Baby Aya Yang Lahir Bawah Runtuhan Makin Sihat, Disusukan Isteri Pengarah Hospital

Share

Bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan rumah keluarganya di utara Syria selepas gempa bumi dahsyat minggu lalu dilaporkan dalam keadaan sihat pada Isnin dan kini disusukan oleh isteri pengarah hospital.

Menurut bapa saudaranya, Saleh al-Badran berkata, bayi diberi nama Aya itu kemungkinan dibenarkan keluar hospital pada Selasa atau Rabu ini.

Beliau berkata, ibu saudara Aya yang terselamat daripada gempa bumi akan membesarkannya.

Ibu Aya, Afraa Abu Hadiya meninggal dunia selepas melahirkannya selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Turkiye dan Syria.

Bapa dan empat adik-beradiknya turut terkorban dalam gempa itu.

Pakar pediatrik di Hospital Cihan di bandar Afrin di utara Syria, Dr Hani Maarouf memberitahu The Associated Press bahawa isteri pengarah hospital yang menyusukan bayi perempuan itu.

“Kami menghentikan semua ubat yang kami berikan kepada Aya dan kini menyusu apabila dia memerlukannya,” kata Dr Hani melalui telefon daripada Afrin.

Dr Hani berkata, anggota polis tempatan berkawal di hospital untuk memastikan tiada siapa cuba menculik kanak-kanak itu selepas beberapa individu muncul secara palsu mendakwa sebagai saudara-maranya.

Anggota penyelamat di bandar Jinderis di utara Syria menemukan bayi perempuan berambut gelap itu lebih 10 jam selepas gempa bumi 6 Februari lalu ketika mereka sedang menggali serpihan bangunan pangsapuri lima tingkat didiami ibu bapanya.

Bayi itu ditemukan tertimbus di bawah runtuhan dalam keadaan masih bertali pusat dan kemudiannya dikejarkan ke hospital di Afrin untuk mendapatkan rawatan.

Kredit:kosmo online

Jangan panik! Jom, belajar cara handle situasi cemas. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/stay-safe/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekaran

Published by
NuFa