Bawang Putih Baik Untuk Ibu Berpantang. Kalau Takut Makan Mentah, Cuba Yang Bakar

Share

Bawang putih memang kaya dengan nutrien. Tidak hairanlah masyarakat Barat menggelarkannya sebagai superfood. Namun, jangan diambil berlebihan.  Dua hingga empat ulas setiap hari sudah memadai.

Sama seperti herba yang lain, cara pengambilan bawang putih yang terbaik adalah dengan memakannya secara mentah. Mungkin sesetengah orang berasa payah untuk menelan bawang putih yang belum dimasak disebabkan oleh baunya yang kurang menyenangkan.

Sebenarnya senang saja untuk menghilangkan bau bawang putih, caranya adalah dengan meminum air lemon ataupun mengunyah daun pudina.

Selain dimakan mentah, anda boleh cuba bawang putih bakar. Rasanya lebih sedap, manis dan lebih senang dimakan. Apabila mahu dibakar, jangan bakar terlalu lama. Lebih kurang 10 minit sudah mencukupi.

Dalam pada itu, mari ketahui khasiat yang bakal anda peroleh dengan memakan bawang putih sama ada mentah atau dibakar.

Mengurangkan angin

Untuk mengeluarkan angin dalam badan, anda sangat digalakkan untuk makan bawang putih bersama hidangan makanan berpantang.

Bakar dua ulas bawang putih di atas api dapur bersama dengan kulitnya sekali. Setelah nampak garing, buang kulit dan makanlah bawang putih tersebut. Tidak lama kemudian, hasilnya akan dapat dirasai.

Menambahkan tenaga fizikal

Keletihan yang anda alami selepas melalui proses bersalin, dapat diatasi dengan mengamalkan bawang putih. Jika diamalkan secara konsisten semasa tempoh berpantang ini, ia mampu menambahkan tenaga fizikal, daya kekuatan dan stamina anda.

Mengawal berat badan

Bawang putih mampu meningkatkan tahap metabolisme badan serta menghentikan penghasilan sel-sel lemak dalam badan. Campuran bawang putih, madu dan cuka juga elok diminum selalu kerana ia sangat berkesan untuk membuang lemak daripada badan.

Mengatasi masalah rambut gugur

Istimewanya, komponen bersifat sulfur allicin dalam bawang putih boleh membantu mengatasi masalah rambut gugur. Jadi, dapatlah anda mengelakkan diri daripada mengalami masalah ini selepas bersalin.

Sebelum tidur, ambil beberapa ulas bawang putih dan lumatkan. Sapu pada kulit kepala, terutama pada bahagian rambut banyak gugur. Untuk meningkatkan lagi keberkesanannya, campurkan dengan sedikit minyak kelapa sebelum menyapu ke rambut. Keesokan harinya, syampu dan bilas rambut dengan sempurna.

Kurangkan tekanan

Serotonin merupakan suatu bahan kimia yang dihasilkan dalam badan dan ia amat penting dalam pengawalan emosi dan tingkah laku seseorang. Kadar serotonin yang tinggi di dalam otak manusia akan memberi kesan-kesan kestabilan emosi seperti perasaan tenang, mudah tidur dan dapat mengatasi perasaan murung.

Penyelidikan kumpulan saintis dari Perancis telah mendapati bahawa vitamin B-6 yang terkandung di dalam bawang putih dapat membantu meningkatkan dan melancarkan penghasilan dan pelepasan serotonin dalam badan.

Published by
Intan Jastina