Tular kisah 100 individu membabitkan 20 keluarga mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu. Siasatan awal, telur tamat tempoh yang digunakan untuk membuat puding buih itu dipercayai menyebabkan punca keracunan.
Sebab itu pentingnya pemilihan telur dan uji dahulu telur tersebut sebelum masak. Bagi ibu hamil pula pastikan mengambil telur yang dalam keadaan baik dan masak sepenuhnya. Kenapa pentingnya bagi ibu hamil? Ikuti perkongsian daripada pakar, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan.
Apa kesan pada ibu dan kandungan jika termakan telur tamat tempoh?
Kalau makan apa-apa produk atau makanan yang tamat tempoh atau expired, dikhuatiri akan menyebabkan keracunan makanan food poisoning pada ibu hamil. Justeru check dulu tarikh luput setiap makanan yang kita nak ambil.
Ada ibu hamil yang mengidam roti telur goyang..adakah selamat untuk ibu hamil makan telur separuh masak?
Ibu hamil sememangnya tidak dinasihatkan mengambil apa-apa makanan mentah atau separa masak sepanjang tempoh kehamilan , termasuklah telur separa masak atau suku masak. Ini penting untuk mengelakkan jangkitan kuman bernama salmonella semasa hamil. Tiada istilah goyang goyang. Kalau nak roti goyang, boleh makan selepas bersalin.
Cara masak telur yang selamat untuk ibu hamil?
Untuk selamat, jika ibu mahu makan telur adalah telur yang telah dimasak sepenuhnya. Rebus atau goreng tak ada masalah, asalkan dimasak sempurna. Rebus la lebih baik, tak berminyak kan.
Perlu tak ibu hamil pilih telur yang sedikit mahal berbanding telur papan yang tiada expiry date?
Ibu-ibu hamil takda masalah nak ambil telur biasa atau telur yang agak mahal sedikit. Pengambilan telur sebenarnya untuk sumber protein yang terkandung di dalamnya. Kena pastikan telur tak lebih tarikh luput je sahaja. Tak pasti jangan beli. Begitu juga dengan makanan lain, bukan hahya tertumpu pada telur sahaja.
Untuk memilih telur yang terbaik, ikut langkah ini;
1. PERIKSA KULIT TELUR
Perhatikan sekeliling kulit telur dan lihat jika ada sebarang keretakan padanya. Jika masih elok, bermakna bahagian dalam telur masih terlindung.
Untuk mengetahui sama ada telur itu bagus mahupun tidak, ia mempunyai sejumlah butiran kecil yang akan membuatkan permukaan telur sedikit kasar jika dipegang.
2. GONCANG TELUR
Untuk mengetahui keadaan dalam telur, goncangkan ia. Telur yang berkualiti tidak akan kedengaran berbunyi kerana ia padat di dalamnya.
Putih telur yang bagus sedikit kental jika dibandingkan dengan yang sudah lama ataupun rosak. Jika telur tidak berbunyi bermakna telur putih itu dalam keadaan yang baik.
Telur putih yang sudah rosak tidak dapat ‘mengikat’ kuning telur dan mempunyai rongga udara yang banyak di dalamnya. Oleh itu, apabila digoncangkan ia akan berbunyi.
3. RENDAMKAN DALAM AIR
Ketika anda di rumah, tiba-tiba teringin makan telur. Bagaimana anda mahu tahu jika telur itu masih boleh digunakan?
Rendamkan saja. Telur yang masih baik akan terendam, jika sudah seminggu disimpan akan tenggelam dengan posisi sedikit senget.
Telur yang tersimpan lebih kurang 2-3 minggu pula akan lebih tegak kerana rongga udara di dalam telur semakin banyak. Sekiranya anda rendam telur dan ia timbul sepenuhnya, bermakna ia sudah rosak. Namun, jika waktu anda rendamkan telur itu dan ia tenggelam sepenuhnya, bermakna telur itu masih segar dan selamat untuk digunakan.
4. PERHATIKAN KUNING TELUR
Kuning telur yang masih elok biasanya berwarna kuning terang dan apabila dipecahkan, ia akan terbentuk cantik.
Jika sudah tidak berapa elok, kuning telur akan berwarna sedikit pucat dan cenderung untuk ‘terlerai’ ketika anda pecahkan telur. Selain itu, putih telur juga tidak selikat yang biasa.
Kredit: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan.