Penjagaan gigi susu sangat penting di usia anak mula tumbuh gigi sehinggalah mula tercabut dengan sendirinya untuk memberi laluan kepada gigi kekal. Namun apa yang berlaku hari ini ramai kanak-kanak mengalami masalah karies gigi akibat daripada beberapa faktor.
Perlu ingat masalah karies gigi ini jika tidak dirawat dari awal, ia boleh menyebabkan masalah serius kepada anak kerana mungkin boleh berlaku jangkitan kuman sehingga anak berasa sakit dan perlu dibuang semua gigi.
Melalui apa yang dikongsikan oleh Dr Azila Mohd Kasim, kes seorang pesakitnya yang baru berusia dua tahun dan perlu menjalani pembedahan membuang semua giginya boleh dijadikan peringatan buat semua ibu bapa agar menitikberatkan penjagaan gigi anak dari awal.
Anak sekecil secomel 2 tahun ini sudah dicabut semua gigi susunya. Kenapa?
Perkongsian cerita ini telah mendapat kebenaran ibunya demi memberi kesedaran dan pengajaran ibu bapa di luar sana.
Ayden sangat susah untuk diberus giginya. Gusi sering berdarah dan mengadu sakit. Makan juga agak susah, maka dietnya hanya minum susu botol. Kebiasaannya apabila melihat kaum keluarga makan, dia akan meminta disuapkan.
Tetapi setelah disuap makanan oleh ibunya, dia tidak mengunyah malah diluek keluar makanannya.
Ibu pernah membawa Ayden berjumpa doktor gigi kerajaan untuk pemeriksaan. Sebaik diperiksa, doktor gigi memberi ubat tahan sakit.
Kemuncak kejadian, Ayden menangis-nangis tidak boleh tidur 2-3 malam akibat sakit gigi. Ibu memberi ubat tahan sakit tetapi tangisannya tidak reda. Ketika itu klinik kerajaan tutup.
Maka ibu bapa membawa ke bahagian kecemasan hospital. Doktor gigi ‘oncall ‘ memberi ubat tahan sakit paracetamol.
Ayden tetap nangis kesakitan, keesokan paginya ibu bapa membawa Ayden ke klinik gigi swasta. Doktor gigi tersebut menyarankan agar dirujuk ke pakar pergigian di hospital kerajaan kerana gusi sudah mulai bengkak-bengkak.
Sebaik jumpa doktor pakar di hospital, doktor memberi ubat antibiotik untuk dihabiskan. Rawatan tidak dapat terus dijalankan kerana senarai menunggu pesakit sangat ramai.
Mereka terpaksa pulang dan menunggu panggilan dari pihak hospital. Sekiranya ada pesakit lain yang terpaksa dibatalkan prosedur di dalam bilik pembedahan, barulah giliran rawatan Ayden akan di buat.
Kena pulang tunggu lagi. Selepas 2 hari menunggu, alhamdulillah dapat panggilan daripada pihak pakar bedah mulut hospital. Doktor memaklumkan Ayden perlu menjalani cabutan semua gigi susu dibawah bius umum (General Anaesthesia).
Boleh bayangkan bagaimana perasaan ibu bapanya setelah prosedur? Melihat mulut anaknya penuh dengan jahitan dan bekas darah cabutan gigi?
Alhamdulillah..Sekarang semua sudah selesai.
Cabut semua gigi susu? YA betul.
Ini kerana Ayden mengalami Karies Awal Kanak-kanak. Kes Ayden berpunca dari minum botol susu.
APAKAH KARIES AWAL KANAK-KANAK?
Karies awal kanak-kanak adalah kerosakan gigi yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Ia melibatkan sebatang atau lebih sebatang gigi.
Ia merupakan proses pendemineralan asid terhadap gigi akibat kehadiran plak (tahi gigi) dan air liur.
Antara punca kejadian karies gigi :
1. Kekerapan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi gula tinggi seperti gula-gula, makanan manisan.
2. Kurang atau tidak memberus gigi.
3. Teknik memberus gigi yang tidak betul dan tidak berkesan untuk menanggalkan plak sisa makanan
4. Menyusu botol minuman yang mengandungi gula sukrosa.
5. Transmisi (pemindahan) bakteria daripada ibubapa / penjaga kepada anak melalui air liur.
Contoh: Ibu dan anak berkongsi sudu makanan. Kebersihan mulut ibu yang tidak memuaskan boleh menjangkitkan bakteria dari ibu kepada anak.
6. Pengambilan ubat yang mengandungi gula ( supplement tambahan)
KENAPA GIGI AYDEN ROSAK HINGGA MENYEBABKAN BENGKAK GUSI ?
Sekiranya gigi berlubang tidak dirawat, lubang ini akan menjadi lebih besar dan merebak ke bahagian saraf gigi (pulpa) dan boleh menyebabkan jangkitan dan bengkak gusi.
Sekiranya ini terjadi, rawatan yang lebih kompleks diperlukan iaitu rawatan akar ataupun cabutan bagi mengelakkan kerosakan kepada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang kanak-kanak berkenaan.
APAKAH KESAN CABUTAN AWAL GIGI SUSU?
Cabutan gigi susu yang terlalu awal boleh menyebabkan kesesakan pada rahang akibat pergerakan gigi dan akhirnya boleh menyebabkan tiada ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh.
Jika ini berlaku, gigi kekal yang tumbuh akan berlapis dan kanak-kanak ini mungkin memerlukan rawatan ortodontik contohnya braces untuk membetulkan kedudukan gigi kekal berkenaan.
BAGAIMANA MENCEGAH KARIES GIGI SUSU ?
1. Mulakan membersih gigi anak anda apabila gigi pertama sudah tumbuh. (Gosok dengan tuala pun ok)
2. Gunakan ubat gigi berflorida
• Secalit nipis umur kurang 2 tahun
• Sebesar saiz kacang ‘pea’ 2-5 tahun,
• 2 minit x 2 kali sehari
Ibubapa / penjaga perlu membantu dan pantau anak-anak bawah 8 tahun memberus gigi.
3. Ibubapa / penjaga perlu mengangkat bibir atas anak (Lift the Lip Technique), untuk memastikan tiada plak terkumpul di bahagian pinggir gusi.
4. Jangan biarkan anak anda tidur sambil menghisap botol susu. (juga susu badan)
Keluarkan botol susu dari mulut sebaik sahaja habis menyusu botol. Jangan biarkan anak mengempeng susu botol !
5. Berhenti menyusu menggunakan botol (umur 1-3 tahun) dan diganti dengan cawan.
6. Jangan kongsi sudu/garpu atau merasa makanan sebelum menyuap kepada anak anda.
7. Elakkan letak gula / manisan ke dalam botol susu.
8. Pengambilan diet yang mengandungi gula rendah dan pantau kekerapan pengambilan makanan ringan.
9. Menggunakan ubat ‘bebas gula’ sekiranya perlu makan ubat berbentuk cecair
10. Minum air masak / berkumur selepas ambil ubat cecair yang mengandungi gula. Ini sebagai bilasan mulut.
11. Pastikan pemeriksaan gigi dilakukan sebelum kanak – kanak berumur satu tahun. Seeloknya sebaik sahaja gigi susu mulai tumbuh.
Menjalani pemeriksaan gigi secara berkala (disarankan 3 – 6 bulan sekali ).
12. Jika anak anda mengalami sakit gigi atau bengkak sila dapatkan rawatan segera.
13. Sapuan Florida. (Pastikan gigi sudah di gosok)
Dapatkan sapuan florida untuk anak anda di klinik pergigian berdekatan bagi mencegah karies gigi.
Sumber: Dr. Azila Mohd Kasim
Klinik Pergigian Azila Bangi
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.