Ibu bapa mana yang tidak teruja bila anak perempuan dah mula pandai bergaya. Mulalah dibelikan subang emas untuk si comel. Tak salah pun nak tindikkan anak cuma kena jaga supaya tak terkena jangkitan. Mama papa kenalah lebih penjagaannya agar anak tak hadapi masalah di kemudian hari.
Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, ada beberapa perkara yang ibu bapa seharusnya berikan perhatian jika membuat keputusan untuk menindik anak kecil. Perlu lebih penjagaan. Baca perkongsian doktor ini dan jadikan sebagai tip dan panduan berguna buat semua.
“Doktor, bahagian belakang subang anak saya tenggelam dalam cuping telinga dia!”
Besi tertanam dalam cuping. Baca pun ngilu, kan? Terpaksa saya bedah sedikit cuping telinga anaknya itu untuk keluarkan.
Ramai ibu-ibu yang membawa anak mereka untuk melakukan tindikan di cuping telinga sejak anak-anak itu kecil lagi. Jika ia dilakukan di klinik, biasanya doktor akan nasihatkan tentang penjagaan tindikan baru.
Antaranya, cucian luka, tanda-tanda jangkitan, dan tidak dibenarkan buka subang dalam jangka masa lama selagi belum melebihi 6 minggu dari hari tindikan. Ibu bapa lazimnya menjaga dengan baik sepanjang 6 minggu itu.
Ads
Namun selepas itu, ramai ibu bapa terlupa tentang penjagaan lubang tindikan pada anak masing-masing. Jika anak anda bertindik sejak awal usia (1-4 tahun), kalian harus jaga tindikan mereka dengan baik sehingga mereka mampu menjaganya sendiri.
1. Jangkitan pada tindikan agak mudah berlaku pada kanak-kanak. Ini kerana, mereka belum tahu menjaga kebersihan tubuh sendiri. Mereka juga kadang kala tidak pandai mengadu jika ada tanda jangkitan.
2. Kanak-kanak agak lasak, dan berisiko mencederakan cuping telinga kerana subang terkait pada baju, rambut, langsir, pokok atau apa jua di persekitaran mereka.
3. Kecederaan dan jangkitan yang terabai boleh menyebabkan keradangan pada lubang tindikan, dan menyebabkan komplikasi pada cuping telinga seperti:
– bernanah
– terbelah
– bengkak (berubah bentuk)
– subang tertanam dalam cuping
Ads
Lakukan 4 Tip Pencegahan
Oleh itu, ibubapa yang mempunyai anak kecil yang bertindik disarankan agar mengamalkan perkara-perkara berikut:
Ads
1. Periksa cuping telinga anak anda setiap 2-4 minggu. Pastikan tidak sakit, merah, bengkak, berbau, kulit berubah warna atau bentuk.
2. Semasa periksa, buka subang. Bersihkan cuping telinga dengan sabun. Cuci subang dengan larutan yang sesuai. Keringkan sebelum pakai.
3. Digalakkan gunakan subang dengan material yang tidak menyebabkan alahan. Jika subang logam, emas paling kurang sebabkan alergi.
4. Elak memakai subang lebih sebulan tanpa membuka dan memeriksa. Ajar anak tentang kebersihan.
5. Jika ada tanda-tanda jangkitan atau kecederaan, bawa jumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan yang bersesuaian.
Semoga Bermanfaat
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masalah gigi berlapis sering dipandang enteng oleh masyarakat umum. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana kelak, ia boleh menyebabkan masalah karies gigi dan masalah gusi bengkak.
Tahukah anda bahawa masalah gigi berlapis boleh disebabkan oleh gigi susu? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sebelum kita menyelami bagaimana gigi berlapis boleh terjadi, mari kita kenal terlebih dahulu dengan pesona utama artikel ini, gigi susu. Walaupun gigi mula tumbuh ketika bayi berusia di antara 6 ke 12 bulan, hakikatnya, ia mula terbentuk pada 6 minggu fasa kehamilan.
Usia bagi pertumbuhan gigi susu adalah berbeza bagi setiap bayi maka jika anak anda masih tidak mempunyai gigi seawal 6 bulan, usah khuatir. Biar lambat, asal selamat.
Apa itu enamel, dentina dan pulpa?
Terdapat perbezaan yang agak ketara jika dibuat perbandingan di antara struktur gigi susu dan gigi kekal. Secara umumnya, jumlah gigi susu yang bakal tumbuh apabila anak anda berusia 1 tahun adalah sebanyak 6 batang. Ketika anak anda berusia 3 tahun, seharusnya kesemua 20 batang gigi susu telah pun tumbuh.
Jika dibuat perbandingan secara fizikal, gigi susu kelihatan lebih kecil dan putih manakala gigi kekal kelihatan lebih besar dan berwarna krim atau putih kekuningan.
Gigi kekal juga mempunyai bilangan yang lebih banyak iaitu sebanyak 32 batang berbanding dengan gigi susu yang hanya sebanyak 20 batang. Pada sudut anatomi, perbezaan di antara keduanya dapat dilihat pada ketebalan lapisan enamel (luar), dentina (tengah) dan pulpa (dalam).
Gigi susu mempunyai lapisan enamel dan dentina yang agak nipis berbanding dengan gigi kekal membuatkan karies gigi lebih mudah untuk merebak ke lapisan pulpa.
Oleh sebab itulah karies gigi kelihatan lebih teruk pada gigi kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Lapisan pulpa gigi mengandungi banyak urat saraf dan salur darah yang memberikan nutrisi kepada gigi. Gigi susu mempunyai lapisan pulpa yang agak besar berbanding dengan gigi kekal. Ini meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan urat saraf dalam situasi trauma memandangkan ia juga mempunyai lapisan luar yang nipis.
Memastikan keteraturan gigi kekal
Jika dilihat pada fungsi asas gigi susu, ia penting bagi membantu proses penghadaman yang baik buat anak-anak anda. Fungsinya adalah sama dengan gigi kekal iaitu untuk mengigit, mengoyak dan melumatkan makanan. Fungsi ini penting bagi memastikan nutrisi makanan dapat diserap masuk ke dalam tubuh badan.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keteraturan susunan gigi kekal. Gigi susu kebiasaannya akan patah secara semula jadi dan digantikan dengan gigi kekal pada usia sekitar 6 tahun.
Sebelum daripada usia tersebut, gigi yang patah akan digantikan dengan gigi belakang bagi mengisi kekosongan di hadapan. Keadaan ini akan menyebabkan susunan asalnya menjadi tidak teratur seterusnya mengakibatkan kekangan ruang di antaranya untuk gigi kekal tumbuh.
Kesannya, gigi kekal akan tumbuh sama ada di hadapan atau di belakang gigi sedia ada menjadikan gigi anda kelihatan berlapis. Gigi yang berlapis akan memberikan kesan negatif terhadap keyakinan diri anak-anak anda memandangkan keteraturan gigi penting dalam aspek penampilan diri.
Bayangkan jika anak anda diejek dan dipulaukan oleh rakan-rakannya hanya disebabkan oleh masalah gigi berlapis. Ini akan menurunkan tahap keyakinan anak anda untuk menjalinkan hubungan sosial.
Selain itu, ia juga memudahkan proses pengumpulan plak yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi bengkak (gingivitis).
Adakah gigi susu perlu dicabut?
Kebanyakan gigi susu akan tercabut dengan sendirinya apabila tiba masa untuk gigi kekal tumbuh. Proses ini kebiasaannya berlaku pada sekitar usia 6 tahun dan berlanjutan sehingga tumbuhnya gigi geraham kekal pada sekitar usia 13 tahun.
Jadi, adakah anda perlu membawa anak anda ke klinik untuk mencabut gigi? Terdapat beberapa situasi yang membolehkan anda untuk membawa anak anda berjumpa dengan doktor gigi:
Apabila anak anda mengalami karies gigi.
Gigi rosak atau berlubang boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf yang terletak pada lapisan pulpa gigi. Gigi ini perlu dicabut untuk mengelakkan kesakitan yang boleh mengganggu selera makan dan tidur anak anda.
Apabila gigi kekal mula tumbuh di bahagian belakang atau hadapan gigi susu.
Situasi ini akan menyebabkan terbentuknya gigi berlapis yang boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah berkaitan dengan kesihatan gigi dan gusi.Gigi susu perlu dicabut untuk memastikan keteraturan gigi kekal seterusnya mengelakkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi.
Apabila gusi kelihatan merah, bengkak dan bernanah.
Ini adalah merupakan komplikasi daripada penyakit karies gigi. Apabila karies gigi telah merebak ke lapisan pulpa, gusi akan bengkak dan bernanah. Ia perlu dicabut untuk mengelakkan kerosakan serius pada saraf gigi.
Apabila gigi kekal tidak tumbuh pada usia 8 tahun ke atas.
Dalam situasi ini, pertumbuhan gigi kekal terbantut kerana ia terletak secara langsung dibawah gigi susu. Ia perlu dicabut untuk memastikan gigi kekal dapat tumbuh dengan sihat.
Jadi sekarang anda sudah faham, bukan?
Adalah penting untuk kita sebagai ibu bapa untuk memastikan dan mengajar anak-anak kita cara untuk menjaga gigi mereka dengan lebih baik. Tabiat ini boleh mengelakkan terjadinya masalah gigi berlapis yang boleh menyebabkan karies gigi dan penyakit gusi. Oleh itu, jangan abaikan penjagaan gigi anak-anak anda!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Jangan suka-suka ya cium bayi orang lain, memang nampak cute dan geram bila tengok bayi kan? Kenapa tak boleh cium? Ini penjelasan dari doktor kanak-kanak.
Gejala selesema sekarang ini makin menjadi-jadi lebih-lebih lagi bila dah masuk musim hujan dan banjir, dan ketika ini mungkin ramai orang di sekeliling anda mengalami batuk dan bersin.
Menurut doktor, terdapat virus yang semakin meningkat yang sangat berbahaya bagi bayi. Penyakit jangkitan paru-paru, Respiratory syncytial virus (RSV) adalah virus yang sangat berbahaya dan sering tidak dapat dikesan kerana ia boleh disalah anggap sebagai selesema biasa. Jika anda merasa sakit atau tidak sihat, jangan mencium atau mendekati bayi.
Virus ini juga dikenali sebagai penyebab bronchiolitis dan radang paru-paru pada kanak-kanak yang berumur kurang dari satu tahun.
“Sesiapa sahaja boleh terkena jangkitan RSV tetapi ia amat serius untuk bayi yang berusia di bawah enam bulan yang paling terdedah kepada virus ini bahkan boleh menyebabkan bayi masuk ke hospital.”
Sekiranya anda tertanya-tanya, simptom untuk RSV adalah seperti berikut:
-hidung berair
-batuk berkahak
-demam
Perbezaan utama antara RSV dan selesema biasa ialah terdapat lebih banyak keradangan dan rembesan di saluran udara. RSV juga boleh bertahan lebih lama sekitar tiga minggu.
Oleh itu, jika anda mendapati bayi anda sedang menderita selesema lebih daripada tiga minggu, lebih baik anda mendapatkan solusi dengan pantas.
Walaupun tidak ada rawatan untuk virus ini, cara terbaik adalah dengan mengamalkan symptomatic care termasuk memberi cairan kepada bayi anda, menggunakan pelembap dan memberi mereka cucian garam.
Sentiasa amalkan kebersihan yang baik dan pastikan untuk mencuci tangan anda. Tetapi doktor juga mengatakan bahawa penting untuk tidak membiarkan orang lain dengan mudah memegang anak-anak anda, terutama jika mereka tidak sihat.
Hubungan fizikal dengan individu yang sakit boleh menjangkiti anak-anak anda dengan virus dan dalam kes-kes yang lebih teruk, penyakit ini boleh membawa maut apabila paru-paru gagal berfungsi.
“Sekarang masuk musim selesema dan saya yakin ibu bapa hanya mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka dan jika anda mendapati anak anda sakit, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga dan menjauhi anak-anak anda dari orang yang tidak sihat!” Tiffany Hill, Pakar Pediatrik di UT Health East Texas
Penyakit asma usah dipandang enteng. Ada yang mengalami serangan ringan. Ada juga yang diserang sehingga terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ikuti pengalaman mama ini yang mengakui tersalah anggap terhadap kemampuan dan kekuatan serangan asma terhadap anak keduanya. Ikuti kisahnya
“Mama masih ingat, kali pertama dimasukkan ke wad hospital ialah ketika kamu baru berumur lima bulan. Ketika itu, ada jangkitan kuman di dalam paru-paru. Puncanya, kamu demam dan ada selesema juga. Mengenang kembali saat itu, selepas sembuh demam, kamu berterusan mengalami batuk berkahak, selalu sesak nafas, bernafas dengan laju dan dada berlekuk.
Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor pakar sahkan kamu positif menghidap asma di usia masih bayi. Diikutkan di sebelah keluarga mama, atuk, nenek, adik–beradik mama dan diri mama sendiri memang menghidap asma. Sungguh tidak sangka, kamu turut sama mewarisi penyakit itu.
Sepanjang usia bayi sehingga akhir-akhir ini, kamu terlalu kerap diserang asma. Seingat mama, dalam sebulan, dua atau tiga kali kamu dikejarkan ke hospital semata-mata untuk menyedut gas menggunakan nebulizer di wad kecemasan hospital ataupun klinik kesihatan, bergantung kepada keadaan asma yang kamu hadapi ketika itu.
Jika mama dan papa terlambat membawa kamu ke hospital atau klinik setiap kali diserang asma, ia akan menjadi punca kamu ditahan di wad. Menurut doktor, ia terpaksa dilakukan kerana sering didapati oksigen di dalam badan kamu berkurangan dan paru-paru juga menjadi sempit.
Berdasarkan sejarah hidup, paling lama kamu pernah ditahan di wad adalah selama 10 hari. Namun, pada hari ke-11 ketika di rumah, kamu tercungap-cungap semula kekurangan oksigen. Tanpa berlengah mama dan papa pergi semula ke hospital lain untuk menyambung rawatan.
Sejak dahulu, kalau diserang asma, kamu perlu sedut gas menggunakan nebulizer. Doktor ada bekalkan inhealer untuk digunakan setiap hari ketika kamu berada di luar hospital, tetapi bila keadaan makin teruk, pam itu tidak dapat membantu memperbaiki corak pernafasan kamu. Makanya, terpaksalah kamu dilarikan ke hospital untuk menyedut gas menerusi nebulizer.
Kamu seorang yang sangat aktif. Jika terlebih lakukan aktiviti sukan atau sekadar bermain bersama adik-beradik, nafas kamu mudah menjadi laju. Sebab itu, mama selalu pantau dan kawal aktiviti kamu.
Doktor tidak pernah sarankan apa-apa supplemen untuk mengurangkan penyakit asma, tetapi mama dan papa pernah memberi kamu mencuba beberapa jenis supplemen luar termasuklah berubat secara tradisional. Dengan alternatif itu, kamu berjaya bertahan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan. Tetapi selepas itu, asma tetap menyerang juga. Ada kalanya lebih teruk daripada kebiasaannya.
Keadaan terkini kamu semakin kritikal sehingga dimasukkan ke ICU baru-baru ini. Doktor pakar jelaskan, asma kamu bukan biasa. Beliau minta mama dan papa lebih kerap memantau keadaan kamu. Jika diserang asma, mama dan papa tidak boleh sekadar merawat kamu di rumah. Kamu perlu segera di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dahulu mama anggap asma hanya penyakit biasa. Selepas sedut gas atau makan pil, keadaan akan kembali normal. Bila lihat sendiri keadaan kamu di hadapan mata semasa paru-paru tersekat tanpa ada apa-apa pernafasan, barulah mama sedar ia sesuatu yang sangat serius! Lebih bahaya jika oksigen tidak sampai otak.
Apa-apa pun, mama sentiasa doakan kamu, Muhammad Nufail Rafiqi bin Nasrudin, agar diberikan kesihatan berpanjangan dan dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain. Tambahan lagi, tahun hadapan kamu akan memasuki alam persekolahan. Mama dan papa berjanji akan menuruti nasihat doktor untuk sentiasa mengawal dan memantau keadaan kamu dari semasa ke semasa.”
Mama,
Siti Noor Taqwa Binti Yusof
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Belum dapat idea nak masak sajian apa hari ini? Cubalah resepi senang untuk dinikmati bersama keluarga ketika berbuka puasa.Apa kata masak ayam percik ni,...