“Bahagia Cara Kami!”. 2 Tahun Tunggu Dapat Zuriat, Sekarang Meriah Dengan 10 Anak

Share

Bila fikir sekali macam mana pasangan suami isteri yang ada anak ramai boleh uruskan keperluan keluarga dengan baik. Lagi-lagi dalam keadaan sekarang ni yang agak mencabar dan semuanya memerlukan komitmen tinggi.

Bagaimanapun kisah seorang ibu yang dikurniakan anak seramai 10 orang berusia antara 18 hingga setahun sangat mengagumkan walaupun dalam keadaan sekarang ini ramai yang berkira-kira untuk menambah anak.

Bagi Puan Nurshaleena binti Mohammad Nor, 40, anak ramai ini ibarat hadiah yang paling mahal dalam hidupnya dan suami. Ini kerana di awal perkahwinan dia dan suami terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapat zuriat.

“Selepas dua tahun menunggu dan dikurniakan anak sulung pada tahun 2002, rezeki anak tak putus pula walaupun dah cuba merancang sehinggalah yang ke-10 dilahirkan 2019. Walaupun anak ramai, saya dan suami syukur semuanya dipermudahkan bermula sejak lahir hinggalah anak-anak besar.

“Alhamdulillah untuk 10 anak ni pun semuanya dilahirkan secara normal. Beza setiap anak ada yang setahun seorang, dua tahun seorang dan tiga tahun seorang. Bermula dengan yang sulung usianya 18, 17, 14, 11, 10, 8, 7, 5, 3 dan setahun,” ujarnya.

Ada jadual uruskan rumah tangga & anak

Kongsi Shaleena lagi, setakat ini keadaan masih terkawal walaupun sedikit penat. Cuma sebagai ibu yang mempunyai anak ramai, perlu buat jadual awal untuk menguruskan anak dan rumah tangga. Ni antara tip yang diamalkan sejak anak kecil lagi sehingga sekarang.

“Jadual ni penting untuk kita tahu apa perlu dilakukan dulu dan barulah tak mudah rasa stres dan nak marah anak.

“Macam saya setiap hari dah biasa tidur lambat sikit. Sebab lepas semua anak tidur baru  akan uruskan kain baju, kemas rumah, menyapu dan sebagainya. Cara ni memang dah dipraktikkan dari dulu lagi supaya bila bangun keesokan harinya, urusan rumah tangga dah selesai.

“Jadi bila hari siang saya boleh fokus kepada nak memasak dan luangkan masa dengan anak-anak. Sebab ada antara anak-anak yang usia 10 hingga 17 tahun ni mereka suka bercerita.

“Saya ibu, sayalah kawan untuk anak-anak. Contoh saya suka cari masa untuk bacakan cerita seram untuk mereka.. Jadi mereka akan duduk rapat untuk dengar cerita dan ini salah satu bonding selain bawa keluar berjalan-jalan. Bagi anak-anak yang kecil pula, bila ajak main saya dan suami akan main sama-sama dengan mereka,” katanya.

Puan Shaleena bersama anak yang ke-10

Anak-anak jadi bestfriend 

Sementara itu, bercerita mengenai anak-anak ramai ni, Shaleena akui dia dan suami sangat-sangat seronok walaupun pelbagai tanggapan dan soalan sering di tanya apabila membawa anak-anak keluar.

Soalan yang paling biasa orang akan tanya, “betul ke ni semua anak-anak akak?”. Sebab nampak mak masih muda lagi. Bukan itu saja bila jalan beramai-ramai, pasti akan ada mata yang memandang.

Tapi semua itu saya dan suami dah lali kerana yang penting kami gembira. Saya akui bila anak-anak dah besar, mereka ni dah jadi kawan rapat. Bila keluar ke mana-mana, anak-anak yang besar ni masing-masing akan jaga setiap adik-adiknya.

Contohnya kalau pergi mall, abang dan kakak yang besar ada adik-adik yang mereka jaga.. Contohnya kakak jaga yang adik nombor 7, abang jaga yang nombor 8, yang nombor 3 jaga nombor 6, ibu jaga baby.. Yang selebihnya ayah jaga. Tiap kali naik lif org akan kira anak akak ada berapa.

“Mereka dah faham dan tak perlu disuruh pun. Kita tengok pun senang hati sebab anak yang kecil semua ada bodyguard.

“Walaupun 10 anak ada 10 karenah, semua tu momen yang akan dikenang sampai bila-bila,” katanya yang mempunyai 8 anak perempuan dan dua lelaki.

Setiap anak bergilir buat kerja rumah

Sebagai ibu, mengajar anak-anak berdikari antara proses pembelajaran untuk masa depan mereka.

Setiap anak akan ada kerja rumah yang perlu mereka lakukan tapi tak dikhaskan dengan tujuan supaya mereka rasa enjoy buat kerja rumah.

Contohnya.. Hari ni no 1 basuh pinggan, no 2 buang sampah no 3 menyapu.. Esok tukar pulak no 1 menyapu no 3 buang sampah no 2 basuh pinggan dan seterusnya macam tu. Kalau nak kemas rumah sikit-sikit akak ajak sama-sama sampai yang umur 3 tahun tu pun tolong sama.

Difahamkan anak-anak Puan Shaleena ini juga mempunyai bakat dalam lakonan dan mereka adalah pelakon remaja dan kanak-kanak serta banyak membintangi drama tempatan yang popular.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy