Perasan tak bila bawa ke pantai anak terus terkam nak main pasir. Hinggakan sampai satu tahap ibu bapa bagi amaran jangan kotorkan tangan dan kaki.
Sebenarnya fitrah anak suka main pasir ini sangat bagus. Ia boleh merangsang sensori pada diri kanak-kanak itu. Kita patut mengalakkannya untuk anak teroka dan rasai pengalaman itu sendiri. Bukannya selalu pun hanya waktu tertentu sahaja.
Menurut Terapis Cara Kerja, Aisyah Rozalli, eksplorasi sensori merujuk kepada keadaan ketika kanak-kanak sedang bermain dengan stimulasi pelbagai medium sensori.
Sebagai contoh, semasa bermain di pantai kanak-kanak akan mendapat pelbagai stimulasi sensori penting. Antaranya ialah:
Tactile: Bila kanak-kanak sentuh tekstur pasir, air dan campuran pasir dengan air laut
Vestibular & Proprioseptif : Bila kanak-kanak perlu melakukan pergerakan tubuh semasa berjalan di atas pasir dan di dalam laut.
Ads
Visual: Bila kanak-kanak perlu melihat objek yang bergerak di atas air, objek tersembunyi di sebalik pasir, dan membezakan bentuk-bentuk objek yang dijumpai
Auditori: Bila kanak-kanak perlu fokus pada bunyi suara ibu ayah dan adik-beradik di samping bunyi deruan ombak yang kuat.
Gustatori: Bila anak rasa masinnya air laut
Ads
Kesemua ini adalah perkara-perkara penting yang akan mengukuhkan foundasi perkembangan kanak-kanak.
Kesemua ini juga adalah pencetus kepada minat kanak-kanak untuk berkomunikasi dengan orang di sekililingnya:
1. Melihat adik-beradik main pasir, membina istana pasir lantas teruja meniru.
Meniru atau imitasi perbuatan adalah kemahiran asas sosial komunikasi yang kanak-kanak perlukan bagi membolehkan mereka belajar bertutur.
Ads
2. Cuba menyelesakan diri dengan kesan air laut dan pasir pada tubuh.
Ini meningkatkan kesedaran tubuh, iaitu kemahiran yang sangat penting bagi membolehkan kanak-kanak selesa dengan tubuhnya, dan seterusnya mengurangkan anxiety. Ini akan membuatkan kanak-kanak lebih selesa untuk bersosial dan berkomunikasi.
3. Sifat ingin tahu melihat pelbagai objek yang dijumpai di pantai.
Sifat ingin tahu akan mencetuskan insiasi komunikasi. Anak akan teruja untuk melakukan perhatian bersama ibu bapa untuk memenuhi sifat ingin tahu mereka.
Jangan terkejut bila si kecil dah pandai cemburukan papa dan mama! Anda tentu biasa berhadapan dengan situasi begini kan? Anak yang baru berusia setahun ke atas akan marah apabila anda sengaja menyakatnya dengan memeluk atau mencium mama atau papanya.
“Sayang mama. Ini papa punya mama…,” sakat Papa pada Ammar sambil memeluk mama.
“Jangan…ni Ammar punya mama!” jerit Ammar sambil cuba menolak papanya daripada memeluk mama.
Mengapa mereka sudah pandai merasa cemburu? Ini antara sebabnya:
1. Mama kepunyaan saya seorang!
Biasanya si kecil lebih rapat dengan mama. Jadi dia beranggapan mama hanya miliknya seorang. Bila perhatian bukan diberikan kepadanya, dia jadi marah dan cemburu.
2. Tak tahu bagaimana nak luahkan
Oleh kerana masih kecil, dia tak tahu bagaimana nak meluahkan perasaannya. Menangis, menolak atau memukul papa supaya menjauhi mama adalah cara yang akan dilakukan sebagai satu amaran jangan mengambil ‘hak miliknya’.
3. Tak nak berkongsi
Si kecil hanya mahu mama menjadi milikinya dan tak boleh berkongsi dengan orang lain termasuk papa! Dia fikir hanya dia sahaja yang mama perlu peluk dan cium.
4. Si kecil rasa terancam
Merasakan tempatnya cuba diambil alih oleh orang lain. Oleh kerana dia rasa terancam maka hanya tangisan dan kemarahan sahaja menjadi senjatanya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.
5. Mahu perhatian
Sebenarnya anak anda mahukan perhatian sentiasa diberikan kepadanya. Rasa cemburunya tak dapat dibendung bila melihat papa dan mama saling berkasih sayang tanpa memberikan dia perhatian.
6. Rasa diri tak disayangi
Rasa bimbang dirinya sudah tidak disayangi oleh mama. Oleh kerana dia belum faham tentang erti hubungan kekeluargaan dan suami isteri maka dia merasakan bila mama memeluk atau mencium papa seperti mama lakukan ke atas dirinya bermakna dia sudah tidak disayangi lagi.
7. Dunianya masih kecil
Oleh kerana masa si kecil lebih banyak dihabiskan bersama papa, mama dan pengasuh maka dia masih tidak faham tentang luasnya erti kasih sayang. Apabila dia semakin besar dan punya ramai kawan dan melakukan banyak aktiviti, si kecil akan lebih faham tentang kasih sayang antara papa dan mama.
Apa patut dilakukan?
Sebenarnya ia adalah perkara normal bila anak anda cemburu pada papa atau mama. Dia mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan rasa cemburunya selain daripada menangis. Maka penting untuk anda berdua memujuk dan memberitahunya, tetapi jangan berhenti menunjukkan kasih sayang antara kalian suami isteri di depan anak kerana amat penting bagi mereka melihat ibu bapa yang saling sayang menyayangi.
* Cuba buat “group hugs” dan “group kisses” iaitu sentiasa ‘masukkan’ anak sekali semasa memeluk pasangan suami/isteri. Barulah dia tak rasa dipinggirkan.
* Sentiasa beritahu anak yang mama sangat sayangkan dia dan papa.
* Wujudkan suasana gembira dan menyeronokkan dengan mencium dan memeluk si kecil secara bergilir-gilir dengan suami/isteri. Dengan cara ini dia tahu mama tetap sayangkan dia walaupun dalam masa yang sama sayangkan papa juga.
* Sentiasa curahkan kasih sayang dan perhatian kepada si kecil yang baru mengenal kehidupan.
Oleh kerana si kecil adalah peniru yang hebat, maka menjadi tugas ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan kasih sayang antara suami isteri tetapi dalam cara yang berhemah. Dalam masa yang sama jangan abaikan dirinya yang masih belum faham tentang perkongsian kasih sayang sekeluarga. Apa yang si kecil tahu, mama adalah hak miliknya seorang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap ibu ayah ada cara ‘parenting’ yang mereka gunakan untuk mendidik anak. Katanya, cara orang Perancis mendidik anak antara yang bagus untuk dicontohi. Pendekatan mereka tak jauh beza dengan cara orang tua kita dulu-dulu yang lebih percaya pada pendekatan tegas semasa mendidik anak-anak.
Biasanya kalau orang barat mereka lebih suka pendekatan psikologi dan banyak beralah pada anak-anak. Nampaknya hari ini semakin ramai ibu ayah muda yang memilih pendekatan sebegini untuk membesarkan anak mereka.
Apa pun cara yang kita pilih semuanya berkesudahan mahu si anak menjadi insan yang berjaya, beradab dan berakhlak mulia. Tapi tak salah untuk tiru cara ‘parenting’ orang barat kalau ia ada kebaikan pada perkembangan dan sahsiah anak kita. Ini cara ibu bapa Perancis mendidik anak mereka.
1. Sesekali biar anak rasa kecewa
Tak semua keinginan anak mesti dipenuhi oleh ibu ayah. Belajar rasa kecewa adalah perkara bagus untuk anak yang sedang membesar. Biarkan dia belajar pengalaman ini untuk persediaannya menghadapi cabaran yang lebih banyak dalam kehidupan nanti. Perasaan kecewa tak dapat apa yang diinginkan boleh menyuntik semangat tak putus asa dalam diri anak.
2. Ajar anak untuk bersabar
Mengajar anak untuk menunggu sesuatu perkara seperti hendak susu, makan, perhatian dari ibu ayah atau menanti ibu atau ayah menjawab soalannya membantu mereka menjadi orang yang penyabar tanpa perlu cepat mengamuk dan marah-marah. Skil ini penting supaya anak tahu menghormati ibu ayah dan tidak hanya tahu mengarah sahaja.
3. Ajar anak hormat masa ‘privacy’ ibu dan ayah
Dari kecil lagi biasakan ajar anak tentang masa ‘privacy’ ibu dan ayah. Anak perlu dibiasakan yang ibu dan ayah juga perlukan masa dihabiskan bersama tanpa kehadiran anak. Bukan maksudnya tak sayang anak tapi ia penting untuk keharmonian dan kebahagiaan ibu ayah serta keseimbangan keperluan hidup.
4. Jangan lindungi kesalahan anak
Biarkan anak belajar dari kesilapannya. Tak perlu nak tolong ‘cover’ atau lindungi kesalahan yang anak dah buat. Bila ibu atau ayah selalu lindungi mereka, anak tak akan belajar akibat yang dia akan tanggung bila bersikap cuai atau terlupa.
Dia akan terus ulang kesalahan yang sama tanpa belajar sesuatu. Bila ibu dan ayah tak ‘cover’ mereka maka di masa akan datang dia akan lebih beringat dan berhati-hati. Ini membantu mereka belajar tentang kehidupan yang sebenar.
5. Biarkan anak bebas bereksplorasi
Tak perlu jadi ibu yang terlalu paranoid dan melindungi anak kerana bimbang keselamatannya. Sebagai ibu bapa, kita memang prihatin tentang keselamatan anak. Sesekali biarkan anak bebas bereksplorasi dan mencuba macam-macam aktiviti aktif seperti bermain monkey bar di taman permainan, skateboard, skuter atau melompat dan memanjat cuma pantau keselamatan mereka sahaja.
6. Tak obses penuhkan jadual anak dengan aktiviti belajar
Hari ini ramai ibu ayah yang obses hantar anak belajar macam-macam kemahiran sampai padat jadual seharian mereka hingga tak ada masa untuk anak berehat. Tapi orang Perancis tak percaya cara itu boleh jadikan anak mereka cemerlang. Mereka lebih percaya untuk memberi ruang kepada anak untuk buat aktiviti sendiri dan paling penting masa bersama keluarga sekurang-kurangnya makan malam bersama. Jadi mereka tak akan memenuhkan jadual harian anak dengan aktviti belajar sahaja.
7. Libatkan anak dalam urusan kerja rumah
Ajar anak dari kecil tolong ibu ayah buat kerja rumah. Bagi orang Perancis, semua tugas-tugas di rumah adalah juga tanggungjawab anak kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga dan mesti menyumbangkan sesuatu dalam urusan kerja rumah. Ibu ayah kena ajar anak buat kerja rumah bersesuaian ikut umur mereka. Barulah mereka belajar bertanggungjawab dan faham kesusahan membuat kerja rumah.
8. Masa bersama keluarga paling penting
Keluarga Perancis sangat mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Kalau susah untuk makan malam bersama setiap hari kerana komitmen masing-masing, mereka tetap akan rancang sekurang-kurangnya beberapa kali mesti makan bersama. Setiap hujung minggu, pastikan rancang jadual makan malam atau tengah hari bersama keluarga diikuti dengan aktiviti bersiar-siar bagi mengeratkan hubungan.
9. Hubungan rapat adik-beradik
Bagi yang mempunyai ramai anak, mereka biasakan anak yang besar untuk membantu adik-adik lain. Contohnya kakak atau abang boleh bawa adik bermain di taman permainan, hidangkan makanan di meja makan atau bantu adik menyiapkan kerja sekolahnya jika boleh. Ini membantu mengeratkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik, mengurangkan pergantungan pada ibu ayah dan menjadikan mereka lebih mampu berdikari dan bertanggungjawab.
10. Ajar anak beradab sopan
Walaupun anak seorang yang pemalu terutama dengan orang yang dia tidak dikenali tetapi mereka tetap diajar beradab sopan dengan orang lain walaupun dengan kawan sendiri. Mereka diajar untuk biasa memperkenalkan diri, mengucapkan salam, selamat tinggal dan terima kasih sebagai asas kelakuan baik di depan tetamu walaupun sekadar di kalangan kawan-kawan.
11. Masa berkualiti di luar rumah
Walaupun orang Perancis mementingkan masa bersama anak di meja makan tetapi mereka percaya kanak-kanak mesti dibiarkan menghabiskan banyak masa membuat aktiviti di luar rumah. Memberi kebebasan kepada anak untuk bermain di taman bersama kawan-kawan, bersiar-siar dengan keluarga adalah cara terbaik memastikan mereka sihat, gembira dan cerdas.
Rasanya banyak juga cara orang Perancis mendidik anak sama dengan cara yang dilakukan oleh ibu bapa di Malaysia kan? Apa yang penting semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Eczema atau ekzema adalah masalah kulit kronik yang sering menyerang bayi dan kanak-kanak. Kulit mereka menjadi merah, gatal, kering dan mudah luka akibat digaru. Walaupun ia bukan penyakit berjangkit, eczema boleh menjejaskan kualiti hidup anak kerana rasa tidak selesa dan tidur terganggu.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong masalah eczema:
Genetik – Jika ibu atau bapa ada sejarah resdung, asma atau alergi, anak lebih berisiko.
Kulit sensitif – Kulit bayi yang nipis dan kurang lembapan lebih mudah kering.
Pencetus (trigger) – Habuk, suhu panas, sabun kuat, makanan tertentu (contoh: telur, susu lembu, kekacang) boleh mencetuskan flare-up.
Sistem imun – Kanak-kanak yang sistem pertahanan badannya lebih reaktif cenderung mengalami keradangan kulit.
Walaupun eczema tidak boleh sembuh sepenuhnya, ibu bapa boleh mengurangkan serangan dengan langkah pencegahan berikut:
Jaga kelembapan kulit
Sapukan pelembap sesuai (fragrance-free, hypoallergenic) setiap kali selepas mandi dan bila kulit nampak kering.
Gunakan losen, krim atau balm yang bertekstur pekat untuk tahan lebih lama.
Pilih sabun dan pencuci yang lembut
Elakkan sabun yang ada pewangi atau bahan kimia keras.
Pilih pencuci baju bayi yang bebas pewangi dan hipoalergenik.
Mandikan anak dengan betul
Jangan mandi terlalu lama, cukup 5–10 minit dengan air suam (bukan panas).
Selepas mandi, keringkan dengan menepuk lembut, bukan menggosok.
Kawal suhu dan persekitaran
Pastikan bilik anak sejuk, tidak terlalu panas dan kering.
Elakkan pendedahan pada habuk, asap rokok, dan bulu haiwan jika anak sensitif.
Pakaian yang sesuai
Pilih fabrik kapas yang lembut dan menyerap peluh.
Elakkan pakaian ketat atau berbulu kasar yang boleh mencetuskan kegatalan.
Kenal pasti dan elak pencetus makanan
Catatkan makanan yang dimakan bila eczema flare-up berlaku.
Dapatkan nasihat doktor sebelum mengelak makanan tertentu.
Rawatan awal bila tanda mula muncul
Jika nampak kulit anak mula merah dan gatal, segera sapu pelembap atau krim yang disarankan doktor.
Elakkan anak menggaru dengan memotong kuku pendek atau pakaikan sarung tangan lembut.
Bawa anak berjumpa doktor sekiranya:
Ruam semakin merebak dan bernanah.
Anak sukar tidur kerana kegatalan teruk.
Pelembap biasa tidak berkesan lagi.
Kesimpulannya, eczema bukan sekadar masalah kulit biasa. Ia memerlukan perhatian berterusan, penjagaan rapi dan kesabaran. Dengan langkah pencegahan yang konsisten, ibu bapa dapat membantu anak mengurangkan rasa tidak selesa dan hidup lebih selesa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!