Siapa sangka anak yang baru berusia 5 tahun, aktif dan lasak tiba-tiba disahkan menghidap penyakit buah pinggang. Akibatnya, tatkala anak-anak lain seusianya bermain gembira, lain pula dengan Muhammad Hanif yang perlu menjalani Dialisis Peritoneal Automatik (APD).

Menurut Norhayani Nayan, 39 dan suami, Ahmad Hafiez Garigis, 41 penyakit yang dihidapi oleh anak keempatnya itu tidak dapat dikesan daripada awal. Bermula dengan demam, Hanif seterusnya dikesan mempunyai masalah dengan buah pinggang.

Baru Usia 5 Tahun, Hanif Disahkan Menghidap Penyakit Buah Pinggang. Jalani Dialisis Air 10 Jam Semalam

Lasak & Aktif

Menurut Norhayani atau mesra dipanggil Yani, penyakit Hanif itu tidak dapat dikesan daripada awal.

“ Hanif atau kami panggil Anip, seorang anak yang lasak dan aktif walau pun sejak kecil dia menghidap asma, tapi terkawal. Cuma, dalam tempoh dua ke tiga bulan sebelum disahkan sakit buah pinggang, dia kerap jatuh sakit.

“ Pada satu hari, dia demam dan saya dan suami bawa dia ke hospital Alor Gajah. Doktor ambil ujian darah dan didapati HB dia rendah iaitu 5. Doktor kemudian pindahkan Anip ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. Di sana, sekali lagi dia menjalani ujian darah dan kali ini keputusannya lebih mengejutkan.

IKLAN

“ Doktor beritahu kami, kretinen dan ureanya tinggi dan keesokan hari Anip menjalani ujian ultrasound dan doktor sahkan dia ada masalah buah pinggang.

Baru Usia 5 Tahun, Hanif Disahkan Menghidap Penyakit Buah Pinggang. Jalani Dialisis Air 10 Jam Semalam
Hanif ketika menjalani rawatan dialisis air selama 10 jam

Terdapat cyst di dalam buah pinggang kiri, iaitu polycystic left kidney. Cyst sudah penuh dalam buah pinggang kiri dia tapi buah pinggang kanan masih ok. Memandangkan Hospital Melaka tak ada pakar nefrologi kanak-kanak, doktor cadangkan Anip dihantar ke Hospital Tunku Jaafar, Seremban atau HKL. Akhirnya saya memilih Hospital Tunku Jaafar kerana lebih dekat dengan tempat tinggal saya di Melaka,” ujar Yani memulakan bicaranya.

Yani juga mengalami masalah batu di luar buah pinggang namun keadaannya tidak serius. Manakala suami dan anak-anak yang lain sihat. Empat lagi anaknya ialah Nurul Liyana, 14, Hafizul Rahman, 13, Mohammad Afiq Fitri, 7, Nordiyana Hani, 3.

Dialisis waktu tidur

Dialisis Peritoneal Automatik (APD) ialah mesin dialisis waktu tidur, 10 jam sepanjang malam. Di sini, pertukaran atau kitaran larutan dialisis dilakukan oleh mesin semasa tidur. Sebelum tidur, kateter akan disambungkan kepada mesin APD yang diletakkan berhampiran katil. Menurut Yani, kesihatan Anip semakin baik selepas menjalani rawatan ini.

IKLAN

Yani bersyukur kerana semua kos ditanggung oleh Hospital Tunku Jaafar Seremban.  Anip bertuah kerana doktor nefrologi buah pinggang kanak-kanak iaitu Dr. Caroline dan Dr. Lee mencadangkan Anip untuk menggunakan mesin APD.

Mulanya Sukar Tapi Kini Reda

Yani mengakui, agak sukar pada mulanya untuk terima keadaan Anip.

“ Tak ada ibu bapa yang boleh terima anak mereka menghidap penyakit kronik secara tiba-tiba. Tapi lama-kelamaan saya reda dengan keadaan Anip. Apabila lihat dia di dalam wad berseorangan, luluh hati saya. Hospital bagaikan rumah kedua, anak-anak lain ditinggalkan di rumah kerana saya perlu menjaga Anip di wad. Mujur ada mak dan ayah serta ahli keluarga yang lain yang jaga anak-anak lain di rumah.

Baru Usia 5 Tahun, Hanif Disahkan Menghidap Penyakit Buah Pinggang. Jalani Dialisis Air 10 Jam Semalam

IKLAN

“ Setelah menjalani rawatan APD, Anip jadi lebih sihat dan aktif serta menjalani hidup seperti biasa. Cuma dia kena elakkan yang berkaitan air, contohnya mandi kolam. Kawasan yang dipasang dengan tiub di perut tak boleh terkena air untuk menggelakkan risiko jangkitan.

Lebih Sensitif Sejak Sakit

Menurut Yani, emosi Anip lebih sensitif sejak dia sakit. Disebabkan dia seorang yang aktif, Yani juga perlu mengawasi Anip supaya adik beradik yg lain tidak tersentuh kawasan perut ketika bermain. Kebersihan tempat rawatan juga perlu dititikberatkan supaya mengurangkan risiko jangkitan.

“ Selain daripada itu, saya kena memantau ubat-ubatan yang perlu diambil, juga pengambilan jumlah air harian iaitu 700ml. Banyak juga yang Anip perlu pantang terutama makanan bergaram dan yang tinggi fosfat.

“ Dengan melihat orang yang lebih susah daripada saya, telah memotivasikan diri supaya lebih tabah dan kuat supaya Anip lebih sihat serta boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain,” akhiri Yani menutup perbualan.

sumber: Mingguan Wanita

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI