Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harini dengan dukacita telah memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio di Malaysia, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Kes melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah yang telah mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital.

Vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1

Dia telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember 2019. Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina. Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1).

Pesakit dalam keadaan stabil

Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan. Memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media adalah dipohon untuk tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit tersebut.

IKLAN

Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang telah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV). Virus yang dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95%. Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti tersebut, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif. Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut (protected from infection).

Ramai yang tidak mengambil vaksin

Sehingga 5 Disember 2019, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah ini mendapati 23 daripada 199 orang (11.6%) yang berumur di antara dua (2) bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio. Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio. Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa kesemua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

IKLAN
Bayi 3 Bulan Dikejarkan Ke ICU, Kes Pertama Setelah 27 Tahun Malaysia Bebas Polio
keadaan kaki pesakit polio

Aktiviti pencarian kes acute flaccid paralysis (AFP), proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga telah dijalankan. Sehingga 5 Disember 2019, seramai 646 orang telah diperiksa, dan tiada orang bergejala AFP dikesan. Siasatan masih diteruskan di kawasan tersebut, termasuk pengambilan sampel najis dari kontak rapat kanak-kanak itu dan sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio.

Pemberian vaksin polia diteruskan

Bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko. Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95%. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah pencegahan juga telah diberikan, termasuk penggunaan tandas yang sanitari dan penjagaan kebersihan diri termasuk tangan. Perlu diingatkan bahawa penyakit Polio, seperti banyak penyakit yang lain, ditularkan melalui “fecal oral route”. Penduduk juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak KKM sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian yang tidak mendapatkan rawatan.

IKLAN

Untuk makluman, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisyhtiharkan bebas daripada penyakit polio. Kejayaan pembasmian penyakit ini adalah berikutan pencegahan melalui vaksin polio yang diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini. Program ini dimantapkan lagi dengan pertukaran cara pemberian vaksin daripada secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV) kepada secara suntikan (Inactivated Polio Vaccine – IPV yang menggunakan virus polio yang telah dimatikan) pada tahun 2008. Langkah pertukaran ini dibuat bagi menghindari risiko berlakunya circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV). Bagi mencegah penyakit polio daripada berlaku, liputan imunisasi harus sentiasa melebihi 95%.

Bagi mengekalkan negara terus bebas dari penyakit polio, KKM melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah dan fasiliti kesihatan hendaklah melaksanakan aktiviti berikut:

-Memastikan pemantauan dan pengesanan AFP di semua fasiliti kesihatan diperkukuhkan;
-Memperluaskan pemantauan sampel persekitaran di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang sedang mengalami polio.
-Memastikan liputan imunisasi polio melebihi 95% di semua lokaliti di Malaysia pada setiap masa. Bagi negeri Sabah yang paling hampir dengan negara Filipina, liputan imunisasi yang tinggi adalah penting untuk melindungi kanak-kanak dari jangkitan polio;
-Meningkatkan aktiviti pemantauan kes cicir imunisasi;
-Meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan kepentingan imunisasi bagi mencegah polio, serta menangani pengaruh antivaksin.
-Meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan mengenai kebersihan persekitaran dan juga penjagaan kebersihan diri dan tangan (personal and hand hygiene).

Bayi 3 Bulan Dikejarkan Ke ICU, Kes Pertama Setelah 27 Tahun Malaysia Bebas Polio
Pesakit polio

Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap. Kanak-kanak yang cicir imunisasi boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan imunisasi. Di samping itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan.

Sumber:KPKKESIHATAN

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI