Batuk Tanpa Henti Tiga Bulan, Ezzaty Abdullah Masuk Hospital Ada Masalah Bahagian Paru-Paru

Share

Seorang ibu atau isteri umpama tunggak sebuah keluarga. Jika ibu jatuh sakit maka ia sedikit sebanyak pasti akan memberi impak pada urusan keluarga.

Justeru wanita yang bergelar ibu perlu mengutamakan kesihatan diri dalam kesibukan melunaskan tanggungjawab menguruskan anak-anak dan suami. Jika mengalami simptom-simptom tidak sihat, segeralah ke klinik atau hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Pelakon Ezzaty Abdullah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, Selangor pada Isnin lalu bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan selepas mengalami batuk sejak tiga bulan lalu.

Berkongsi perkara tersebut, suami kepada Ezzaty iaitu Azwan Kombos memaklumkan doktor telah menjalankan pemeriksaan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada bahagian paru-paru dan masih menunggu jawapan pakar bagi mengetahui punca sebenar masalah tersebut.

“Sebelum ini pernah lakukan pemeriksaan X-ray dan diberitahu ada masalah di bahagian paru-paru.Hari Selasa doktor telah lakukan ujian CT scan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“Sebenarnya sudah hampir tiga bulan dia mengalami batuk tanpa henti. Tiada sebarang masalah lain seperti demam atau sebagainya namun disebabkan komitmen kerja barulah sekarang dapat berjumpa pakar.

“Memang kasihan melihat dia menahan sakit sehingga menggangu aktiviti harian,” katanya ketika memberitahu mStar.

Terdahulu, Ezzaty berkongsi foto dia berada di hospital berkenaan menerusi hantaran di Instastory miliknya.

Sementara itu, Azwan memaklumkan isterinya itu pernah mengalami masalah sama ketika masih kecil dahulu, malah lebih teruk apabila setahun mengalami batuk.

“Dia pernah beritahu mengalami masalah sama ketika kecil dahulu. Tak sangka pula pada usia sekarang ini ia terjadi lagi. Kami ingatkan hanya batuk biasa.

“Saya ada menemani dia ketika melakukan ujian CT scan. Keadaannya memang agak lemah. Pihak hospital juga mendapati terdapat lendir pada bahagian paru-paru dan telah dikeluarkan.

“Buat masa sekarang, dia diberikan rawatan antibiotik. Untuk rawatan selanjutnya bergantung kepada keputusan CT scan yang akan dikeluarkan nanti,” ujarnya.

Apa pun kita menantikan keputusan pemeriksaan CT scan kelak dan didoakan semoga Ezzaty dipermudah urusan dan dikurniakan kesembuhan.

Sumber: mStar

Sementara itu menurut Dr Nur Syuhada Zulkifli seperti dipetik di doctoroncall.com gejala batuk berpanjangan yang dialami oleh seseorang boleh disebabkan:

  • Penyakit asma – asma kerap menyerang pada waktu malam
  • Asid refluks (gastrik) – asid perut yang memasuki saluran udara boleh menyebabkan refleks batuk berpanjangan
  • Penyakit tibi – tibi kadang-kala sukar untuk ditemui dalam x-ray
  • Jangkitan saluran udara oleh virus disertai dengan kesan jerebu

Dr Nur Syuhada menyarankan pesakit supaya merujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat.

Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di https://toko.ideaktiv.com/product/ya-aku-mampu-susukan-anak/

Untuk lebih banyak info terkini jom klik di SINI 

Published by
Hasnita Sawal