Bapa Ini Kongsi Caranya Didik Anak Soleh Dengan Bacaan Hadis Antara Waktu Maghrib-Isyak

Share

Biasakan antara waktu Maghrib dan Isyak masa bersama keluarga. Dalam tempoh inilah ibu bapa dapat luangkan masa dan sama-sama berkongsi pendapat dengan anak-anak.

Lagi mudah jika dalam sesi ini ibu bapa buat amalan bacaan hadis kerana ia bukan saja mendapat keberkatan tetapi dalam masa sama mendidik jiwa anak-anak itu menjadi insan yang baik dan dihormati.

Bagaimanapun, ramai juga yang berpendapat waktu ini tak sesuai untuk mereka bersama keluarga namun sebolehnya usahakan. Jika memang dah tak boleh, luangkan masa selepas solat Isyak sementara anak-anak belum tidur.

Perkongsian dari seorang bapa, Muttaqien Jamaludin boleh dijadikan panduan bersama untuk ibu bapa yang ingin melahirkan anak-anak yang berakhlak baik dan cintakan al-Quran.

Sebagusnya selepas Maghrib dibuat majlis bacaan al-Quran dan hadis bersama anak isteri. Bukan habiskan masa di dapur dan meja makan ataupun depan TV melihat drama atau berita. Jadikan waktu Maghrib Isya di rumah kita, madrasah taqwa. Boleh cuba makan malam pukul 6.30 petang. Bagus untuk kesihatan.

Sama-sama mendengarkan kelebihan amalan-amalan agama dari hadis dan al-Quran supaya #Nur dari al-Quran hadis masuk dalam hati kita dan anak-anak isteri kita . Menjadi ringan untuk melaksanakan amalan agama. Tahu kelebihan dan mendapat apa apabila beramal. Hati yang keras, sukar nangis depan tuhan, akan lembut akan mudah menangis depan tuhan.

Bacaan al-Quran dan hadis boleh dibacakan oleh ibu atau ayahnya atau selang seli, kemudian boleh diberikan anak-anak baca 1-2 hadis seorang. Anak yang dah besar, boleh buat giliran baca. Sementara yang lain boleh dengar. Dengar dengan adab dan jaga sunnah. Berkat buat majlis taalim ini, alhamdulilah anak-anak dapat ingat al-Fatihah dan 3Qul. Walaupun seorang tu berusia 4 tahun.

Setiap hari saya atau isteri ulangkan surah-surah lazim ini. Insyallah boleh ingat, begitu juga anak anda juga boleh ingat jika buat perkara sama. Diizinkan masa depan Insyallah akan tambah lagi beberapa surah dan ulang sehingga ingat. Lagi dan lagi.

Amalan inilah yang mak saya telah lakukan dari saya kecil hinggalah sekarang. Tanpa ketinggalan. Mungkin berkat itu, Allah telah kurniakan ibu saya anaknya 8 orang jadi hafiz termasuk seorang bongsu yang masih OTW .

Bagus dibuat antara Maghrib- Isya, atau lepas Isya. Atau waktu semua ahli keluarga boleh dengar. Sebaiknya dikawasan yang sama dan dikhaskan. Dengar dengan tawajuh. Tidak perlu title ustaz atau ustazah untuk baca taalim kerana semuanya telah diterjemah dan tulis dalam bahasa Melayu. Kita hanya perlu baca.

Selain bacaan hadis dan bacaan surah lazim yang pendek. Sebagusnya buat mesyuarat antara suami isteri dan anak-anak. Bangkitkan apa-apa agenda, esok nak ziarah beraya rumah siapa ? Apa yang kurang, apa barang perlu beli . Prestasi anak dan lain-lain. Insyallah keluarga akan semakin harmoni. Suara anak dan isteri akan lebih didengari. Tiada diktator dalam rumah. Keluarga sakinah mawaddah.

Untuk jadikan anak anak kita hafiz hafizah, mereka perlu mengadap dan baca al-Quran 7-8 jam sehari. Untuk latihan awal, cubalah dengarkan taalim 30-40minit . Supaya ada terbina kemampuan kerohanian untuk jadi hafiz dan hafizah kelak.

Lihat dan mendengar lagho 3-4jam sehari, takkan tak boleh dengar al-Quran dan hadis 30-40 minit setiap hari . Didoakan Allah jadikan hati-hati kita hidup.

Sumber: Muttaqien Jamaludin

Published by
Wan Amy