Setiap ibu bapa tentu mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Justeru itu B Navarajan, 29 menyerahkan anaknya yang dikenali dengan nama Shamala, 2 tahun untuk dijaga oleh rakannya yang menetap di Bentong. Tujuannya hanya satu untuk merawat Shamala yang mempunyai masalah untuk bercakap dan disyaki mengalami masalah autisme.
Pelawaan seorang rakan yang datang bertandang ke rumahnya di Johor Bahru untuk membantu Shamala disambut baik oleh pasangan ini. Apa yang diharapkan anaknya itu akan pulih dan dapat bercakap dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Menurut laporan sebuah akhbar, Navarajan dan pasangan terpaksa menanggung padah akibat mempercayai rakan isterinya itu kerana mendapati anak perempuan mereka cedera dipercayai didera ketika dijaga wanita terbabit selama dua bulan.
Rakan janji hantar anak ke tadika untuk pulihkan anak yang ada masalah pertuturan
Dengan meletakkan harapan tinggi terhadap rakan isterinya itu, dia menyerahkan anaknya yang dijanjikan akan dihantar ke sebuah sekolah tadika di Karak yang dapat ‘memulihkan’ anaknya.
“Saya dan isteri rasa tidak sedap hati, jadi kami bergegas ke Karak pada 11 Oktober lalu dan berjaya mengambil semula anak perempuan daripada rumah keluarga tersebut,” katanya pada akhbar Sinar Harian.
Menurutnya, selepas dipujuk wanita terbabit dan apabila mengetahui terdapat sebuah tadika yang menawarkan kemahiran tersebut di Karak, anaknya diserahkan untuk dijaga wanita terbabit.
Awalnya dapat buat video call, lama-lama rakan bagi alasan
“Pada awalnya saya dapat berhubung dengan anak dengan membuat panggilan video (video call) tapi lama-kelamaan wanita itu memberikan pelbagai alasan terutamanya ketika saya menyuarakan hasrat untuk membawa pulang semula anak ke rumah sebulan kemudian.
“Saya dan isteri rasa tidak sedap hati jadi kami bergegas ke Karak pada 11 Oktober lalu dan berjaya mengambil semula anak perempuan dari rumah keluarga tersebut,” katanya.
Ada kesan lebam pada badan, berat badan anak juga menyusut
Katanya, mereka membuat pemeriksaan terhadap anak sulungnya dan mendapati terdapat pelbagai kesan lebam di bahagian pipi, paha kiri, kemaluan selain kesan rotan di bahagian tangan dan kaki selain berat badannya semakin menyusut.
“Semasa ambil anak saya mendapati badannya berbau dan terdapat kekotoran dalam lampin pakai buang seolah-olah anak tidak mandi dalam tempoh yang lama.
“Sedih dengan melihat keadaan anak, saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Karak pada hari sama,” katanya.
Menyesal serahkan anak, Ayah mengaku silap tak siasat terlebih dahulu
Navaraajan berkata, selain menyesal kerana menyerahkan anak sulungnya kepada keluarga terbabit, dia mengakui kesilapannya kerana tidak menyiasat latar belakang keluarga terbabit.
“Saya menaruh harapan besar selepas wanita itu datang ke rumah dan menunjukkan kemesraan dengan anak saya sebelum menawarkan untuk menjaga anak saya bagi membuatkan dia dapat bercakap.
“Saya begitu menyesal atas apa yang berlaku kepada anak saya ini dan isteri saya hanya mampu menangis, bukan sahaja kesan kecederaan tetapi juga anak saya trauma dan akan menangis sekiranya sesiapa bersuara kasar dan dia hanya menunduk dan tidak berani memandang muka apabila bertemu dengan sesiapa pun,” katanya.
Menurutnya, anak sulungnya yang didakwa penjaga berkenaan cedera akibat terjatuh kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan disahkan doktor mempunyai kesan kecederaan dan lebam.
“Saya begitu sedih dengan keadaan anak saya kerana doktor mengatakan ia bukan disebabkan jatuh dan ujian darah mendapati nutrisi anak saya kosong sehingga menyebabkan dia sukar membuang air besar.
“Saya berharap ibu bapa di luar sana jadikan insiden yang menimpa anak saya sebagai pengajaran, siasat terlebih dahulu latar belakang orang yang ingin menjaga anak kita, jangan mudah percaya walaupun rakan sendiri,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Sumber/gambar: Sinar Harian & Hmetro
Jom menyertai komuniti ibu Pa&Ma Moms To Be. Anda boleh ikuti forum, ajukan soalan-soalan kepada doktor dan menggunakan pelbagai tools di sini. Sign up di https://momstobe.majalahpama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI