
Orang kata kalau bersalin secara pembedahan caesarean susah nak jaga. Banyak sangat pantang larang yang kena ikut. Maklumlah perut sudah kena belah berlapis-lapis jadi proses penyembuhan mengambil masa yang lama berbanding bersalin normal yang tidak mengambil masa lama untuk sembuh.
ORANG TUA-TUA JUGA SERING BERPESAN SUPAYA IBU YANG BERSALIN SECARA PEMBEDAHAN LEBIH EKSTRA PENJAGAAN DIRI SEMASA BERPANTANG. DIKATAKAN LUKA PEMBEDAHAN MENGAMBIL MASA YANG LAMA UNTUK SEMBUH WALAUPUN LUKA LUARAN KELIHATAN SUDAH SEMBUH.
Bermacam-macam tip dan petua yang dikongsi tentang penjagaan ibu bersalin caesarean. Tak salah untuk mencuba salah satu daripadanya. Mana tahu ia paling serasi dengan anda.
Pastikan tempat jahitan cepat kering terutama selepas mandi. Boleh guna pengering rambut untuk cepatkan ia kering.
Jaga pemakanan semasa berpantang. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Amal makanan sunnah seperti madu, minyak zaitun, cuka kurma atau delima, badam, kurma. Luka cepat sembuh dan bahagian dalaman juga cantik.
Amalkan makan banyak sayur sawi dan minum jus oren sunkist untuk luka cepat sembuh. Semasa pantang banyak makan sup ikan haruan. Elakkan mengangkat objek berat dalam jangka masa yang lama.
Menurut doktor, amalan minum air gamat dan pati ikan haruan yang dipercayai oleh orang tua-tua boleh mempercepatkan luka hanya boleh diminum oleh ibu selepas tempoh sebulan dan ke atas lepas bersalin itu pun dalam kuantiti yang sederhana bagi mengelakkan sebarang risiko adhesion colic.
Adhesion colic ialah keadaan di mana usus-usus melekat antara satu sama lain akibat daripada pembedahan. Tidak terkecuali bahagian rahim yang melekat dengan organ-organ dalaman.
Kepada ibu-ibu yang sedang hamil dan dijangka melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, bolehlah gunakan tip ini. Semoga luka bersalin anda cepat sembuh.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Hanya Mampu Terbaring, Kena Sawan Sampai Sembilan Kali Sehari

Ibu dan ayah manalah yang tegar melihat anak yang masih kecil menanggung sakit yang maha hebat. Namun itulah yang perlu dilalui setiap hari oleh Nurul Ashafiqah Azlan, 23, dan suami, Azhar Ali, 36. Anak mereka Nur Iman Fitriah menghidap penyakit sawan saraf yang menyebabkan dia diserang sawan antara tujuh hingga sembilan kali sehari dan perlu bergantung hidup dengan mesin bantuan oksigen.
Tiada lagi teriakan atau atau air mata menahan kesakitan yang mampu diluahkan Nur Iman Fitriah dek kerana ada tiub yang dimasukkan melalui rongga hidung terus ke usus. Dia hanya mampu terbaring sepanjang masa.
Malah, kanak-kanak ini pernah koma selama dua minggu gara-gara tidak mendapat oksigen yang cukup, selain ruang pada mulutnya yang tertutup memerlukan dia makan dan minum melalui ‘feeding tube’ yang disalurkan melalui hidung ke ususnya.
Ibu dan ayah dibuang kerja, terlalu banyak ambil cuti kecemasan
Memburukkan lagi keadaan, Nurul Ashafiqah dan Azhar dibuang kerja pada pertengahan tahun lalu memandangkan kedua-duanya terlalu banyak cuti kecemasan untuk menguruskan Nur Iman Fitriah.
Nurul Ashafiqah berkata, anaknya mula mengalami penyakit sawan kronik sejak berusia tiga bulan yang mana anak sulung daripada dua beradik itu kerap mengalami kekejangan selain muka akan kebiruan.
“Dengan pendapatan sebagai pekerja sebuah kedai serbaneka sebelum ini kami berusaha untuk mendapatkan rawatan Nur Iman. Namun, kami berdua dibuang kerja kerana selalu cuti kecemasan bagi menguruskannya.
Jual popia dan tauhu begedil untuk tampung keluarga dan kos rawatan anak
“Bagi menampung perbelanjaan hidup dan membayar kos rawatan Nur Iman, kami menjual tauhu begedil dan popia. Namun, untuk permulaan kami tidak mempunyai modal.
“Saya dan suami mengutip tin, kotak dan pelbagai barang terbuang yang boleh dijual untuk dijadikan modal perniagaan sebelum berjaya memulakan perniagaan makanan berkenaan yang mampu memperolehi pulangan antara RM500 hingga RM900 sebulan,” katanya ketika ditemui.
Nurul Ashafiqah berkata, bagaimanapun pendapatan itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian dan kos merawat Nur Iman memandangkan anaknya itu perlu minum susu khas yang memerlukan kos sebanyak kira-kira RM500 sebulan.
“Nur Iman tidak boleh makan dan minum kerana rongga mulutnya tertutup. Dia makan dan minum melalui tiub yang disalurkan melalui hidung, selain perlu minum susu khas.
“Dia hanya mampu terbaring sepanjang masa dan tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain, malah tidak lagi menangis ketika memasukkan tiub melalui hidung selain dia kini tidak boleh melihat kerana mengalami rabun kronik.
Perlu kos yang banyak untuk Nur Iman dan keperluan lain
“Setiap bulan kami juga perlu membelikan tiub yang berharga RM100 selain perlu menanggung kos pengangkutan ulang-alik ke hospital memandangkan suami hanya memiliki motosikal.
“Ketika ini sewa rumah kami juga sudah tertunggak sejak kira-kira setahun lalu,” katanya yang tinggal di Pangsapuri Seri Perdana, Paroi di Seremban.
Menurut Nurul Ashafiqah, dia ada menerima tempahan tauhu begedil daripada tiga kedai, namun tidak boleh membuat makanan itu dalam kuantiti banyak kerana peti sejuk bekunya yang bersaiz kecil.
“Saya berharap ada pihak atau agensi yang mahu membantu kami untuk menyumbang sama ada dari segi kewangan atau barangan seperti peti sejuk beku yang lebih besar bagi melebarkan perniagaan kami,” katanya.
Orang ramai atau pihak tertentu yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun BSN Nurul Ashafiqah 0511241000206952 atau boleh menghubunginya di talian 0176796954.
sumber: Hmetro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Awalnya Sebesar Biji Guli. Ketumbuhan Makin Besar, Setiap Minggu Ke Hospital.”

“Setiap kali menangis mengadu sakit, saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu memujuk anak supaya kembali tidur,” kata Noraini Aziz, 39, selepas anaknya menghidap ketumbuhan di leher sejak berusia tiga tahun.
Mulanya ingatkan bengkak biasa
Ibu tunggal itu berkata, pada awalnya ketumbuhan di leher kiri Nurul Safika Abdullah, 9, hanya sebesar guli dan bidan kampung hanya memberitahu bengkak itu disebabkan angin dalam tubuh.
Menurutnya, bagaimanapun bengkak itu kian membesar ketika Nurul Safika berusia lima tahun sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Balik Pulau dan Hospital Pulau Pinang hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan.
“Setiap enam jam saya akan memberi Safika minum ubat melalui saluran tiub mengikut nasihat doktor,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, di sini, hari ini.
Ibu kepada empat anak berusia lima hingga 14 tahun itu berkata, Nurul Safika boleh menguruskan diri seperti berjalan tanpa dipapah, mandi, menukar pakaian dan menyuap makanan sendiri.
“Tapi Safika tidak boleh terlalu lasak dan doktor mengingatkan bahawa dia berisiko mengalami kelumpuhan jika tidak dijaga dengan rapi.
“Anak saya juga tiada masalah menelan makanan. Tetapi ada makanan seperti pisang, kekacang dan sesetengah makanan laut yang jika dimakan akan menyebabkan gatal-gatal dan timbul kesan tompok merah,” katanya.
Noraini yang mengalami masalah pendengaran berkata, dia tidak bekerja dan bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan selain dibantu pelbagai pihak seperti wakil rakyat dan individu persendirian.
“Saya pernah menjadi mangsa penipuan apabila semua wang dalam akaun bank lesap sekelip mata pada 7 Julai tahun lalu.
“Saya terima panggilan meminta gambar bahagian hadapan dan belakang kad ATM selain nombor kod pengesahan transaksi (TAC). Panggilan itu sebenarnya anak sulung saya yang jawab dan perkara itu berlaku begitu pantas.
“Bagaimanapun saya bersyukur ramai sudi bantu dan saya tidak terasa berseorangan menghadapi masalah ini,” katanya.
Punca ketumbuhan masih belum diketahui
Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat, Idzham Ahmad berkata, Nurul Safika sudah menjalani pembedahan pada Februari lalu namun bengkak yang sedikit surut kembali membesar dan dia dijadual menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada Jun ini.
“Safika perlu dirujuk kepada pelbagai doktor pakar seperti pakar otak, telinga, mata dan salur darah. Selepas MRI nanti, baru doktor menetapkan bila pembedahan kali kedua boleh dilakukan.
“Punca ketumbuhan tidak diketahui dan ia tidak pula mengeluarkan air bisa atau nanah. Pihak MPKK sentiasa prihatin dengan keluarga ini dan membuat lawatan dari semasa ke semasa untuk melihat bantuan apa yang boleh dihulurkan,” katanya.
Kredit: Metro
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Ajar Teknik ‘Ganjaran Serta Merta’ Kalau Bayi Menolak Untuk Menyusu, Pasti Menjadi!

Naluri setiap ibu selepas bersalin adalah untuk menyusukan bayinya. Kerap kali saya berjumpa dengan ibu-ibu yang sangat bermotivasi sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayinya sebaik sahaja selepas kelahiran. Akan tetapi ada yang mengatakan ‘Bayi saya tidak suka pada susu saya’ ataupun ‘Bayi saya tidak mahu menyusu’.
Ini akan menyebabkan ibu merasa tertekan kerana memikirkan bahawa bayi tidak mahukannya dan tidak suka pada susunya. Ada ibu yang akan mengatakan bayi berada dalam proses bercerai susu, walhal ini jarang berlaku di kalangan bayi yang berumur kurang dari satu tahun.
Secara lazimnya, ada sebab mengapa bayi enggan menyusu walaupun di peringkat awal kelahiran dan adalah penting untuk kita cuba mengetahui apa puncanya. Apabila sesuatu punca itu diketahui, barulah masalah itu lebih mudah untuk diatasi.
Apakah punca-punca yang menyebabkan bayi enggan menyusu selepas kelahiran?
1. Ubatan yang diterima oleh ibu semasa proses bersalin seperti ubat bius dan epidural. Ubat ini akan membuat bayi mengantuk dan enggan menyusu.
2. Bayi diasingkan dari ibu sejurus selepas lahir dan tidak mendapat sentuhan kulit ke kulit.
3. Masalah di bahagian mulut bayi seperti cleft palate dan tongue tie.
4. Masalah pelekapan disebabkan oleh puting ibu yang tenggelam, rata atau terlalu besar.
5. Posisi yang tidak betul menyebabkan bayi yang tidak selesa apabila menyusu
6. Bayi yang lemah seperti bayi pramatang, hypothyroid atau kurang gula di dalam darah
Ada juga segelintir bayi yang pada peringkat awalnya dapat menyusu dengan baik, tetapi lama kelamaan selepas beberapa bulan akan menolak apabila hendak disusukan oleh ibunya. Kadang kala, bayi akan menyusu sekejap, kemudian akan berhenti dan menangis seperti tidak mahu disusukan lagi. Ini dinamakan Mogok Menyusu ataupun ‘Nursing Strike’. Ini sebenarnya adalah cara bayi untuk memberitahu ibunya yang dia mempunyai masalah tertentu. Jadi ibu perlu cuba menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini.
Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.
1. Punca dari susu ibu seperti susu kurang atau terlalu laju, rasa susu yang berubah kerana ibu mengalami Mastitis, datang haid, mengandung dan pengambilan sesetengah jenis ubat.
2. Masalah di bahagian mulut bayi seperti pertumbuhan gigi, jangkitan kulat (candida) atau ulser
3. Masalah perubatan bayi seperti infeksi di bahagian telinga, selsema atau reflux yang menyebabkan bayi tidak selesa untuk menyusu.
4. Keliru puting kerana diberi puting tiruan
5. Bayi sensitif dengan pemakaian minyak wangi atau lotion di bahagian dada ibu yang boleh mengakibatkan bayi kurang berminat untuk menyusu.
6. Bayi merasa takut dengan reaksi ibu sekiranya ibu pernah menunjukkan perasaan takut dan terkejut apabila putingnya pernah digigit oleh bayi sebelum ini
7. Proses perkembangan bayi-Bayi yang berumur enam ke sembilan bulan lebih mudah beralih perhatian dengan persekitaran atau mahukan perhatian ibu sepenuhnya
8. Rutin bayi telah terganggu kerana ibu berpindah rumah atau kembali bekerja.
9. Bayi berpisah dari ibu untuk jangkamasa panjang yang luar biasa.
Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan bayinya. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, dengan mempraktikkan beberapa teknik, kita boleh melatih bayi kita untuk kembali menyusu. Ia memerlukan sedikit masa, kesabaran dan kasih sayang. Ada bayi yang akan mengambil masa beberapa hari dan ada juga hingga satu ke dua bulan untuk mendapatkan lekapan yang terbaik.
Ingat, bayi tidak boleh dipaksa untuk menyusu kerana ia akan menyebabkan stress kepada bayi dan bayi akan lebih enggan untuk menyusu.
Percayalah! Selepas proses penyusuan menjadi lebih baik, penghasilan susu akan menjadi lebih lancar dan bayi akan mempunyai kepercayaan untuk meneruskan penyusuan dan bayi akan menjadi lebih sabar apabila melekap ataupun ‘latching’.
Apakah tips yang boleh dipraktikkan untuk membuat bayi lebih mahu untuk menyusu badan?
1. Memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit atau ‘Skin to Skin Contact’
• Sentuhan kulit ke kulit bermakna bayi diletakkan telanjang di atas dada ibu yang terdedah. Satu selimut digunakan untuk menutup kulit keduanya.
• Sentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat membantu proses penyusuan, malah ia juga dapat membantu dengan kenaikan berat badan bayi itu. Luangkan masa bersama bayi semasa penyusuan walaupun penyusuan itu tidak berjaya, dan juga selepas penyusuan.
• Ini akan membuatkan bayi lebih gembira sebelum dia melelapkan mata dan apabila bangun dari tidur. Dengan berada bersama bayi sepanjang masa, ibu akan dapat menyusu bayi sejurus selepas bayi menunjukkan ‘feeding cues’ ataupun tanda-tanda pra penyusuan seperti pembukaan mulut, tangan bayi di dalam mulutnya dan kepala menoleh ke kiri dan kanan.
2. Penyusuan yang kerap
• Tawarkan bayi payudara setiap kali ada peluang untuk memberi ‘comfort’ ataupun kepuasan kepada bayi seperti sebelum bayi tidur atau sejurus selepas bayi bangun dari tidur. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk.
• Sekiranya payudara terlalu bengkak, perah susu terlebih dahulu untuk membantu bayi melekap dengan lebih baik pada payudara.
3. Dengan memakai baju menyusu ataupun ‘Nursing Friendly’
• Pemakaian yang sesuai untuk penyusuan ataupun ‘Nursing Friendly’ akan memberi akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu dan menjimatkan masa apabila memulakan penyusuan. Bayi boleh hilang kesabaran apabila ibu mengambil masa untuk memperbetulkan baju dan pakaian dalam sebelum menyusu dan ini boleh menggangu proses penyusuan yang sempurna.
4. Dapatkan posisi dan persekitaran yang sesuai
• Dapatkan tempat kegemaran dan juga posisi penyusuan kegemaran bayi anda. Ada bayi yang gemar menyusu dalam posisi baring dan ada yang gemar dalam posisi pegangan buaian atau silang tangan. Anda boleh mencari bilik atau sudut yang bercahaya malap dan pasangkan muzik atau alunan Zikrullah yang menenangkan. Elakkan dari gangguan bunyi bising dari televisyen, radio, alat permainan atau anak yang lain. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali.
• Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri.
5. Bersabar dan hindarkan dari memberi tekanan kepada bayi untuk menyusu
• Apabila bayi seolah-olah enggan untuk menyusu dan merajuk, elakkan dari menolak kepala bayi ke payudara untuk memaksakan penyusuan. Sekiranya bayi seakan-akan sudah hilang sabar, jangan memaksa bayi untuk melekap ke payudara tetapi banyakkan sentuhan kulit ke kulit supaya bayi dan ibu akan lebih tenang. Cuba jangan tunjukkan perasaan bengang dan marah anda. Apabila bayi mula menunjuk tanda-tanda pra-penyusuan, ibu boleh mencuba lagi.
6. Tidur berhampiran dengan bayi
• Ini akan menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan bayi akan mendapat akses yang lebih mudah untuk menyusu. Tetapi ingat, berkongsi katil dengan bayi ada risiko untuk ‘SIDS’ ataupun Sindrom Kematian Bayi Mengejut. Adalah lebih baik untuk bayi tidur dalam kot atau katil bayi dalam bilik yang sama dengan ibu.
• Apabila bayi tidur di dalam katilnya sendiri tetapi di dalam bilik yang sama dengan ibu, ibu akan dapat menyusu bayi dengan segera iaitu sejurus sahaja selepas bayi menunjukkan tanda para penyusuan atau ‘feeding cues’ dan lebih mudah untuk menyusu pada waktu malam.
• Jangan beri bayi anda puting tiruan.
7. Teknik ‘ Ganjaran serta merta’ ataupun ‘Instant Reward’
• Teknik ini adalah untuk melatih bayi untuk mempelajari bahawa lekapan ke payudara adalah cara untuk mendapatkan susu. Ibu boleh menggunakan mana-mana cara yang sesuai.
i. Perah susu secara manual dengan tangan atau dengan pam sehingga merasa ‘let down’ sebelum bayi melekap pada payudara
ii. Jika ibu menggunakan Pelindung Puting ataupun ‘Nipple Shield’, isikan di bahagian puting dengan susu sebelum bayi melekap
iii. Titiskan susu ibu pada puting ibu di sudut mulut bayi semasa bayi sedang melekap dengan menggunakan dropper atau picagari
iv. Dengan menggunakan ‘Supplemental Nursing System (SNS)’
Sekiranya bayi masih enggan menyusu, cuba beri bayi susu ibu yang diperah (EBM ) dengan menggunakan cawan yang kecil atau sudu. Kemudian, bawalah bayi berjumpa dengan doktor untuk memastikan bayi anda sihat.
Adalah penting untuk membawa bayi yang tidak sihat berjumpa dengan doktor bagi dapatkan juga rawatan yang sesuai untuk bayi dan posisi penyusuan yang terbaik untuk bayi yang sedang berada dalam kesakitan.
Ibu juga perlu sentiasa memerah susu bagi memastikan bekalan susu tidak terputus selagi bayi masih enggan untuk menyusu.
Saya sering mengingatkan ibu-ibu bahawa sifat bayi untuk enggan menyusu ini adalah sementara sahaja. Dengan mengenal pasti punca mengapa bayi enggan menyusu dan sekiranya ibu juga berkomited untuk meneruskan penyusuan dan juga mendapat sokongan dari ahli keluarga, InsyaAllah ibu akan berjaya.
Sumber:
Dr Tengku Putri Zainab
Pakar Pediatrik
MBBS (IMU), MRCPCH (UK)
Sunway Specialist Centre Damansara
Klinik Pakar Kanak-Kanak Dr Putri, Sunway Specialist Centre Damansara
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI