Bayi Anda Ada Ekzema? Tolong Elak 7 Makanan Pencetus Gatal Ini

Share

Bayi yang mengalami masalah kulit seperti ekzema sememangnya merisaukan mama dan papa. Hal ini kerana mereka cukup sensitif dengan perubahan cuaca, pemakanan dan kebersihan persekitaran yang mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

Secara umum, penyakit kulit seperti ekzema sememangnya menjadi lumrah bagi bayi kecil. Ekzema ialah keadaan kulit yang kering dan gatal pada satu jangka masa tertentu. Penyakit ini biasanya menyerang si kecil berusia bawah dua tahun. Realitinya ekzema sememangnya tidak dapat dipulihkan, tetapi  dapat dikawal dengan mengelakkan faktor pencetus, menjaga pemakanannya dan memastikan kulitnya sentiasa lembap.

Ekzema juga dikenali sebagai ekzema atopik atau dermatitis. Atopik bermakna kecenderungan mendapat penyakit seperti ekzema, asma dan alergi. Kesannya adalah sama iaitu kulit kering, gatal, merah dan merekah. Pada situasi tertentu ia yang kadangkala bernanah dan berdarah.

Lokasi tumpuan ekzema lazimnya  ialah tangan, muka, leher, siku dan belakang lutut. Perlu diketahui bahawa ekzema menyebabkan kulit tidak dapat berfungsi secara normal. Penyakit ini membuatkan kulit bayi anda lebih senang diserang infeksi dan alergi yang boleh membuat keadaan lebih teruk.

SIAPA BERISIKO MENDAPAT EKZEMA?

Punca terjadinya ekzema tidak diketahui tetapi masalah kulit ini lazimnya berlaku dalam keluarga tertentu dan mempunyai perkaitan genetik dan sejarah keluarga yang kuat bagi penghidap tiga penyakit iaitu ekzema, asma dan demam (hay fever) atau dikenali sebagai atopic triad. Hubungan kekeluargaan pada peringkat pertama dan kedua yang menghidap salah satu dari tiga penyakit ini akan memiliki risiko untuk dijangkiti sama ada ekzema atau asma.

Ekzema menyebabkan kulit bayi anda mungkin bertompok-tompok merah dan sering gatal. Namun pada masa-masa tertentu radang tersebut boleh menjadi lebih teruk dan mungkin memerlukan rawatan yang lebih intensif. Pun begitu, ibu bapa boleh bertindak mengawal punca yang mencetuskannya seperti pemakanan, keadaan sekeliling yang bebas habuk dan mengelakkan kulit mereka kering dengan menggunakan produk penjagaan diri seperti losen dan krim yang bersifat organik.

MAKANAN YANG PERLU DIELAKKAN

Bagi bayi yang disahkan mempunyai ekzema, lebih baik anda jauhi daripada makanan yang mencetuskan kegatalan. Bagi bayi yang masih di bawah enam bulan dan menyusu susu ibu, si ibu yang perlu mengelakkan mengambil makanan ini. Cari makanan pengganti yang mempunyai khasiat yang sama.

  1. Susu lembu
  2. Telur
  3. Kacang tanah
  4. Tepung gandum
  5. Ikan yang gatal seperti ikan tongkol, ikan bilis dan sebagainya.
  6. Udang, sotong dan kerang-kerangan .
  7. Soya dan produknya.

Published by
Azma ML