Banyak Peluk & Kurang Layan Gajet, Itu Tip Pakar Saran Untuk Ibu Ayah Nak Ketenangan, Kasih Sayang Luar Biasa Dari Anak-anak

Share

Anak-anak yang tak reti duduk diam dan sering kali mengundang kesabaran mak ayah sebenarnya memerlukan perhatian yang lebih. Kadang kita sebagai ibu bapa tidak sedar kesibukan membuatkan kita kurang menghabiskan masa dengan mereka. Tambah pula bila mata asyik melekap di telefon pintar atau gajet yang ada.

Jadi untuk ibu ayah yang mungkin terlupa si kecil memerlukan perhatian kita, tip yang diberikan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) ini boleh dijadikan panduan.

Hari ini pula, dengan iklim ekonomi semasa yang tidak menentu ditambah dengan begitu banyak masalah negara dan masalah dunia seperti epidemik penyakit berjangkit yang serius, papa dan mama acapkali mudah terlupa tentang perkara-perkara yang penting lagi bermakna dalam hidup mereka. Dalam mereka sibuk keluar mencari rezeki demi untuk menambah pendapatan keluarga mereka, kita khuatir kalau mereka terlalu letih hingga tidak dapat menjadi mama dan papa yang tenang lagi ‘berkualiti’.

Ya, memang mudah kita berbicara tentang konsep keibubapaan berkualiti atau berkongsi masa berkualiti dengan anak-anak kita! Namun realitinya, lauk di dapur tetap perlu dibeli, bil-bil tetapi perlu dibayar, begitu juga hutang-hutang yang ada serta 1,001 macam keperluan diri sendiri dan keperluan anak kita perlu diselesaikan. Jauh daripada kata-kata motivasi kosong yang tidak menggambarkan realiti kehidupan pada hari ini, rasanya elok bulan ini kita berfikir dan melihat kepada proses kemenjadian papa dan mama.

Kemenjadian atau ‘becoming’ merupakan suatu proses hidup yang amat penting kerana ia menentukan bentuk dan corak diri seseorang atau identiti individu tersebut. Semua orang ada pandangan tersendiri apabila kita sebut perkataan ‘mama’ atau ‘papa’. Pada masa yang sama, ramai pula orang yang terlupa bahawa papa dan mama juga manusia biasa yang perlu belajar, menambah pengetahuan serta menjaga kebajikan diri mereka.

Satu: Manfaatkan pagi-pagi untuk kebersamaan

Semua orang di dunia ini tahu bahawa pagi-pagi pada hari dan minggu bekerja ialah waktu yang paling kelam-kabut lagi ‘gila’! Maka, tidak hairanlah kalau terjadi kes mama terambil fail kerja papa dan papa pula terbawa beg tadika si kecil ke pejabat. Akan tetapi, tahukah anda bahawa waktu pagi juga boleh menjadi waktu yang tenang dan penuh kebersamaan?

Benar, sarapan pagi masih perlu disediakan, gigi perlu diberus diikuti mandi dan memakai pakaian. Perjalanan ke tadika dan ke tempat kerja juga terpaksa menempuh kesesakan trafik (seperti biasa). Namun, berusahalah untuk mengurangkan stres anda dan anak kecil kesayangan anda walau sekadar dua atau tiga minit setiap pagi. Untuk beberapa minit setiap pagi, diamkan diri dan tarik nafas sambil menikmati waktu yang sedang dikongsi bersama-sama. Sediakan diri untuk hari berkenaan dengan tenang bukan kelam-kabut.

Di atas kenderaan, minta si kecil untuk menunjukkan sesuatu atau suatu benda yang tidak pernah dia perhatikan sebelum ini. Matlamatnya ialah untuk bersama-sama berkongsi detik waktu itu walaupun dalam kesibukan atau kesesakan trafik yang boleh menimbulkan rasa geram dan marah. Banyak manfaat apabila anda sebagai papa atau mama bertenang dan mencari peluang kebersamaan pada pagi-pagi hari. Selain mengurangkan stress, ini membantu merapatkan hubungan antara anda dengan si kecil kesayangan anda itu!

Dua: Perbanyakkan pelukan antara anda dan si kecil

Kalau ditanya kepada saya secara peribadi, antara nikmat Tuhan paling bermakna kepada kita sebagai orang tua si kecil, tiada yang dapat dibandingkan dengan peluang memeluk dan mencium si kecil manja kesayangan kita sewaktu usianya 0-6 tahun! Pelukan itu bukan sekadar memberi ketenangan tetapi juga menurunkan hormon yang membawa kepada stres dan perkara negatif lain.

Soalannya, sudahkah mama dan papa memeluk dan mencium si kecil hari ini? Kalau sudah, sudah berapa kali? Dan, kalau sudah beberapa kali, siapa yang suruh berhenti? Teruskan lagi! Bayangkan peluang yang anda berikan itu sebagai senaman di mana kita orang tua dan anak kecil kita bersama-sama saling memberi pelukan erat dalam kiraan tiga kali menghela nafas atau dalam kiraan tiga saat. ‘Senaman’ ini semakin bermakna ketika si kecil manja anda kurang sihat, sedang bersedih atau menghadapi krisis.

Mencium dan memeluk anda kita dapat menenangkan sistem saraf mereka dan ‘senaman’ ini mengajar anak-anak kita bahawa kita boleh menggunakan tindak balas fizikal untuk bereaksi terhadap situasi yang sukar. Yang paling utama, anda patut sedar bahawa perbuatan ini membawa manfaat kepada kedua-dua pihak; ia mengajar kanak-kanak bagaimana caranya untuk mereka menenangkan diri, tetapi ia juga mengajar anda sebagai papa dan mama untuk menenangkan diri anda.

Tiga: Sudah-sudahlah ‘melayan’ telefon pintar anda, beri fokus kepada si kecil

Kita cepat geram dan marah apabila si kecil kesayangan terlalu leka dan sibuk bermain dengan telefon pintar atau komputer tablet sambil melayan aplikasi permainan atau pun menonton YouTube! Ada pula sampai ‘terbuang’ air kecil (termasuk juga air besar) dek kelekaan bermain dengan peranti atau gajet. Kalau diambil? Nah, bersedialah untuk drama Hindustan lengkap dengan aksi air mata yang mendayu-dayu!

Akan tetapi, apa pula kisahnya dengan mama dan papa yang terlalu leka melayan telefon pintar atau bersembang kosong dalam kumpulan WhatsApp yang tidak mendatangkan apa-apa pun faedah (kecuali membuat masa)? Mulai hari ini, tolong jadikan diri anda sebagai papa dan mama yang tenang lagi berkualiti. Sedarkan diri daripada mimpi dan hentikan tabiat buruk duduk terpaku melihat telefon pintar anda setiap minit. Seperti juga si kecil kesayangan, tetapkan sempadan untuk diri anda sendiri.

Mungkin mulakan dengan 10, 20 atau 30 minit bila mana anda dan anak kecil kesayangan anda hanya duduk sambil berkongsi cerita dan luahan bersama-sama. Perlahan-lahan anda bakal sedar bahawa tidak ada pun keperluan untuk anda duduk terpaku menatap skrin telefon pintar anda setiap masa (kecuali mungkin kalau anda seorang broker saham besar atau penukar mata wang atas talian). Bertenanglah dan berhiburlah dengan keletah si kecil manja lagi comel anda itu, sebelum dia dewasa.

Empat: “Apakah yang perlu kita syukuri pada hari ini?”

Benar, cabaran hidup pada zaman moden ini amat menyeksakan! Sebagai orang tua yang banyak tanggungan dan ditambah pula amanah serta tanggungjawab membesarkan si kecil, ada masa-masanya kita terlupa untuk berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan akan segala nikmat yang kita terima dalam hidup ini. Dan, kalau-kalau kita semua terlupa, hidup kita pada hari ini juga suatu nikmat… kerana selepas waktu hidup tentunya akan tiba pula detik untuk mati.

Maka, selagi kita masih bernafas dan bernyawa, sebagai mama dan papa yang berkualiti, kita perlu bersama-sama mensyukuri setiap hari yang kita anda bersama-sama ahli famili kita dan khasnya atas anugerah si anak kecil yang manja lagi comel itu. Banyakkan berkongsi cerita dan pengalaman hidup setiap hari walaupun semua itu hanyalah rutin kehidupan. Cerita dan pengalaman positif anda ditambah dengan kisah si kecil membawa ketenangan dalam hidup dan dapat menjadikan anda papa dan mama berkualiti.

Minta si kecil berkongsi pada setiap penghujung hari, apa-apa sahaja kisah atau cerita yang berlaku kepada dirinya pada hari tersebut. Sebelum membaca buku cerita sebelum si kecil tidur, beri ulasan dan jadikan kisah atau cerita itu suatu pengalaman positif yang dapat memberi pengajaran dan pedoman hidup yang berkesan untuk anda dan si kecil anda. Jangan biarkan alasan “sedang letih” atau “terlalu sibuk” membuat anda sefamili terlupa nikmat-nikmat kehidupan pemberian Tuhan.

Kelima: Amalkan H-T-B – Henti sejenak, Tarik nafas, Beri tindak balas

Memang ada hari-hari yang gembira lagi menenangkan dalam proses membesarkan si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun mereka. Namun, ada pula detik-detik yang akan mencabar kesabaran, menimbulkan stres malah boleh membuatkan mama dan papa memekik marah! Inilah hakikat proses membesarkan dan mendidik kanak-kanak sejak dari zaman purba lagi.

Jadi, cuba amalkan petua di atas iaitu H-T-B! Apabila si kecil anda sedang ‘buat perangai’ dan menguji tahap kesabaran anda, mulakan dengan berhenti sejenak untuk berfikir dahulu sebelum bertindak. Tindakan semasa geram atau marah, tidak lain tidak bukan hanya akan berakhir dengan penyesalan kepada diri anda atau berakhir dengan padah apabila anda bertindak di luar kawalan hingga boleh mencederakan si kecil kesayangan! Ingat, berhenti sejenak sebelum bertindak!

Kemudian, tarik nafas anda sedalam-dalam mungkin untuk dua tiga kali. Ini untuk menurunkan reaksi stres dalam sistem saraf anda. Kemudian, baru beri tindak balas yang sepatutnya untuk kelakuan negatif si kecil anda. Ketegasan memang perlu namun perlu juga diingat, kanak-kanak bukan orang dewasa ‘mini’. Banyak lagi perkara yang mereka tidak faham, terlalu banyak pengalaman hidup yang mereka belum anda. Sebelum geram atau marah, cari dahulu rasa kasih, cinta dan sayang untuk si kecil nakal anda itu.

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah