Apabila mempuyai anak (sama ada yang bayi atau pun sudah besar sedikit), mencuci pakaian adalah sesuatu yang sukar. Maklum sajalah, macam-macam kesan kotoran yang ada pada baju. Nak dibasuh pun perlu betul caranya agar kainnya tidak rosak atau luntur warna.
Untuk ibu yang mempunyai bayi, anda perlu baca dahulu labelnya yang ada menunjukkan cara membasuhnya. Setiap jenis fabrik bayi adalah berbeza cara basuhannya. Membersihkan baju bayi lebih renyah kerana ia tidak boleh dicampur dengan pakaian lain dan perlu menggunakan sabun khas.
Sebaiknya basuh pakaian kotor bayi dengan segera dan elakkan terbiar beberapa hari. Ini kerana kesan kotoran boleh terus melekat pada pakaian dan lebih susah hendak dibersihkan serta berisiko tidak hilang bila dicuci.
Ada bermacam jenis kotoran pada pakaian bayi anda seperti air liur, kesan susu ibu atau susu formula, makanan dan kotoran lain.
Berikut adalah beberapa jenis kotoran pada pakaian bayi dan cara mudah membersihkannya. Oh ya, jangan lupa asingkan dulu pakaian bayi daripada pakaian orang dewasa kerana kulit bayi lebih sensitif!
IKLAN
1. Kotoran susu ibu, susu formula, makanan dan air liur
Rendam pakaian bayi dalam air bersih terlebih dahulu kemudian barulah letak pencuci pakaian bayi. 2. Kotoran daripada minyak bayi, krim dan minyak telon
Sebelum mencuci pakaian, taburkan tepung jagung atau bedak pada kotoran untuk menyerap minyak, biarkan lebih kurang 10-15 minit. Kemudian barulah cuci pakaian dengan sabun pencuci pakaian bayi.
3. Jus, jam buah & makanan bayi
Rendam pakaian dalam air yang dicampur 1 sudu kecil baking soda. Jangan tunggu sampai kotoran kering dan sudah melekat pada pakaian bayi kerana ia lebih susah hendak ditanggalkan. Selain itu anda boleh juga menggunakan cuka masak untuk menghilangkan kotoran ini. Caranya larutkan cuka dalam air paip dengan nisbah 1:3, kemudian baru cuci. Bila menggunakan cuka, ibu mesti lebih teliti semasa membilas pakaian anak supaya bau cuka hilang pada pakaian.
IKLAN
4. Kotoran air kencing
Campurkan 1 sudu besar campuran amonia dalam secawan air. Kemudian rendam pakaian kotor itu sebelum dicuci seperti biasa.
5. Kesan tahi lalat
Campur sedikit cuka ke dalam setengah liter air. Rendam semalaman pakaian bayi yang ada tahi lalat. Kemudian cuci pakaian seperti biasa menggunakan detergen. Sediakan air panas yang telah dicampur dengan perahan limau nipis.
Bilas pakaian yang sudah dibasuh dengan air panas campuran limau nipis. Biarkan beberapa saat kemudian cuci balik pakaian menggunakan pencuci pakaian yang sama. Bilas dengan air bersih.
Kalau tahi lalat masih ada buat sekali lagi langkah merendam dalam perahan limau nipis hingga membilas dengan air bersih sampai kesemua tahi lalat hilang. Kemudian jemurlah pakaian tersebut sehingga kering.
Jika anda mahu mencuci baju bayi menggunakan tangan, penuhkan besen dengan air suam dan masukkan sedikit sabun pencuci khas untuk pakaian anak. Kemudian celupkan baju yang mahu dibersihkan di dalam air suam tersebut dan biarkan terendam selama 10-20 minit. Celup-celup dan gosok lembut kesan kotor pada baju itu.
Tidak perlu digosok kasar kerana akan merosakkan kain atau menyebabkan ia meregang. Kemudian dibilas dnegan air sejuk. Perah lembut dan bolehlah dijemur. Elakkan dijemur di kawasan yang terlalu panas (terus di bawah sinaran matahari). Pastikan anda segera bersihkan kesan kotoran pada baju bayi, jangan ditangguh kerana ia akan ‘melekat’ dan sukar dibersihkan. Selamat mencuba!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cepat je rasa nak marah anak.. Tak kena sikit anak-anak terus jadi mangsa. Ini antara situasi ibu hari ini kerana terlalu stres dengan kerja dan dalam masa sama menguruskan anak.
Perlu diketahui, emosi yang bercelaru, badan penat, kepala serabut antara punca ibu bapa anggap anak suka cari pasal sehingga anak buat salah sikit pun terus berapi kemarahannya.
Jika difikirkan semula, ibu bapa yang ada anak dan mampu melihat perkembangannya setiap hari dikira sangat beruntung berbanding yang terpaksa berjumpa anak seminggu atau sebulan sekali.
Jadi ambillah peluang ini sebaiknya dan manfaatkan masa dengan anak sebaik mungkin kerana waktu kecilnya tidak dapat diputar kembali selepas ini.
Melalui perkongsian Dr Siti Ujila, beliau menyarankan supaya ibu menghargai anak ketika mereka ada di depan mata. Walau mereka menguji kesabaran, walau kita penat dan ada banyak masalah dan karenah anak-anak itu menambahkan lagi pening kita.
Takpe. Itulah nikmat menjadi seorang ibu. Seorang ayah.
Memang, kalau mereka salah..tegur dan ajarkan mereka. Tapi ambillah juga masa untuk bergurau bersama tentang apa yang kelakar yang mungkin berlaku sebelumnya.
Petang-petang bawa anak keluar, main lumba lari dan kejar-kejar.
Gelak-gelak bersama. Makan bersama sambil borak-borak apa yang jadi di sekolah tadi. Nyanyikan lagu kegemaran mereka bersama-sama sambil meniru gaya mereka dan akhirnya sama-sama pecah perut sebab tak tahan gelak.
Allahu, seronoknya punya anak-anak di sisi. Anak-anak bukan hanya amanah dan tanggungjawab. Tapi sebetulnya cara Allah agar hidup kita terisi dengan pelbagai warna kegembiraan dan kebahagiaan.
Kerana sebenarnya tanpa mereka, percayalah kehidupan seperti bumi kosong yang tiada apa. Anda akan lebih rela berdepan pelbagai karenah mereka, dari menghadapi hidup yang terasa kosong tanpa apa.
Hargai anak-anak. Berbahagialah hidup bersama mereka.
Hargai Masa Dengan Anak
Ya jika anda juga seperti saya yang selalu cepat marah dengan karenah anak-anak, cepat melenting cepat menghukum, saya ingin katakan bahawa anak-anak itu tak selamanya di hadapan mata kita.
Satu masa nanti, mungkin mereka duduk di asrama dan hanya pulang ketika cuti sekolah.
Satu masa nanti, mereka sibuk dengan urusan kerja sampaikan nak jumpa sebulan sekali pun susah.
Satu masa nanti, mungkin saja mereka ada di rumah tapi hanya ingin terperap di dalam bilik bahkan tidak mahu berborak-borak dengan kita walau duduk serumah. Kerana mungkin kita yang tidak mahu melayan ceritanya saat mereka kecil yang mahu bercerita itu dan ini.
Bahkan satu masa nanti, entah kita entah mereka yang akan pergi dahulu meninggalkan semua yang ada di dunia ini.
Ya Tuhan, ku tak tahu bagaimana menghadapi perpisahan itu. Seminggu mereka tiada di sisi saja buat aku bingung. Sunyi. Sepi.
Terima kasih kerana mengajarkan aku untuk lebih menghargai mereka saat mereka ada.
Kesefahaman dan bertanggungjawab dalam rumah tangga antara kunci utama kebahagiaan dalam setiap perhubungan. Inilah yang perlu menjadi perhubungan bagi pasangan suami isteri seawal berkahwin sehinggalah ke ahir hayat.
Menurut Imam Muda Hassan, kejujuran, rasa tanggungjawab dan saling menyayangi ini perku diletakkan pada carta pertama perhubungan. Bukan hanya melihat rupa paras semata-mata.
Percayalah, bukan handsomenya yang akan menjadikan hidup isteri tenang, tapi kesetiaan dan tanggungjawabnya.
Percayalah wahai para wanita solehah sekalian, lelaki itu bukan handsomenya yang akan menjadikan hidupmu tenang, tapi tanggungjawab dan perhatiannya terhadapmu yang menjadikan hidup bersamanya menjadi tenang dan bahagia.
Habis tu, tak perlu ke cari suami yang handsome? Kami nak tengok muka dia tiap hari, bukan nak tengok tunggul kayu.
Ya memang Nabi SAW pun suruh cari pasangan yang cantik dan handsome, tapi itu tidak memberi jaminan yang kita akan bahagia hidup dengannya.
Kalau menurut hadith, kriteria utama untuk cari pasangan ialah yang beragama. Kenapa yang beragama? Sebab pasangan yang beragama akan faham soal tanggungjawab, kesetian dan keadilan.
Sebab tu tak pelik bila kita lihat pasangan bagai pinang dibelah dua akhirnya kecundang di pertengahan jalan.
Dan tak pelik juga ada pasangan yang kita lihat mereka ni dengan sebelah mata je, tapi bahagianya mereka sampai ke akhir hayat.
Jadi janganlah tertipu dengan rupa cantik dan handsome.
Bak kata iklan saham dalam radio, “tak handsome takpe asal kaya”. Itu versi iklan radio yang selalu terngiang-ngiang di telinga teman ni ha. Versi teman pula, “tak hansdome takpe asal bahagia”.