Ketika seseorang wanita itu disahkan hamil, hormon di dalam tubuhnya mulai berubah. Apabila ini berlaku, kadangkala ia memberi efek terhadap kulit si ibu. Begitu juga dengan ibu selepas melahirkan, kulit mungkin akan menjadi kusam dan tidak bermaya. Lebih teruk lagi, sesetengah wanita hamil mungkin akan mengalami masalah jerawat yang serius atau kulit gelap pada bahagian pelipat.
Sesetengah masalah kulit akan berhenti selepas si ibu melahirkan bayi. Ada juga yang berlanjutan sehingga beberapa bulan selepas bersalin. Bagi wanita mengandung yang mementingkan kesihatan dan kecantikan kulit, terdapat beberapa makanan semula jadi yang boleh diamalkan dari awal kehamilan bagi memastikan kulit mendapat nutrisi yang secukupnya.
ANGGUR
Buah anggur baik untuk kesihatan kulit kerana ia mengandungi vitamin, mineral dan pelbagai nutrisi di dalamnya. Ia dikatakan dapat menyihatkan kulit kerana mengandungi bahan antioksidan yang tinggi. Kebaikan bahan ini adalah untuk melembapkan kulit serta melindunginya daripada radikal bebas. Mengalamkan buah anggur juga baik untuk melambatkan proses penuaan.
AVOKADO
Biarpun buah ini kaya dengan lemak, tetapi ia baik untuk kulit. Kandungan vitamin E dan C di dalam buah ini dapat menjaga kulit agar sentiasa lembap dan sihat. Vitamin C dapat membekalkan kelembapan kepada kulit agar tidak menjadi kering dan bersisik. Selain itu, pengambilan avokado secara konsisten dapat membantu mencerahkan kulit secara sihat.
UBI BIT
Tidak ramai yang mengenali ubi bit. Sebenarnya ia sangat baik kerana mampu menambah sel darah merah serta membantu menyegarkan kulit. Ubi bit mengandungi kalsium magnesium, vitamin A dan E serta kalium.
KELUARGA BUAH BERI
Ads
Jika diperhatikan banyak suplemen untuk kulit dihasilkan daripada ekstrak buah beri. Ini kerana kandungan vitamin C serta bahan antioksidan yang tinggi di dalam buah-buahan beri ini. Ia melindungi kulit dari radikal bebas yang menyebabkan kanser serta membantu untuk melembutkan kulit.
Bagi ibu hamil atau selepas bersalin yang mahukan kulit kembali tegang, bolehlah mengamalkan epal. Semasa hamil pengambilan epal dapat mengurangkan kewujudan kesan regangan. Jumlah antioksidan di dalam buah epal dapat mengetasi masalah kulit kering serta kedutan.
TOMATO
Ads
Buah tomato sangat baik untuk mata. Selain itu, kandungan likopen di dalamnya berfungsi untuk mencegah kerosakan kulit. Sekiranya tidak dimakan pun, jika dijadikan pupur wajah, tomato dapat membantu menanggalkan sel kulit mati serta bintik hitam pada wajah.
Bagi ibu hamil yang mahu merehatkan kulit, anda boleh cuba pupur tomato dan timun ini. Pupur ini juga bertindak untuk mengecilkan liang pori pada wajah. Cara untuk menghasilkannya juga tidak sukar:
BAHAN-BAHAN:
1/2 biji tomato ranum
Ads
1/4 batang timun
CARA MEMBUAT:
Basuh bersih tomato dan timun. Kemudian dikisar kasar.
Oleskan pada wajah yang telah dibersihkan terlebih dahulu dan urut dalam gerakan memutar.
Biarkan selama 15 minit sebelum dibersihkan dengan air.
KELAPA
Minyak asli dari kelapa dapat memberi kelembapan kepada kulit. Mengamalkan minyak kelapa dara dapat mengatasi masalah regangan kulit serta melembutkan kulit secara natural. Jika ibu mengalami masalah rambut gugur, boleh oleskan minyak kelapa agar lebih kuat dan tidak rapuh.
BAYAM
Bayam amat baik diamalkan oleh wanita hamil kerana ia kaya dengan beta karoten,vitamin A, zat besi serta bahan antioksidan. Jika diamalkan setiap hari, ia dapat membantu ibu hamil yang mempunyai masalah darah rendah. Selain itu, nutrisi yang terdapat dalam bayam dapat menghaluskan kulit wajah dan mengurangkan masalah jerawat pada kulit.
Kesimpulannya, tidak perlulah kita terlalu taksub untuk mengambil jalan mudah untuk mencantikkan kulit. Makanlah buah atau sayuran segar untuk membantu mencantikkan kulit secara sihat. Amalkan secara berdisiplin, pasti akan mendatangkan hasil yang menakjubkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukanlah sesuatu yang asing apabila seseorang wanita mendapat kencing manis ketika hamil. Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, ayuh ikuti penerangan dari Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan. Menurutnya, kencing manis ketika hamil dipanggil sebagai Gestional Diabetes.
Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
14 November – Hari Diabetes Sedunia.
Sempena Hari Diabetes Sedunia, saya nak bercerita sikit pasal diabetes (kencing manis) ketika hamil.
Diabetes yang bermula apabila anda disahkan mengandung dikenali sebagai Gestational Diabetes. Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
Pada kebiasaannya, keadaan Gestational Diabetes terjadi pada pertengahan ataupun pada lewat usia kandungan.
Keadaan Gestational Diabetes ini kerap berlaku. Kadar kebiasaannya, dalam 100 orang wanita mengandung, 18 orang akan menghidapi penyakit ini. Dalam erti kata lain, 18 % wanita mengandung akan ‘dihantui’ dengan masalah ini. Amat biasa bukan?
Apakah risiko-risiko bagi saya untuk menghidapi diabetes ketika hamil?
Anda berisiko tinggi menghidapi diabetes ketika mengandung, jika anda mempunyai salah satu daripada faktor-faktor yang tertera di bawah:
Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes
Bagaimana saya tahu jika saya mempunyai kencing manis dalam kehamilan?
Jika anda mempunyai salah satu faktor seperti yang tertera, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (GTT) ketika mengandung. Ini adalah sejenis ujian mudah yang dijalankan pada awal peringkat kandungan dan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu.
Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali air kosong/ air mineral sahaja.
Pada awal pagi nya, sebelum anda menikmati sarapan, ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu. Kemudian anda akan diminta untuk menghabiskan larutan gula yang berperisa Oren atau Cola.
Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda menikmati larutan gula ini. Mudah bukan?
Jika anda menghidapi kencing manis pada kandungan sebelumnya, anda akan diminta membuat ujian toleransi glukosa GTT ini pada lebih awal kandungan untuk pengesanan awal Diabetes ketika mengandung, justeru dapat mengawal atur paras gula di dalam darah. Kawal atur gula di dalam darah pada peringkat awal mengandung adalah teramat penting dalam tempoh pembentukan organ-organ penting bayi anda pada ketika ini dan mengurangkan komplikasi Diabetes pada bayi dan juga ibu. Jika keputusan ujian toleransi glukosa GTT normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.
Apakah kesan kencing manis pada kehamilan saya?
Kebanyakan ibu yang menghidapi diabetes ketika mengandung ini tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan dan rata-rata melahirkan bayi yang sihat dan comel, tetapi terdapat segelintir kes diabetes ini membawa masalah yang serius pada ibu dan juga bayi, lebih-lebih lagi jika diabetis tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal diabetes ketika mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat mengurangkan banyak risiko serta komplikasi yang berkaitan.
Amatlah penting ibu-ibu sekalian memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan memberikan respon kepada paras gula yang tinggi ini dengan menghasilkan lebih banyak insulin, di mana bayi anda akan membesar secara berlebihan di dalam rahim, seterusnya anda akan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction), juga terdapat risiko berakhir dengan pembedahan caesaerean akibat daripada bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction). Jika anda bersalin biasa pula, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal dan kecacatan saraf mungkin berlaku.
Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.
Bayi anda yang menghasilkan lebihan hormon insulin tadi turut akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Maka, bayi anda perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.
Maka, ibu-ibu perlu mengawal paras gula di dalam darah dalam proses kehamilan dan proses kelahiran untuk mengurangkan risiko dan komplikasi pada ibu dan juga bayi anda.
Bagaimanakah diabetes ketika hamil dirawat?
Jika anda menghidapi Diabetes ketika mengandung, anda perlukan rawatan susulan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, pakar perubatan/ endokrinologi, pegawai zat makanan dan jururawat diabetes. Anda akan diminta supaya membuat rawatan susulan lebih kerap untuk pemeriksaan.
Yang penting ketika menghidapi diabetes adalah memastikan tabiat permakanan yang sihat dan senaman. Kebiasaanya diabetes ketika mengandung dapat dikawal dengan kawalan diet atau permakanan sahaja.
Walau bagaimanapun, daripada 5 ibu yang menghidapi diabetes, seorang ibu memerlukan rawatan insulin untuk mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda memerlukan rawatan insulin, jururawat diabetes akan menerangkan kepada anda bagaimana anda boleh melakukannya.
Ibu-ibu tidak perlu risau, seharunya kesempatan ini diambil untuk berbincang dengan pegawai dietitik mengenai pemilihan makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi anda, dalam masa yang sama dapat mengawal paras gula pada tahap yang memuaskan.
Bagaimanakan proses kelahiran saya nanti? Bilakah saya akan diminta untuk bersalin?
Ibu yang menghidapi Diabetes ketika mengandung, akan diminta bersalin pada usia kandungan 38 hingga 40 minggu, mengikut keadaan Diabetes dan kawalan paras gula dalam darah. Cara kelahiran juga akan dibincangkan bersama anda dan pasangan, mengenai kelebihan bersalin biasa, induced labour ataupun pembedahan caesaerean mengikut keadaan Diabetes ibu dan juga anggaran saiz bayi.
Apakah yang perlu saya lakukan selepas bersalin?
Selepas tempoh pantang 6 minggu, temujanji akan diberikan kepada anda untuk mengulang semula ujian toleransi glukosa GTT, untuk memastikan anda bebas daripada Diabetes selepas kelahiran. Jika ujian ini tidak normal, anda akan dirujuk kepada pakar perubatan/endokrinologi untuk rawatan susulan diabetes.
Wanita yang menghidapi diabetes ketika mengandung, mempunyai kebarangkalian 1 di dalam 3 menghidapi Diabetes Jenis 2 dalam tempoh 5 tahun berikutnya. Justeru itu, anda dinasihatkan untuk menjalani Ujian Glukosa berpuasa (Fasting Blood Glucose) setahun sekali.
Bagaimana jika saya bercadang untuk hamil sekali lagi selepas ini?
Sebelum bercadang untuk mengandung lagi, pastikan berat badan anda sesuai dengan tinggi anda, mempunyai Indeks Jisim Badan BMI yang ideal, mengamalkan permakanan dan gaya hidup yang sihat, untuk mengurangkan risiko anda menghidapi sekali lagi diabetes ketika mengandung.
Jika bercadang untuk mengandung lagi, anda boleh memulakan pengambilan asid folik tambahan 5mg sehari sekali sebelum menghentikan perancangan keluarga dan pada 3 bulan pertama kehamilan. Anda memerlukan preskripsi doktor untuk ubat ini.
Kecacatan kelahiran adalah lebih tinggi dalam kehamilan diabetik berbanding dengan kehamilan biasa. Mengambil asid folik tambahan akan mencegah bayi anda daripada kecacatan kelahiran seperti spina bifida yang disebabkan oleh tiub saraf yang tidak tertutup dengan baik.
Cuba pastikan tahap gula dalam darah anda dikawal dengan baik sebelum anda hamil dan anda akan berada dalam keadaan yang lebih baik untuk mengawalnya sepanjang kehamilan anda. Ini akan mengurangkan risiko masalah kesihatan bertambah bagi anda dan bayi anda.
Kehamilan anda mungkin berisiko tinggi, tetapi ini tidak bermakna anda akan mengalami masalah, terutamanya jika anda terus mengawal tahap gula dalam darah anda pada tahap normal sebaik mungkin di bawah pengawasan doktor dan petugas kesihatan anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah berkongsikan perkembangan terbaru mengenai dirinya di akaun instagram yang menunjukkan kakinya telah membengkak.
Dalam instagram tersebut, Siti Nurhaliza memberitahu dia kini hamil dalam trimester ketiga dan secara berseloroh menyatakan dia sekarang selesa memakai selipar suami, Datuk K kerana seliparnya dah tak muat.
Perkongsian yang sehingga kini mendapat hampir 201,000 likes itu mendapat pelbagai komen yang rata-rata memberitahu ia petanda Siti Nurhaliza bakal bersalin tak lama lagi.
Ramai peminat yang turut mendoakan agar proses bersalin nanti dipermudahkan dan selamat untuk kedua-duanya.
Bukan setakat itu sahaja, penyanyi lagu Segala Perasaan ini juga cukup bertuah kerana ramai yang turut memberi tip untuk mengurangkan kaki bengkak ketika hamil.
Sebelum ini Siti Nurhaliza telah mengumumkan dia bakal melahirkan puteri sulungnya pada Mac ini.
Diharapkan segala urusan bersalin Siti Nurhaliza akan berjalan lancar. Ramai peminat dah tak sabar nak lihat Siti Nurhaliza Junior.
Berikut adalah beberapa tip yang membantu melegakan bengkak kaki ketika hamil.
1. Naikkan Kaki
Ketika duduk atau tidur, naikkan kaki sedikit dengan menggunakan bantal. Tujuannya adalah untuk memperbaiki peredaran darah.
2. SENTIASA MEMBUAT REGANGAN
Elakkan duduk atau berdiri terlalu lama. Buatlah gerakan seperti regangan ringan dan tukar posisi dengan kerap. Seeloknya, jangan menyilang kakikerana ia boleh menghalang peredaran darah pada bahagian tersebut.
3. BERSENAM
Walaupun anda terasa susah untuk bergerak, jangan abaikan senaman ringan dan teruskan bergerak aktif setiap hari. Senaman seperti berenang adalah digalakkan kerana tubuh akan berasa ringan apabila disokong oleh air.
4. URUTAN
Urutan perlahan boleh membantu melegakan rasa sakit akibat bengkak kaki ketika hamil. Ini kerana, ia boleh menggalakkan peredaran darah di samping membantu mengalihkan cecair dari bahagian kaki.
5. KURANGKAN MAKANAN BERGARAM
Kurangkan penggunaan garam berlebihan pada masakan. Garam berlebihan boleh menyebabkan tubuh menyimpan lebih banyak cecair dan sekaligus menjadikan edema lebih teruk.
6. STOKIN SOKONGAN
Jika perlu, anda boleh mendapatkan stokin sokongan di farmasi atau dengan nasihat doktor.
Dengan menggunakan stokin ini, darah tidak berpeluang berkumpul di sekeliling buku lali dan anda akan berasa lebih selesa untuk membuat pergerakan.
Sumber: Instagram ctdk & zuriat.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam tempoh beberapa minggu lagi, penyanyi Nourul akan melahirkan anak keempatnya. Apa yang mengagumkan di usianya yang bakal memasuki usia 42 tahun dia masih lagi bertenaga dan sihat.
Bukan itu sahaja sehingga memasuki trimester terakhir pun kesihatannya masih baik kerana tiada masalah kesihatan serius.
Apa yang dikongsikan Nourul, sehingga kini dia sangat bersyukur kerana mampu bertahan dengan baik di samping kesihatannya turut terkawal walaupun mengandung di usia 40-an.
“Sekejap saja masa berlalu. Mama masih enjoy Isabella dalam perut mama ni.
“Perasaan ini sama semasa mengandungkan anak pertama. Mungkin sebab pembawaan hormon anak perempuan,” katanya.
Nourul juga sangat bersyukur kerana Allah mempermudahkan urusannya sehingga kini dan berterima kasih pada yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuknya.
Sementara itu, Nourul turut berkongsi beberapa keping foto majlis ‘Baby Shower’ bersama rakan dan ahli keluarga terdekat.
Menerusi entri di Instagram (IG), Nourul telah diraikan oleh rakan-rakannya dan ahli keluarga terdekat dalam sebuah majlis yang meriah.
“Isabella Depp baby shower!,” tulisnya ringkas.
Selain ucapan tahniah, peminat turut mendoakan agar kesihatan Nourul dan bayinya sentiasa sihat dan ramai dah taka sabar melihat Isabella Depp yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.
Terdahulu, Nourul bernikah dengan Eric Daniel Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis pada 6 Jun 2012.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Zachary Depp dan Raphael Depp selain anak perempuan dengan perkahwinan pertamanya bersama Ajai.
Sumber: ig NourulDeep
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan buat usahawan yang juga anak kepada Mantan Pendana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Nina Ismail Sabri yang yang mengumumkan kini hamil anak kedua.