tolong jangan skip untuk bayi yang baru lahir.
Pakaikan bedung untuk bayi yang baru lahir. (Nanti saya cuba post tentang amalan nenek moyang kita dan sensori bayi, panjang sangat penjelasannya)
Selalu buat “tummy time” seawal baru lahir.
Peluk bayi.
Cara diatas ini boleh dilakukan untuk bayi baru lahir untuk memenuhi keperluan sensori mereka.
2. Separation Anxiety
Kedua, kenapa bayi suka berdukung adalah disebabkan Separation Anxiety (resah bila berpisah). Ini adalah normal dalam proses perkembangan emosi bayi. Bila kita hilang dari pandangan, bayi akan rasa macam kita akan hilang selamanya. Sebab itulah, bila kita letak ke bawah bayi risau kita “hilang”.
Biasanya akan bermula bila bayi dah kenal orang sekeliling, lagi teruk bila pergi rumah orang taknak lepas nak melekat sahaja. Biasanya bermula seawal 6-7 bulan dan waktu genting sekitar 10-18 bulan dan mungkin akan berterusan sampai umur 2 tahun. Jangan risau, ini semua akan hilang ikut masa. Kena ingat setiap bayi berbeza.
Enjoylah masa anak nak berkepit dengan kita, tanamkan dalam fikiran yang kita nombor satu dalam carta hati 😅
Tapi, berdukung/melekat 24 jam ini mungkin akan timbul masalah lain sekiranya bayi kurang “tummy time”, meniarap atau merangkak. Jadi mak ayah kena jugak buat sesuatu, supaya bayi belajar yang kita tak “hilang” pun. Caranya;
i. Ajar konsep “bye- bye”. Bila kita ke mana-mana, cakap “bye, ibu pergi toilet/dapur ni”. Kalau baru-baru memang dia akan menangis, jadi kita pergi sekejap je main cak-cak dengan dia 🤣. Bila dah selalu buat, dia dah faham konsep “bye” baru boleh pergi lama sikit.
ii. Kena selalu bercakap dengan bayi walaupun dia tak faham. Bagitahu nak pergi toilet, nak pergi makan nak kemana-mana kena report bigboss. Nanti lama-lama dia faham, makan dekat dapur, toilet dekat mana dan sebagainya.
iii. Kalau pergi mana-mana, bawa mainan yang dia biasa main untuk dia rasa selamat macam rumah. Boleh kurangkan ini bila anak dah boleh sesuaikan diri dengan tempat baru.
iv. Kalau punca berdukung sebab bosan, bagi dia pegang apa-apa barang baru yang selamat. Contoh ke dapur, bagi main senduk, tupperware, bekas bekas yang selamat untuk alihkan perasaan nak berdukung.
v. Untuk yang dah pandai merangkak atau berjalan, selalu main kejar kejar dengan dia. Bila dia datang dekat nak dukung, kita lari sambil gelak-gelak 💃
vi. Cara terakhir, kalau bayi minta dukung tapi kita cakap ada kerja nak buat. Biarkan dia menangis. Jangan pandang langsung, muka senyum relaks je. Lepas dah siap kerja, cakap “ok dah siap” sambil pandang anak. Masa ini baru boleh pergi ke anak. Semakin lama, boleh cuba makin jarakkan masa pergi pada anak. Lama-lama anak akan percaya yang kita tak abaikan pun dia, cuma ada kerja sekejap.
Yang penting dalam semua diatas adalah emosi kita masa menangani masalah anak nak berdukung. Kena relaks, muka pun tak boleh berkerut kena senyum sahaja masa letak dekat bawah. Jangan ada sikit pun rasa bersalah sebab bayi boleh kesan emosi dan reaksi kita berkerut yang kelam kabut itu 😁
*Ada yang sedang mengalaminya tak? 🙋♀️
Selamat mencuba! 👶
Terima kasih, silakan share sekiranya bermanfaat untuk diri dan orang lain. 🌷
Kredit:Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist
BEYOND Home Therapy Selayang, Selangor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila anak mula menangis terutamanya ditempat umum, emosi mak ayah mulalah terganggu. Nak dimarah nanti makin kuat pula menangis, nak dibiarkan apa pula kata orang ramai yang lalu lalang. Serba tak kena dibuatnya.
Apa yang ibu ayah perlu buat adalah kenal keperluan dan perkembangan anak-anak yang sememangnya berbeza. Menurut Puan Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist, perkara pertama yang perlu ibu ayah buat adalah abaikan kata-kata orang lain. Paling penting kita tahu kenapa si kecil tiba-tiba menangis.
Ikuti perkongsian yang bermanfaat untuk semua!
ANAK MENANGIS
Anak menangis?
Semua mak ayah akan menghadapi situasi ini cuma yang membezakan macam mana kita menyelesaikannya. Ada banyak sangat pendapat terutamanya di media sosial. Ada yang kata:
“Biarkan je anak menangis, biar dia belajar mengawal emosi sendiri dan bagus untuk paru-paru”
“Jangan biar anak menangis sebab akan menyebabkan masalah perkembangan di masa akan datang”
“Anak menangis terus angkat, mak ayah spoil anak”
Setiap kali Kelas Merangsang Perkembangan Anak, mesti akan ada soalan tentang anak menangis. Jadi, disini saya nak kongsikan tentang topik anak menangis.
ABAIKAN “ORANG KATA”
Benda pertama adalah mindset mak ayah, kalau kita serabut bila anak menangis. Anak lagilah serabut.
Anak yang selalu menangis tak semestinya disebabkan mak ayah “tak pandai jaga anak” kerana setiap keperluan dan perkembangan berbeza. Terutamanya anak yang umur 3 tahun ke bawah yang tak mahir sangat untuk luahkan perasaan mereka. Saya pasti semua mak ayah inginkan apa yang terbaik untuk anak. Kadang-kadang, kita terlalu sangat fikirkan apa orang kata sehinggakan kita dah lukakan perasaan anak kita.
Jangan takut orang kata apa, tetapi lebihkan fokus kepada keadaan yang sedang berlaku.
KENALPASTI UMUR DAN TAHAP PERKEMBANGAN ANAK
Cara mengatasi dan memujuk anak adalah sangat berbeza mengikut umur dan tahap perkembangan. Sebab itu, sangat penting untuk mak ayah kenal anak dan memahami betul-betul tahap perkembangan anak.
UMUR 0-6 BULAN
– Tak reti manipulasi mak ayah.
– Meluahkan perasaan dan “bercakap” dengan cara menangis.
– Menangis apabila keperluannya tak tercapai.
– Tak akan berhenti menangis selagi tidak di layan.
– Berhenti disebabkan sudah penat menangis.
Ada kajian menunjukkan 1 daripada 10 bayi menangis lebih 3 jam sehari. Bayi pula ada banyak kategori, bayi kategori “high need” akan lebih banyak menangis dalam sehari. Selagi tak capai keperluannya, selagi itu dia akan menangis. Keperluan bayi pula bukan sahaja kenyang, sihat dan kering tetapi keperluan nak peluk dan dodoi pun termasuk juga. Ada bayi yang letak sahaja boleh tertidur sendiri, ada bayi yang dah dodoi pun susah tidur.
foto: pexels.com
Menurut Paediatrician Dr. Armeet Singh, semasa anak 4-6 bulan adalah waktu kritikal untuk mak ayah dapatkan “special bonding” dengan bayi. Maka, mak ayah WAJIB elakkan bayi menangis lama kerana waktu ini anak sedang belajar sayang dengan orang yang selalu “tolong” semasa mereka menangis. Semakin anak percaya mak ayah, semakin kurang dia menangis. Anak yang kerap dibiarkan menangis semasa ini mungkin mempunyai masalah untuk mempunyai “bonding” dengan mak ayah di masa akan datang.
– Dah mula belajar memanipulasi mak ayah dengan menggunakan tangisan.
– Mempunyai masalah “separation anxiety” iaitu resah apabila terpisah.
– Menangis apabila berjauhan.
– Rasa tidak selamat dengan tempat, barang atau orang yang tidak dikenali.
Waktu ini memang fasa anak sedang belajar untuk hidup dan mengenalpasti yang mana selamat dan tidak selamat. Banyak menangis disebabkan takut dengan benda baru atau sebab berjauhan dengan mak ayah. Anak ingat yang mak ayah akan hilang selamanya jika dia tak nampak disebabkan masalah dengan”object permanence” terutamanya semasa bawah 8 bulan.
foto: pexels.com
Sewaktu ini mak ayah dah boleh tinggalkan anak menangis sebentar untuk mengajar anak yang kita tak hilang pun jika kita pergi ke tandas sekejap. Kemahiran “object permanence” ini akan mula develop semasa 4-7 bulan dan akan betul-betul ada apabila bayi umur 8 atau 9 bulan.
– Fasa autonomi, perasaan konfiden untuk melakukan sesuatu dengan sendiri dan kebolehan buat sesuatu atau fikir tentang diri sendiri.
– Sedang belajar mengurus emosi yang pelbagai, (marah, sedih, cemburu, malu, kecewa dll).
Ini adalah waktu yang paling mencabar dan kritikal untuk anak belajar mengurus emosi sendiri. Anak yang mengalami masalah lewat perkembangan bahasa selalunya akan mempunyai masalah tingkahlaku. Masalah tingkahlaku menyebabkan anak lagi kerap menangis. Semakin anak membesar, semakin mereka kurang menangis kerana dapat meluahkan perasaan dengan kata-kata.
Periksa dan analisa satu persatu, jika semua tak ada masalah. Cuba peluk dan dukung anak, kalau anak diam dari menangis bermakna mereka perlukan pelukan dan perhatian mak ayah kerana pelukan juga salah satu keperluan sensori anak terutamanya semasa bawah 3 tahun.
Kalau dah buat semua benda tapi anak tetap menangis, mungkin ada perkara yang mereka sendiri tak tahu atau melibatkan kecelaruan emosi mereka sendiri.
KECELARUAN EMOSI
Ingat kita sahaja ada masalah emosi, anak juga ada terutamanya semasa 18 bulan – 3 tahun. Ada masa yang kita buat semua cara untuk pujuk anak menangis tetapi semua tak jalan. Makin kita pujuk, makin teruk anak menangis sambil tutup mata.
Jika mak ayah menghadapi waktu ini, cara yang terbaik adalah tinggalkan anak menangis sekejap sambil kita pun tenangkan emosi sambil fikir dan analisa punca anak menangis teruk. Bila anak dah mula menangis perlahan dan mula buka mata serta pandang sekeliling barulah mak ayah datang kepada anak dan peluk.
Mengatasi anak mengamuk waktu ini sangat memerlukan kemahiran menganalisa mak ayah. Sama ada anak menangis disebabkan oleh perkara yang boleh diatasi atau yang tidak dapat diatasi:
A) Boleh diterima dan diatasi
– Nak urus diri sendiri (pakai baju, buka seluar, makan minum sendiri)
– Nak pergi ke tempat yang boleh diterima dan selamat.
– Main mainan yang susah.
– Nak memanjat atau main di tanggga.
B) Tidak boleh diatasi
– Makan atau minum makanan yang tidak sesuai (air bikarbonat, sup pedas, air panas, ubat mak ayah).
– Pergi tempat yang bahaya atau tak sesuai (naik tangga rumah orang lain, jalan raya)
Jika anak menangis disebab A, cara terbaik adalah mak ayah latih skil-skil penting anak sambil beri sokongan pada anak. Semakin cepat anak pandai buat sendiri, semakin kurang episod menangis anak. Kalau anak menangis disebabkan nak memanjat, banyakkan bawa anak pergi memanjat di taman.
Jika anak menangis disebabkan B, tak ada cara lain selain alihkan perhatian anak atau tinggalkan anak menangis sebentar sambil terangkan kenapa anak tak boleh pergi atau makan apa yang dia nak.
Jangan sesekali, anak menangis kita marah mereka menangis sebab menangis tak salah. Inilah satu-satunya cara anak untuk lepaskan perasaan mereka. Anggaplah anak seperti diri kita sendiri yang terperangkap di dalam badan budak kecil yang tersesat di planet lain dan bahasa lain.
Bila kita letakkan mindset sebegini, pasti kita kurang stress bila mengurus anak menangis. Emosi mak ayah sangat memainkan peranan terhadap perkembangan emosi anak. Kalau kita mahu anak belajar mengurus emosi sendiri, pastikan kita pandai dahulu uruskan emosi.
TEKNIK “CRY IT ALL”
Jika mak ayah dah baca sampai habis, agak-agak berapa lama jangka masa kita biarkan anak menangis?
– 1 minit, 5 minit, 10 minit, 30 minit?
Tak ada
Semuanya bergantung kepada perkembangan anak dan kenapa anak menangis. Setiap personaliti anak berbeza sejak mereka 4 bulan lagi. Berdasarkan pengalaman menterapikan beribu kanak-kanak, saya setuju dengan kenyataan ini kerana memang ada anak yang memang “tahan menangis” sehingga berjam-jam.
Teknik “cry it out” tak berkesan untuk semua anak. Tak kiralah nak ajar anak tidur sendiri, nak bercerai susu ataupun mengasingkan tempat tidur.
Saya sendiri pernah cuba lakukan teknik ini kepada anak saya sendiri kononnya untuk “mengajar” anak saya tidur sendiri dan saya menyesal. Hasilnya anak saya tetap tak dapat tidur, tahan menangis 1 jam dan emosinya terganggu serta dia jadi sangat sensitif disebabkan emosinya tercedera. Ambil masa lebih kurang seminggu untuk pulihkan emosinya.
Ada masa yang kita mak ayah sendiri tahu adakah anak kita bersedia atau tidak. Jangan terlampau terikutkan orang. Tenunglah mata anak dan tataplah muka anak, adakah anak bersedia?
Jika anak kerap sangat menangis dan mak ayah pernah terfikir untuk cederakan anak, sila dapatkan bantuan profesional. Saya percaya tak semua orang mampu mendengar tangisan anak kerana deria auditori setiap orang berbeza. Jangan malu-malu untuk minta tolong pasangan, keluarga atau profesional untuk membantu
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ada salah faham dalam kalangan ibu bapa antivaksin yang menyangka suntikan vitamin K yang diberi kepada bayi yang baru lahir adalah satu vaksin baru. Tanggapan ini salah sama sekali. Suntikan vitamin K diperkenalkan sejak 1961 bagi mengelakkan masalah pendarahan yang serius pada bayi. Ianya bukan vaksin.
Menurut Dr Amirul Amzar, vitamin K diperlukan oleh badan untuk fungsi pembekuan darah. Tanpa vitamin K, kecederaan yang kecil pada salur darah tidak dapat dihentikan seterusnya akan menyebabkan pendarahan serius. Walaupun seorang bayi itu dijaga dengan baik, risiko pendarahan di perut dan otak adalah tinggi jika vitamin K nya tidak mencukupi.
Dari mana kita dapat vitamin K?
Vitamin K diperolehi dari diet terutamanya dari sayuran hijau dan juga dihasilkan oleh bakteria baik dalam usus. Susu ibu juga tidak mengandungi vitamin K yang mencukupi untuk keperluan bayi terutamanya bagi ibu yang sedia ada kurang vitamin K.
Kenapa bayi memerlukan memerlukan suntikan vitamin K?
Bagi bayi yang baru lahir, kandungan vitamin K mereka rendah kerana:
Vitamin K tidak dipindahkan melalui placenta dengan baik
Kandungan vitamin K dalam susu ibu tidak mencukupi
Kurangnya kehadiran bakteria baik dalam perut bayi bagi penghasilan vitamin K
Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi bayi makan lebih awal dari usia 4-6 bulan kerana kesan sampingan memulakan pemakanan selain susu ibu terlalu awal adalah lebih serius.
Apa akan terjadi kalau bayi tak dapat suntikan vitamin K?
Seperti dijelaskan, vitamin K penting untuk pembekuan darah. Pendarahan yang serius boleh berlaku pada usus dan otak. Malangnya kedua-dua pendarahan ini biasanya lambat dikesan kerana ianya tersembunyi. Kebiasaannya bayi sudah kritikal atau mempunyai kerosakan otak baru pendarahan itu disedari. Dan risiko ini berterusan hingga usia 4-6 bulan sehinggalah bayi boleh menghasilkan vitamin K mereka sendiri.
Kenapa dos suntikan vitamin K bayi terlalu tinggi?
Tidak dinafikan suntikan vitamin K pada bayi adalah lebih tinggi dari keperluan harian orang dewasa. Namun perlu difahami, suntikan ini dilakukan ke dalam otot yang mana vitamin K tersebut akan membentuk depot dan diuraikan ke dalam salur darah secara perlahan-lahan. Dos yang tinggi diberi ke dalam otot tidak sama seperti dos yang diberi terus ke dalam salur darah. Malahan, dos yang tinggi ini diperlukan bagi mengawal pendarahan sampai usia bayi 4-6 bulan.
Tak bahaya ke suntikan vitamin K ini?
Ramai ibu bapa khuatir suntikan ini menyebabkan kuning pada bayi. Namun, kajian menunjukkan pada dos 0.5-1.0mg diberi secara intramuscular (ke dalam otot), ia tidak meningkatkan risiko kuning sedia ada. Setakat ini, tiada kajian yang membuktikan risiko kesan sampingan serius berpunca dari suntikan vitamin K. Suka saya ingatkan, ini bukan suntikan baru, dah lebih 50 tahun diperkenalkan dari 1961.
Dalam suntikan vitamin K ini ada sumber haram ke?
Tidak, berikut adalah kandungan suntikan vitamin K:
Vitamin K1 – didapati dari unsur tumbuhan
Polysorbate 80 – bagi melarutkan vitamin K itu, juga dari unsur tumbuhan
Propylene glycol – sebatian sintetik yang digunakan bagi mengawal kelembapan ubat, sudah lama diluluskan FDA sebagai sebatian selamat
Sodium acetate anhydrous – garam dan soda bikarbonat bagi mengawal pH ubat
Glacial acetic acid – cuka, juga untuk mengawal pH
Tiada unsur binatang khususnya khinzir dalam vitamin K. Bahan di dalamnya adalah bahan yang sama dalam kebanyakan ubat mahupun makanan/minuman diproses.
Boleh tak saya nak lewatkan suntikan ini, tengok kalau ada pendarahan baru suntik?
Tidak boleh. Suntikan vitamin K perlu diberi dalam 6 jam selepas kelahiran bagi mengurangkan risiko pendarahan pada bayi. Kalau ditunggu hingga pendarahan berlaku, suntikan vitamin K tidak lagi berkesan untuk memberhentikan pendarahan yang serius itu.
Jadi, kalau saya tolak suntikan vitamin K, apa risikonya?
Risiko menolak suntikan yang selamat ini adalah pendarahan yang serius pada bayi anda hingga menyebabkan kematian.
Dan risiko ini adalah 81 kali ganda lebih tinggi berbanding bayi yang menerima suntikan!
Kesimpulan saya, jika anda antivaksin sekalipun, tolonglah benarkan suntikan vitamin K ini. Suntikan ini selamat, dan melindungi anak anda dari berdarah hingga mati. Jangan jadikan diri anda punca kematian kejam anak anda.
Kesilapan 'Parenting' yang biasa ibu bapa buat kepada anak perempuan. Membesarkan anak perempuan merupakan satu tanggungjawab besar yang memerlukan perhatian, kasih sayang, dan pemahaman yang mendalam.