Pilunya apabila bayi 6 bulan tidak lagi merasa pelukan si ayah. Malah empat adik beradik yang lain juga tidak akan lagi merasa kasih sayang seorang bapa apabila ayah mereka telah terkorban semasa dalam tugas.
Isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, sebak dan reda dengan pemergian suaminya dalam insiden di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu di Sabah pagi semalam. Ia satu kehilangan yang tidak disangka-sangka.
SEMPAT TATAP FOTO TERAKHIR SUAMI
Nour Shafinar, 31 sempat menatap foto yang dihantar buat kali terakhir oleh suami yang dirakam ketika sedang bersarapan sebelum sesi demonstrasi berlangsung di kem tentera itu.
“Suami pergi ke sana pada dijangka balik esok (hari ini). Dia hantar WhatsApp kepada saya gambar dia tengah makan dan bersiap sedia untuk pergi latihan. Waktu tu saya tidak dapat bercakap lama dengannya.
TERAKHIR BERTEMU SEMINGGU LALU
Menurut Nour, pertemuan terakhir dengan suami tercinta adalah semasa dia menghantar Allahyarham, Mejar Zahir ke lapangan terbang untuk tugasan ini.
“Saya terima berita ini daripada kawan-kawan, mereka sahkan arwah telah meninggal dunia. Kali terakhir saya berjumpa dengannya lebih kurang seminggu yang lalu sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang untuk ke Sabah,” luahnya Nour Shafinar.
PERGINYA TERLALU AWAL, ANAK BARU 6 BULAN
Menurut Nourshafinar, dalam keadaan anaknya yang baru berusia enam bulan, dia merasakan ini dugaan berat buat mereka.
“Anak kami baru saja berusia enam bulan, saya sangat-sangat tak sangka bapanya pergi terlalu awal,” luahnya.
Artikel berkaitan: Papa Boleh Hidup Balik? Sayunya Pertanyaan Anak Allahyarham Mejar Zahir Hadapi Pemergian Ayah
SUAMI, BAPA PENYAYANG & PERFECT UNTUK KAMI
Allahyarham meninggalkan Nourshafinar dengan seorang anak lelaki dan empat orang anak hasil daripada perkahwinan sebelum ini.
“Saya redha dengan pemergian dia dalam pakaian dan uniform kerja dia. Seorang bapa yang sangat penyayang memang perfect untuk anak-anak dan isteri, sepanjang perkahwinan saya memang tidak satu pun salah daripada dia.” kata Nour menggambarkan keperibadian Allahyarham suaminya.
PENEMBAK TEPAT & MINAT KETENTERAAN
Nour Shafinar turut menceritakan tentang minat Allahyarham dalam ketenteraan dan turut menyuarakan apa tindakan selanjutnya daripada pihak tentera selepas kejadian ini.
“Saya hendak tahu juga apa tindakan seterusnya yang pihak tentera akan buat, tapi saya tahu Allahyarham meninggal dunia ketika dalam latihan sebab dalam kerja dia. Suami saya memang minat tentera dia juga seorang sharp shooter, minat dia memang menembak dalam ketenteraan,” katanya.
MENINGGAL DUNIA SELEPAS TERTEMBAK
Allahyarham yang merupakan seorang pegawai komando dari 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) meninggal dunia selepas dikatakan terkena tembakan senjata jenis M4 semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi.
Menurut sumber, Allahyarham Mejar Zahir Armaya yang merupakan anak pelakon, AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.30 pagi.
Katanya, Allahyarham bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dikatakan terkena tembakan dalam demonstrasi melibatkan pasukan khas itu sempena paluan berundur Markas 5 Briged.
Sumber: utusan.com.my & Astro Awani