Bagai Hilang Separuh Nyawa. Selepas Setahun Isteri Pergi, Anak Pula Dijemput Ilahi

Share

Semua orang akan diuji. Bagaimana ujian itu hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Begitu juga mengenai kehilangan insan tersayang yang selalu disisi, dihati dan menemani  jiwa setiap hari. Namun bila sampai masanya Allah ambil semula siapa kita nak melawan takdir-Nya.

Namun  kenangan dengan mereka itu lah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita sebelum ini.

Begitulah yang kini ditanggung oleh seorang lelaki bergelar bapa dan suami, Mohd Syafiq, menerusi perkongsiannya di Facebook, dia menceritakan ujian hidupnya selepas dua insan yang amat dikasihi kini telah pergi mengadap Allah.

Isteri pergi setahun lalu…
Setahun yang lalu Mohd Syafiq telah menghadapi satu kehilangan besar, selepas isteri yang dicintai, Siti Aminah Bt Hasan dijemput Ilahi selepas bertarung dengan penyakit dihidapinya.

Pemergian isteri membuatkan dirinya bagai hilang separuh nyawa, apatah lagi ketika bayi mereka yang dilahirkan istimewa masih lagi memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu.

Allah ambil pula anak syurgaku…
Belum sempat air mata kering, tahun ini Mohd Syafiq sekali lagi diuji dengan pemergian anak perempuan yang berusia dua tahun lima bulan, bernama Nur Aaira Syifaa pada 7 Julai lalu.

Kehilangan anak yang sebelum ini menjadi sumber kekuatannya selepas ketiadaan isteri, membuatkan jiwa lelaki ini bagaikan direntap dan hilang arah seketika untuk meneruskan kehidupan.

Bermainlah adik dengan mummy di taman syurga
Walaupun hanya seketika, kehadiran Siti Aminah dan Nur Aaira Syifaa bagi Mohd Syafiq adalah satu kenangan paling indah yang terjadi dalam hidupnya.

Menurut Mohd Syafiq, satu pengalaman cukup besar buat dirinya berpeluang menjalankan amanah Allah menjaga anak syurga dan isterinya yang tercinta.

Biarpun terkadang jiwa bagai tiada daya lagi, namun Mohd Syafiq tetap meluahkan rasa syukur di atas segala pinjaman kasih sayang seorang isteri dan anak walaupun hanya sebentar.

Allah menguji hambaNya yang mampu, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan buat saudara Mohd Syafiq untuk menempuh hari-hari yang mendatang.

Sumber: Mohd Syafiq & OMM

Published by
Wan Amy