Apa dosa anak syurga ini? Perginya dalam keadaan menyayat hati hingga meninggalkan kesan trauma buat ibu yang melahirkannya. Jika difikirkan langsung tak masuk akal tapi itulah pengakhiran buat bayi lelaki berusia lapan bulan.
Maut di tangan bapa
Menurut laporan Sinar Harian, penemuan mayat bayi lelaki dalam keadaan menyayat hati dalam sebuah guni dengan seluruh tubuh dilumur garam kasar dipercayai angkara bapa kandungnya sendiri dalam di Kampung Sungai Dua, Bachok, Kelantan.
Mayat bayi berkenaan, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan yang berusia lapan bulan turut mengalami kesan menggelupas pada kulit leher kiri dan kanan serta lebam pada badan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 50 tahun (pengadu) yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 10.45 pagi 13 Oktober.
Kurung isteri dalam bilik
Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang berusia 40 tahun dipercayai menghidap masalah mental bertindak mengurung isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, dalam sebuah bilik.
“Suspek kemudian menghubungi pengadu meminta datang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya.
“Pengadu bagaimanapun bertindak ke balai polis dan memaklumkan perkara itu sebelum sepasukan anggota polis terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Sorok bayi dalam guni, diletakkan di rak dapur
Samsulmuddin berkata, sebaik tiba polis mendapati pintu rumah berkunci dari dalam dan terpaksa memecahkannya.
“Siasatan di dalam rumah menemui pasangan suami isteri dalam sebuah bilik.
“Wanita yang juga ibu bayi berkenaan mengalami lebam pada kedua-dua tangan dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok untuk mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan lanjut di ruang dapur menemui bayi berkenaan dalam guni yang disembunyikan di sebuah rak dan pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal bayi tersebut dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 12 jam sebelum ditemui.
“Susulan itu, polis menahan bapa mangsa dan akan mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Bachok bagi tujuan siasatan lanjut manakala mayat bayi dihantar ke Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI