Jatuh adalah antara kemalangan kanak-kanak di rumah yang paling sering berlaku di Malaysia. Kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun lebih cenderung untuk cedera akibat jatuh. Mereka lebih berisiko disebabkan oleh tahap perkembangan dan keadaan persekitaran mereka.
Jatuh boleh berlaku dimana-mana sahaja:
Dalam rumah. Contohnya jatuh dari:
-Perabot
-Tangga
-Beranda
-‘Baby walker’
Di kawasan luar rumah. Contohnya:
-Di padang permainan.
-Semasa menggunakan alat-alat permainan.
Kecederaan akibat jatuh
Akibat jatuh, kanak-kanak akan mengalami pelbagai jenis kecederaan seperti berikut:
-Tisu lembut – calar, terseliuh, luka dan melecek.
-Patah – bengkak, sakit dan cacat anggota.
-Kepala – bengkak kepala, berdarah di telinga, hidung dan mulut, mengantuk, muntah, sawan dan pengsan.
-Kecederaan organ dalaman.
Kesan serius akibat jatuh
Kecederaan otak yang kekal, menyebabkan tulang patah dan tumbesaran terbantut.
Kecederaan serius boleh menyebabkan kerosakan organ yang kekal atau kematian.
Rawatan
Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.
Jika kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat penahan sakit (sirap paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan anggota yang tercedera.
Jika anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan ibu jari anda beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan rehatkan anggota yang tercedera. Balut dengan kain bersih.
Jika anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk mengampu tulang yang patah dibahagian tangan dan lengan.
Periksa kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
Pencegahan
Kebanyakan kemalangan terjatuh boleh dicegah. Terdapat langkah-langkah untuk mencegahnya:
Tangga
-Pagarkan anak tangga bawah dan atas dan pintu rumah.
-Pastikan semua tangga diterangi cahaya lampu.
-Pastikan anak tidak dibiarkan berseorangan di tingkat atas, beranda atau di tempat yang tinggi.
Lantai
-Simpan semua permaidani yang dilipat dan barang-barang supaya tidak berselerak di lantai.
-Lapkan lantai basah akibat tumpahan air atau makanan dengan segera bagi mengelakkan lantai licin.
Susunan perabot
-Elakkan meletak kerusi dan perabot berhampiran tingkap.
-Cuci bilik mandi dengan kerap untuk mengelak lantai daripada berlumut dan menjadi licin.
Sumber: KKM Portal
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI