Saya bakal melahirkan bayi perempuan dan merancang untuk melakukan khitan (bersunat) pada bayi saya, beberapa hari selepas bersalin. Saya ingin memohon pandangan dan pendapat doktor, tentang cara berkhitan untuk bayi perempuan. Bagaimana cara ia dilakukan? Saya juga serba salah kerana ibu mertua saya kini sudah bertanya adakah saya ingin mengkhitankan bayi dengan cara tradisional yang saya juga tidak pasti bagaimana caranya. Harap doktor boleh berikan saya informasi tentang khitan kepada bayi perempuan.

Berbeza dengan amalan berkhatan bagi lelaki, berkhitan bagi bayi perempuan tidak dijelaskan mahupun disarankan daripada aspek perubatan. Secara klinikal, berkhatan bagi lelaki disyorkan bagi kes-kes jangkitan air kencing (urinary tract infection) yang berulang, phimosis/paraphimosis di mana kulit depan bahagian penis terlalu kecil atau ketat sehingga proses pembuangan air kecil terganggu atau mengalami masalah.

Oleh itu prosedur berkhatan daripada segi perubatan dipraktikkan secara tetap atau standard, di mana bahagian prepuce akan dipotong dan dibuang. Ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada konvensional, klip ataupun laser bergantung kepada kebiasaan dan kemahiran seseorang doktor, serta peralatan surgeri yang terdapat di fasiliti terbabit.

Walau bagaimanapun, tidak terdapat apa-apa indikasi/keperluan untuk berkhitan bagi bayi perempuan daripada segi perubatan. Amalan berkhitan bagi bayi perempuan adalah sesuatu yang dilakukan atas sebab suruhan/hukum agama atau amalan tradisi sesuatu masyarakat.

Oleh yang demikian, tiada cara/prosedur yang tetap atau standard bagi berkhitan untuk bayi perempuan. Malahan amalan ini dilakukan dengan pelbagai cara yang berbeza mengikut kebiasaan masyarakat setempat contohnya di timur tengah, Afrika dan di Asia.

Di Malaysia, kebanyakan orang Melayu mengkhitankan bayi perempuan di klinik doktor perubatan ataupun oleh bidan kampung. Selepas dibersihkan, clitoris sama ada dipotong sedikit atau hanya dilukakan dengan menggunakan jarum. Luka  yang sedemikian hanyalah minima, tanpa pendarahan yang ketara dan sembuh dengan segera tanpa memerlukan apa-apa cara penjagaan khas.

Saya mengesyorkan ibu bapa mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu daripada pengamal perubatan atau bidan yang mahu melakukan prosedur khitan tersebut. Secara amnya, prosedur berkhitan bagi bayi perempuan haruslah tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan dan kecacatan kepada alat kelamin/kemaluan bayi.

Tinggalkan Komen