“Bang Lelaki Lagi”, Tak Mengapa, Allah Hadirkan 5 Hero Untuk Jadi Imam & Usung Jenazah Mak Ayah Kelak!

Share

Tak mengapa jika Allah kurniakan kesemuanya anak lelaki buat kita. Jangan sesekali merasa sedih bila tidak hadiahkan seorang anak perempuan buat suami. Anak lelaki kurniaan Allah cukup banyak kelebihannya malah mampu melindungi ibunya sampai syurga.

Ingatlah bahawa memiliki kesemuanya anak lelaki merupakan kebanggaan. Bakal menjadi imam mak ayah, solatkan 5 waktu malah bakal mengusung jenazah ibu dan ayahnya kelak. Hebat!

Perkongsian Cikgu Fadli Salleh yang cukup dikenali sebagai pendidik berhati penyayang dan prihatin dengan kesusahan anak-anak muridnya mengenai kelahiran anak kelimanya cukup membuatkan hati seorang isteri tersentuh. Inilah yang mahu didengari oleh seorang isteri dikala rasa sayu dan kecewa.


“Bang. Lelaki Lagi,” ujar puan isteri sedikit kesedihan.

“Tak apa lah. Lelaki pun anak juga,” balasku.

“Tapi saya tak dapat beri anak perempuan kat abang. Tak apa ke?” balas puan isteri makin sayu.

Aku pandang matanya. Genggam erat tangannya. Tangan yang aku kahwini 11 tahun lepas itu hangat terasa. Lalu aku berkata,

“Anak ni rezeki Tuhan. Kita tak perlu merungut walau lelaki semua. Orang lain berapa ramai berdoa agar ada anak. Ramai juga yang berdoa agar dapat jodoh.

Lagi pun anak-anak lelaki ni, buatkan keluarga kita kuat. Awak keluar nanti, penuh bodyguard iring. Jenazah kita nanti tak perlu orang lain pikul. Setiap penjuru, anak-anak kita”.

“Tapi bang. Kalau abang…” kata-katanya terhenti.

Aku gelengkan kepala tanda tak nak dia teruskan berkata-kata. Aku tahu ayat seterusnya.Ayat gurauan ramai kawan-kawan selalu berkata,

“Agaknya ‘kilang’ ini produce lelaki sahaja. Kena cari ‘kilang’ lain kot baru boleh produce perempuan”.

Itu ayat gurauan. Sedikit pun aku tak terkesan. Namun adakah jika kahwin lagi satu anak yang bakal dikandung itu 100% pasti perempuan? Tidak kan? Bahkan kemungkinan nak mengandung pun belum tentu lagi. Habis kenapa nak ambil risiko cari yang lain?

Satu cukup. Cukup untuk menjaga aku dan anak-anak. Dua walau banyak belum tentu menjanjikan bahagia. Bahkan jika ada yang berkata, jika kahwini dia pasti dapat anak perempuan pun akan aku tolak. Walau pasti.

Memang kalau boleh, kita nak anak biar berpasang. Biar ada lelaki, biar ada perempuan. Namun apa salahnya kalau lelaki semua? Nanti cari la menantu perempuan pula. Lagi pun aku tak risau, aku dah ramai ‘anak-anak’ perempuan di sekolah nun.

Paling ditakuti bila kahwin dua tiga adalah keadilan. Adil ni tak nampak mata kasar. Bukan boleh timbang atas penyukat. Sikit terlebih sana, sini terasa. Malaikat pula menulis. Ah, cari bala belaka.

Andai satu pun aku tak mampu nak jaga dengan sempurna, tak pernah aku mimpikan ada dua, ada tiga. Walau kewangan itu mampu, walau nafkah zahir dan batin ada kemampuan, namun cukuplah.

Bukan takut bini tapi cukuplah satu

Cukuplah satu pada aku. Orang bergurau katanya takut bini. Salah tu.

Berkahwin satu bukan tanda takut bini. Ia tanda setia. Ia tanda menghargai. Ia tanda tahu kemampuan diri. Ia tanda sedar, yang satu itu pun kita tak menjaga hati mereka 100%, apa lagi mahu tambah dua tiga.

Orang yang berminat nak tambah ramai, silakan. Jika rasa mampu zahir, mampu batin, dan mampu adil, silakan. Tidaklah aku menolak poligami. Itu sunnah nabi saw. Mana mungkin kita menolak sunnah kekasih Allah.

Cuma aku sedar. Sunnah lain banyak lagi tak terikut. Nak ikut sunnah yang tak mampu nak pikul buat apa? Ikut sunnah ni dapat pahala sepatutnya. Namun jika ikut sunnah tapi tidak adil, tidak mampu, menyakiti dan melukai antara satu sama lain, bukan dia. Bukan begitu caranya.

Anak semua lelaki? Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Semua milik ibunya. Kembali taat pada ibu walau sudah beristeri nanti. Bakal mengusung jenazah kami. Bakal imamkan kami solat 5 waktu, solat terawih bahkan solat jenazah kami.

Ia merupakan kebanggaan kami. Ia bukan alasan untuk mencari lain agar dapat anak perempuan. Isteri dan anak ini amanah Maha Besar dari Tuhan. Nak didik mereka agar menarik tangan kita ke syurga tidak mudah. Yang sedia ada ini, perlu aku didik sebaik mungkin. Tidak ingin aku mencari lain.

Cukuplah satu bagiku. Cukuplah satu.

@The Arumi’s
#MFS
– Family man –

Published by
Siti Ramlah Mahmud