Jangan ingat bila anda seorang ayah yang merokok telah melakukan cara yang selamat apabila tidak merokok di dalam rumah kerana ada anak kecil. Hakikatnya anda tetap mendedahkan si kecil pada kesan bahaya asap rokok yang boleh mengancam nyawanya sendiri!
Baca kisah benar yang dilalui oleh ibu ini yang telah melalui pengalaman buruk kesan asap rokok pada bayinya.
“Benarlah ilmu itu luas..dulu umie tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Bila renung wajah anak sendiri YA ALLAH what should i do??”
“I love him so much n will do anything for him. how can i convience other people?? Patotla ada ibu-ibu kat luar sana sanggup menjauhkan anak dr org.”
“Selalu jugak dengar.. ALAHHHH!! Anak aku ok je hidup jugak sampai sekarang. ALLAH belum uji lagi… now aku diuji dengan perasaan takut yang teramat sangat. Aku perhatikan sikap cerewet mak bapak lain yg betul-betul mementingkan kebersihan dan persekitaran anak-anak. Basuh tangan sebelum pegang bayi anda yang paling penting jauhi rokok. Bila kita terlalu ambik tau dan cerewet ada yang menganjing cakap kita mengada-ngada. Ada yang tak ambik kesah, lagi nampak kita pegang baby lagi dia akar rokok tu. Now lihat anak aku sendiri ya Allah ape aku patut buat..
SISA ASAP ROKOK TETAP BAHAYA
Jangan anggap bayi atau anak anda selamat apabila anda merokok di luar rumah. Ini kerana, apabila seorang perokok itu merokok, kesan-kesan nikotin masih terlekat di kulit, baju, bangku, sofa, lantai, langsir, dalam kereta, dan sebagainya walaupun selepas berjam-jam ditinggalkan oleh perokok.
Yang membimbangkan, kepekatan bahan kimia beracun seperti bahan karsinogen, nikotin, karbon monoksida, benzen, formalsehid dan hidrogen sianid yang terkandung dalam asap rokok ‘basi’ adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif. Ini bermakna asap rokok itu lebih merbahaya kepada kita berbanding perokok itu sendiri, apatah lagi kepada bayi!
5 KESAN ASAP ROKOK KEPADA BAYI & ANAK KECIL
Di Malaysia, bilangan perokok masih meningkat walaupun telah bermacam-macam kempen dijalankan. Sumber menyatakan bahawa pada tahun 2013 peratusan perokok meningkat kepada hampir 25% dan ia adalah angka tertinggi sejak Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2006.
Berikut adalah antara risiko yang dihidapi oleh bayi yang terdedah kepada asap rokok, walaupun bukan secara ‘direct’
Seperti yang dilaporkan oleh The Health Consequence of Tobacco Use, kebarangkalian untuk bayi kecil mendapat sindrom kematian mengejut (SIDS) adalah tinggi bagi bayi yang terdedah kepada asap rokok mahupun bayi yang dalam kandungan.
Selain itu, bayi dalam kandungan juga berisiko lahir kurang berat badan dan komplikasi lain yang membawa kepada ancaman kesihatan secara kekal.
2. MASALAH SALURAN PERNAFASAN
Bentuk paru-paru kanak-kanak yang lebih kecil dan masih dalam peringkat perkembangan amat penting untuk dijaga demi mengelakkan masalah jangka masa panjang.
Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, “Kalau orang dewasa bernafas dalam 15 atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula kadar pernafasan mereka adalah lebih tinggi, dalam 40 hingga 50.
“Itu bermakna bahawa dengan kadar pernafasan yang lebih laju, mereka akan menyedut lebih daripada orang dewasa,”
Jelasnya lagi, hampir 90% daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paruadalah daripada keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang perokok.
3. SERANGAN LELAH
Selain faktor genetik dan persekitaran, bayi yang tinggal dengan ibu atau bapa yang merokok lebih berkemungkinan menghidap lelah (asthma) jika dibandingkan dengan bayi yang tinggal dalam rumah yang tidak mengandungi asap rokok.
Walaupun kini terdapat rawatan untuk penyakit lelah, pendedahan kepada asap rokok yang berterusan sebenarnya boleh menyebabkan serangan lelah yang amat serius.
Yang menyedihkan, terdapat kajian mendapati bahawa kandungan nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ubat lelah tidak dapat memberi kesan 100%
4. MENJEJASKAN PERKEMBANGAN IQ ANAK
Menurut data oleh American For Non-Smokers’ Right, kesan asap rokok ‘basi’ ini boleh merencatkan keupayaan anak kecil untuk belajar. Ia dibuktikan dengan skor IQ 2.87 poin lebih rendah berbanding anak kecil yang tidak terdedah kepada asap rokok.
Selain itu, kajian Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics turut mengaitkan asap rokok sebagai salah satu punca anak yang hiperaktif, ganas, tertekan dan mengalami masalah ADHD (attention deficit hyperactivity disorder), terutamanya di kalangan anak lelaki.
5. PENYAKIT LAIN YANG SERIUS
Selain daripada masalah di atas, banyak lagi penyakit lain yang boleh dihidapi akibat kesan asap rokok.
Antaranya termasuklah jangkitan telinga dan saluran pernafasan, seperti telinga bernanah dan inflamasi pada telinga tengah.
Selain itu, mereka boleh terdedah kepada masalah keradangan paru-paru (bronkitis). Lebih kronik lagi, ia boleh bertukar kepada penyakit lebih serius seperti pneumonia di mana kanak-kanak mula mengalami demam, batuk, meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.
BETULKAN MENTALITI, AMBIL PEDULI!
Kata Dr Mohd Shaiful Ehsan melalui artikelnya di Malaysian Medical Gazette, “Percaya atau tidak, kita semua adalah perokok…’Perokok ketiga’.
Justeru, sila ambil peduli. Perokok pertama adalah mereka yang aktif merokok dan menghidu asap rokoknya sendiri. Perokok kedua atau pasif pula adalah mereka yang menghidu asap rokok yang dibebaskan oleh perokok pertama. Manakala perokok ketiga adalah mereka yang terdedah pada saki baki bahan rokok yang tersisa selepas ditinggalkan oleh perokok pertama dan kedua.
Sedar atau tidak, hampir semua penghuni dunia kini adalah perokok ketiga.”
Sumber: Izzati Najib via Ibu Bapa Prihatin