Bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas mengalami sesak nafas akibat kain lampin berada di muka ketika berada di dalam buaian di rumah pengasuhnya di Taman Cempaka, di sini, semalam (18 Ogos)
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada jam 6.30 petang, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang menerima pesakit bayi berusia empat bulan.
Menurutnya, pesakit dibawa dari klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang.
“Semasa tiba di Hospital Ampang, pesakit sudah tidak bernyawa.
“Bantuan kecemasan diberikan tetapi mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ads
Mohamad Farouk berkata, bayi terbabit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang.
“Punca kematian masih dalam siasatan.
“Susulan itu, pada jam 10.30 malam tadi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pengasuh bayi itu,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah atau dadah.
Ads
“Keterangan awal suspek memaklumkan mangsa sesak nafas kerana kain lampin dalam buai menutup muka.
“Ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga,” katanya.
Ads
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini untuk direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.
Video lawak RM100 yang tular dan menjadi trend di Tik Tok kini turut memberi kesan kepada pasangan sebagai bahan gurauan suami isteri.
Pempengaruh, Bengah juga turut sama berkongsi kisah RM100 bila mana dia turut berdepan hal sama.
Bengah pada mulanya menyangkakan isterinya sekadar mahu bergurau ikut trend, namun rupanya telahannya salah sama sekali bila mana isteri kesayangannya meminta wang untuk membeli mainan buat putera kesayangan mereka.
Apa yang menarik perhatian pastinya sikap pemurah abang dan suami penyayang ini yang turut memberi lebih wang saku. Bukan RM100 tapi lebih. Memang terbaik.
“Ingatkan isteri nak buat lawak pinjam RM100 tu? Rupanya isteri Bengah nak shopping beli mainan anak. Takpe bagi lebih.
“Isteri Bengah ni, kalau dia nak apa-apa Bengah ajar jangan guna perkataan ‘PINJAM’ dekat suami. MINTAK JE!
“Kesian isteri ni, gaji tak tetap sebagai suri rumah sepenuh masa forever ever. Kalau tak dapat apa yang dia nak merajuk muka penuh macam bulan,” tulisnya berkongsi menerusi Instagramnya.
Malah ujar Bengah lagi, dia tidak mahu terlalu berkira dengan isteri kerana isteri kesayangannya itu terlalu banyak tanggungjawabnya menguruskan rumahtangga, anak dan adik kesayangannya.
“Bengah susah berkira dengan isteri. Tahu penat lelah isteri menjaga anak, sediakan makanan dan pakaian suami, urus mengemas rumah. Dan dia juga pandai main peranan jaga hati adik istimewa Bengah.
“Tak sempurna kalau tak bergaduh. Mesti la ada gaduh. Tapi bukan gaduh yang melarat. Gaduh penat dengan kerja seharian.
“Bengah pun ada cuba buat lawak PINJAM RM100 kat isteri. Memang dapat RM100 tu tapi kena bagi semula empat angka 😂 begitulah kehidupan suami ❤️ isteri,” tulisnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, sikap suami, ayah dan abang yang penyayang ini pastinya dipuji ramai.
Penyanyi, Shila Amzah dan suaminya, Ubai dipuji ramai kerana dilihat cukup positif bila mana anak pertama Shila disahkan oleh doktor menghidap autisme tahap satu.
Menerusi Instagramnya, Shila memuat naik satu video selepas doktor mengesahkan masalah yang dihadapi anak sulungnya, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Shila meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat merancang proses seterusnya bagi mendidik serta memastikan anaknya mendapat terapi yang sebaiknya.
“Alhamdulillah, doakan yang kedepan untuk @sethuwais dan keluarga kami ❤️,” tulisnya menerusi kapsyen.
Tambah Shila lagi, dia pada awalnya sememangnya sudah menjangkakan anaknya mengalami masalah autism atau ADHD.
“Dia berada di tahap satu untuk autisme dan doktor cadangkan supaya kami meneruskan terapi buat Seth.
“Seth sekarang sedang menjalani terapi ABA dan boleh meneruskan persekolahan di mana-mana sekolah yang menerima anak autism.
“Bila dah confirm senanglah nak rancang cara dan terapi bagaimana untuk Seth.
“Doakan semoga Seth membesar dengan baik, belajar dengan baik dan doakan kami juga untuk mendidik Seth dengan baik,” tambah Shila lagi.
Menerusi video yang dikongsikan, baik Shila mahupun Ubai, keduanya dilihat cukup positif menerima keputusan doktor malah turut sama menerima tindakbalas yang baik daripada anak Shila sendiri, Seth.
Tidak hairanlah Shila dipuji ramai malah wargamaya turut mendoakan agar kesihatan Seth dan perjalanan terapinya bertambah baik dari semasa ke semasa.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas hampir lapan jam berada dalam kenderaan di Ara Damansara, di sini, selepas ibunya menyangka sudah menghantar mangsa ke tadika semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.40 petang menyatakan mangsa tidak sedarkan diri di rumah di Ara Damansara, di sini.
Menurut laporan Berita Harian, hasil siasatan lanjut mendapati pada jam 7 pagi, ibu mangsa berumur 30-an menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran dan seterusnya ke tadika berdekatan untuk menghantar mangsa.
“Sampai di tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.
“Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, bapa mangsa membuat panggilan MERS 999, memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka, lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak di bawah jagaan masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
Cuti sekolah ini pasti ada yang mengambil kesempatan nak khatankan anak. Memang tak dinafikan kaedah sekarang buatkan luka pada tempat khatan sembuh dengan cepat, tapi untuk ibu yang pertama kali nak jaga anak berkhatan, tentu ada gusarnya.