Batuk Kerap Dalam Seminit, Nafas Laju Mungkin Jangkitan Kuman Di Paru-Paru Anak

Share

Bagi yang baru menjadi ibu bapa, ia mungkin sukar bagi anda untuk mengesan ataupun mengetahui sama ada anak anda menghadapi jangkitan kuman paru-paru ataupun tidak.

Di sini ada beberapa cara mudah untuk mengenal pasti tanda-tanda sama ada anak anda mengalami jangkitan kuman paru-paru ataupun tidak

Batuk yang teruk

Batuk yang teruk ini boleh digambarkan apabila dia kerap batuk dalam masa seminit.

Tetapi jika dia mula batuk sehingga mana mukanya jadi merah ataupun biru, maka ini adalah tanda berbahaya dan anda wajib membawa anak anda terus berjumpa doktor.

Demam yang tinggi

Kebanyakan jangkitan paru-paru yang teruk mempunyai demam yang suhunya lebih daripada 38.5 darjah celcius.

Bernafas laju

Kadar pernafasan yang normal adalah berbeza-beza bergantung kepada umur kanak-kanak.

Sebagai contoh:
Baru lahir – 1 bulan: 25-50 kali pernafasan seminit
1 bulan – 3 bulan: 25-45 kali pernafasan seminit
3 bulan – 1 tahun: 20-40 kali pernafasan seminit
1 tahun – 1 tahun setengah: 20-35 kali pernafasan seminit
1 tahun setengah – 7 tahun: 20-35 kali pernafasan seminit

Jadi, jika anak anda bernafas melebihi tahap maksimum tersebut, maka ia dikira sebagai bernafas dengan laju.

Sebaiknya jangan ikut sangat dengan nombor ini. Jika anda rasa nafas anak anda laju, bawa sahaja berjumpa dengan doktor. Nanti doktor akan tentukan sama ada dia bernafas laju atau tidak.

Perut ke dalam bila menarik nafas

Keadaan ini dipanggil sebagai ‘Subcostal recession’ dimana bahagian atas abdomen kelihatan ditarik ke dalam ketika kanak-kanak tersebut menarik nafas.

Selain dari itu, ada juga petunjuk lain iaitu suprasternal recession dan supraclavicular recession.

Suprasternal recession adalah bahagian tengah leher akan kelihatan ke dalam ketika pesakit tersebut menarik nafas.

Supraclavicular recession pula adalah bahagian atas tulang selangka akan kelihatan ditarik ke dalam apabila pesakit menarik nafas.

Semua tanda-tanda ini menunjukkan kanak-kanak tersebut sedang mengalami masalah pernafasan dan perlu dibawa ke klinik ataupun hospital secepat mungkin

Kurang makan dan minum

Kanak-kanak yang mengalami sesak nafas selalunya akan kurang makan dan minum. Ini disebabkan tenaga mereka banyak digunakan untuk bernafas dengan lebih laju.

Mereka tidak sempat untuk bernafas dan minum air serentak.

Bahkan jika pesakit bernafas terlalu laju, doktor di hospital selalunya akan puasakan kanak-kanak ataupun bayi terlebih dahulu.

Ini kerana pernafasan yang laju, boleh menyebabkan air ataupun makanan termasuk dalam paru-paru disebabkan pesakit akan bernafas sekali.

Kesimpulan

Jika anak anda mengalami simptom-simptom ini, sila bawa mereka berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

 

sumber: thediagnosa

Published by
Wan Amalia Mohd Daud