Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari katil di rumah pengasuhnya di Jalan Pasir Pinji, kelmarin.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertonggeng dalam sebuah tong sampah di tepi katil berkenaan oleh pengasuhnya sekitar jam 6.15 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian mangsa ditinggalkan tidur di katil itu dengan dikelilingi bantal tinggi sebagai benteng sejak jam 5 petang.
“Sekitar jam 5.30 petang, pengasuh bayi itu, seorang wanita berusia 24 tahun ada menjenguk di bilik dan dapati mangsa masih tidur dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun kali kedua menjenguk lebih kurang jam 6.15 petang didapati bayi itu telah jatuh dengan kepala berada dalam tong sampah, kejadian itu tidak disedari kerana tiada sebarang bunyi tangisan kedengaran,” katanya.
Menurutnya, bayi terbabit telah diasuh di rumah itu sejak berusia 30 hari dan dikatakan baru sahaja pandai merangkak.
“Tiada sebarang kesan penderaan atau kesan lain pada tubuh bayi itu, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kelemasan,” katanya.
A Asmadi berkata, lokasi kejadian iaitu sebuah rumah lot satu tingkat dengan lima bilik telahpun dilawati polis.
“Pengasuh terbabit telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI