Pakaian yang berwarna putih dan cerah sememangnya cukup sensitif dengan kotoran. Malah baju yang lama cenderung untuk bertahi lalat. Pun begitu jangan terus dibuang jika masih boleh dipakai.
Sebaliknya cuba ikhtiarkan cara ni untuk hilangkannya. Memang menjadi!
Jom cuba 5 cara hilangkan tahi lalat pada pakaian atau sebarang fabrik.
1. CUKA
Cuka adalah bahan semulajadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang kurang menyenangkan. Ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi.
Caranya, campurkan 1 cawan cuka putih ke dalam 1 baldi air dan rendamkan selama sekurang-kurangnya 1 jam. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci / detergen. Gunakan air yang sedikit hangat semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan.
Jika ingin digunakan pada fabrik lain seperti sofa atau langsir, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian gosokkan dengan berus yang sesuai dan bilas seperti biasa dengan sabun detergen.
2. BAKING SODA
Selain menggunakan cuka, anda boleh menggunakan baking soda sebagai salah satu cara menghilangkan tahi lalat pada pakaian. Ianya efektif untuk digunakan dalam bentuk pes atau secara terus. Seperti cuka, ia juga boleh menyerap bauan yang keluar daripada kulat.
Cara pertama adalah dengan membuat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat. Biarkan seketika dan kemudian beruskan seperti biasa.
Jika kulat masih belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda tersebut. Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesis kulat yang berbeza. Melalui pemerhatian, cara ini adalah yang paling berkesan dan digemari oleh ramai ibu-ibu!
3. JUS LEMON DAN GARAM
Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes.
Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh merendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama 1 jam. Selepas itu, bilaskan seperti biasa.
4. PELUNTUR
Peluntur (bleach’) atau lebih dikenali sebagai Clorox adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian. Namun, ia juga akan melunturkan warna. Jadi, cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih sahaja ya!
Caranya, larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk dan ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal.
Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut. Sekiranya pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama sekitar 20 minit, mengikut sukatan pada produk.
5. VANISH
Selain peluntur, satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.
Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan tahi lalat, dan biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.
6. JEMURKAN BAWAH CAHAYA MATAHARI
Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan yang lebih efektif.
Untuk mencegahnya daripada berulang, keringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor. Baju yang terkena susu atau makanan juga boleh direndamkan secepatnya supaya kotoran lebih senang ditanggalkan.
Jadi, jangan buang dulu baju-baju tersebut sebelum mencuba ya!
Menarik: Sakit-Sakit Badan Lepas Makan Sayur Berangin, Mak-Mak Kena Kurangkan Jenis Sayur Ni
Sebagai ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik buat si manja. Pemakanan yang sihat dan seimbang sangat kita titikberatkan supaya anak dapat membesar dengan baik.
Nak tahu rahsia sediakan hidangan enak yang buat anak berselera makan? Jom, sertai E-Workshop Kelas Penyediaan Makanan Anak: Sedap, Sihat & Selamat di https://toko.ideaktiv.com/product/e-workshop-kelas-penyediaan-makanan-anak-sedap-sihat-selamat/
Sertai Webinar Keibubapaan PERCUMA anjuran Pa&Ma secara virtual yang menjemput speaker- speaker hebat dalam bidang keibubapaan termasuk Prof Madya Dr Nik Salida, Ibu Rose, Dr Ahmad Rostam, Puan Maryam Jamadi, Puan Azlina Roszly dan Irma Hasmie.
Daftar nama di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-sayang-anak-ketat-ketat/
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Kredit: Pesan Bonda