Usianya belum sampai setahun tapi perlu menanggung derita bila terpaksa bergantung hidup dengan suntikan ‘Octreotide’ seumur hidup selepas disahkan menghidap penyakit ‘Congenital Hyperinsulinism’.
Bayi berusia 11 bulan, Nur Shazia Airis Mohd Syazwan, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir selepas organ pankreasnya menghasilkan hormon insulin berlebihan, menyebabkannya mengalami kekurangan paras gula dalam badan yang teruk (Hipoglisemia).
Ibu kepada Nur Shazia Airis, Siti Noradila Mohd Nurdin, 26, berkata selepas lima jam dilahirkan di Hospital Machang, anak bongsu daripada dua beradik itu kelihatan kebiruan akibat tidak dapat bernafas, memaksa Nur Shazia Airis dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
“Saya melahirkan Nur Shazia di Hospital Machang tetapi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mengalami kebiruan dan menerima rawatan selama tiga bulan di wad.
“Doktor mengesyaki ia berpunca daripada masalah organ pankreas Nur Shazia Airis yang menghasilkan hormon insulin berlebihan menyebabkan anak saya dimasukkan ke wad selama hampir dua bulan sebelum dibenarkan pulang,”
“Bagi mengesahkan penyakit yang dihidapi HUSM juga telah menghantar DNA anak saya ke hospital luar negara dan selepas beberapa bulan Nur Shazia Airis disahkan menghidap penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Merbau Chondong, Pulai Chondong, Kelantan.
Perlu disuntik setiap enam jam dan minum susu dua jam sekali
Siti Noradila, yang juga suri rumah, berkata, anaknya terpaksa bergantung kepada suntikan ubat ‘Octreotide’ sebanyak empat kali sehari bagi mengawal paras gula dalam badan dan ini melibatkan kos yang tinggi.
“Setiap enam jam sekali saya akan menyuntik Nur Shazia Airis dengan bertukar-tukar tempat suntikan iaitu di bahagian kaki dan bahunya untuk mengurangkan rasa sakit di tempat yang sama, malah Nur Shazia Airis juga terpaksa minum susu melalui tiub di hidungnya dua jam sekali mengikut sukatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan gula dalam darahnya turun terlalu rendah.
“Jika lambat disuntik badannya akan lemah dan tidak bermaya. Jadi saya perlu pastikan kandungan gula dalam badannya stabil mengikut keperluan. Menurut doktor jika berlaku kekurangan gula yang maksimum dia boleh menghidap sawan.
Penyakit Shazia satu dalam sejuta , perlu kos rawatan yang tinggi di luar negara
“Doktor kata suntikan ‘Octreotide’ bersifat sementara, untuk sembuh doktor mengesyorkan Nur Syazia Airis melakukan pembedahan ‘laparoscopic pankreas’ namun ini hanya boleh dilakukan di hospital luar negara yang memerlukan kos sangat tinggi,” katanya.
Menurutnya lagi, doktor memaklumkan penyakit yang dialami Nur Shazia adalah satu dalam sejuta.
Siti Noradila memberitahu pihak hospital sudah mengambil sampel darahnya bersama suami dan anak sulung untuk menjalani ujian di luar negara bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai penyakit Nur Shazia namun masih belum menerima sebarang makluman sejak enam bulan lalu.
“Ia sangat penting untuk kami tahu jenis penyakit yang dialami selain membantu memudahkan kami menjalani rawatan.
“Buat masa sekarang, doktor minta kami beri Nur Shazia ubat untuk kawal gula, selain cadangan kaedah pembedahan Laparoscopic Pancreas di China atau Eropah,” katanya.
Siti Noradila dan keluarganya perlu memperuntukkan RM1,000 sebulan bagi keperluan suntikan Nur Shazia Airis selain susu dan lampin pakai buang.
“Suami saya, Mohd Syazwan Mat Yaakub, 30, seorang penjawat awam dengan pendapatan bulanan hanya RM1,700, jadi kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat demi kelangsungan hidup empat beranak,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat 03030007478724 atas nama Siti Noradila Mohd Nurdin atau menghubunginya dalam talian 0145307190.
Kecil-kecil dah diuji dengan penyakit. Moga Shazia terus diberikan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Bagi yang ingin membantu, hulurlah walau sedikit moga dapat ringankan beban keluarga yang memerlukan ini.
sumber: Sinar Harian & Bernama
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI