Bayi Baru Lahir Memang Cute! Walau Pun Geram, Elak Gomol & Cium, Boleh Menyebabkan Jangkitan Kuman

Share
Elakkan daripada mencium, gomol atau sentuh bayi kecil, tidak kira anda sihat atau tidak. Jaga adab dan tingkah laku semasa kunjungan beraya. Apatah lagi kalau melawat baby newborn & ibu bersalin. Bukan apa, apa yang anda lakukan mungkin boleh memudaratkan bayi!
Tidak dinafikan bayi kecil memang comel dan boleh buat kita geram. Bau wangi dan segala tentang mereka cukup indah hingga buat hati menjadi sayang. Tindakan mencium bayi terutama yang baru lahir patut dielakkan, tambahan pula jika anda tidak tahu tahap kesihatan dan kebersihan diri ketika itu.
Bayi dan kanak-kanak sedang memperkuat sistem pertahanan tubuh. Bayi pada bulan pertama kehidupan mempunyai sistem imun yang tidak cukup untuk menangani virus tertentu dan apabila mereka dijangkiti ia akan cepat merebak melalui aliran darah dan menjangkiti banyak organ. Tambahan lagi sekiranya bayi tersebut lahir pramatang. Ini antara sebab kenapa bayi perlu disusukan dengan susu ibu untuk menguatkan antibodi badan.
JANGKITAN MUDAH BERLAKU
Sebilangan besar punca jangkitan kepada bayi ialah daripada bakteria dan virus. Seperti baru-baru ini berlaku di Kanada di mana bayi kecil dijangkiti viral meningitis yang disebabkan oleh virus HSV-1 yang mengakibatkannya meninggal dunia.
Ibu bapanya tidak tahu yang anak mereka telah dipegang/ dicium oleh seseorang yang mengalami herpes simplex virus type 1 pada sekitar mulutnya. Jangkitannya tidak memudaratkan orang yang dijangkiti tetapi boleh merebak menerusi apa yang dicium dengan mulutnya atau melalui sentuhan daripada tangan yang dilekati virus terbabit.
Semoga ia menjadi iktibar agar tidak sewenang-wenangnya mencium atau memegang bayi sekiranya anda tidak tahu tahap kebersihan dan kesihatan diri ketika itu.
JAGA ADAB
Tingkah laku ini mungkin agak sukar untuk diterapkan dalam masyarakat yang sudah terbiasa dengan tabiat suka mencium, menyentuh dan ‘membelek’ bayi kecil semasa melawat/ berjumpa.
Kesedaran perlu dipertingkatkan semoga apa yang salah tidak dibiasakan. Senoleh-bolehnya jangan melawat bayi kecil sekiranya anda sedang sakit. Namun jika tidak dapat dielakkan, pakai topeng muka dan jangan lupa pakai hand sanitizer. Elakkan sama sekali diri anda daripada menyentuh bayi.
IBU BAPA & KELUARGA MAIN PERANAN
Jika sekiranya anda sebagai ibu bapa kepada bayi baru lahir, beritahu ahli keluarga atau rakan-rakan yang ingin melawat supaya memaklumkan sebelum datang. Tanya keadaan kesihatan mereka, sekiranya kurang sihat, beritahu agar jangan menyentuh bayi.
Sediakan peralatan seperti topeng, hand wash dan hand sanitizer untuk tetamu sebagai langkah berjaga-jaga. Terangkan sebab apa anda tidak boleh berikan tetamu menyentuh/ memegang bayi.
Penerangan dengan cara yang baik dan lemah lembut tentu tidak menyentuh hati tetamu terutama sekali yang lebih tua. Anda juga dinasihatkan agar memastikan bayi mengambil suntikan vaksin yang dijadualkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.

 

Anak belum lancar membaca? Belajar cara mudah nak ajar anak tanpa perlu rasa stres, daftar secara percuma di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-cepat-belajar/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa