Pada usia 6 bulan bayi mula diperkenalkan dengan makanan pejal. Kebanyakan bayi akan mula dibiasakan dengan makanan jejari ketika umurnya 8 bulan. Pada umur ini, bayi biasanya telah menguasai kemahiran memegang dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
Makanan jejari sebenarnya membantu menggalakkan kemahiran dan memperbaiki koordinasi antara tangan dan mulut bayi. Makanan jejari yang anda sediakan akan menjadi bahan menarik untuk dia belajar kemahiran baru.
Namun begitu, ramai ibu yang khuatir untuk memberi makanan jejari sekiranya bayi belum tumbuh gigi. Untuk makluman, bayi yang tidak bergigi akan menggunakan gusinya yang keras untuk mengunyah makanan jejari tersebut.
Jenis makanan yang boleh diberi sebagai makanan jejari amat mudah disediakan. Tidak semestinya anda membeli biskut jejari yang sedia dijual di pasaran. Adalah lebih baik anda menyediakannya sendiri di rumah. Bukan sahaja lebih murah dan bersih. Lebih daripada itu, ia lebih berkhasiat! Anda juga dapat mempelbagaikan tekstur, warna dan rasanya yang amat bagus untuk penggunaan deria bayi.
Info perlu tahu makanan jejari
Antara makanan yang sesuai dijadikan makanan jejari adalah sayur-sayuran seperti brokoli, ubi keledek, ubi kentang dan labu. Buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, betik dan mangga. Sumber protein seperti tauhu dan ayam. Karbohidrat seperti roti dan biskut.
Sayur-sayuran atau buah-buahan yang hendak anda berikan kepada bayi sebagai makanan jejari hendaklah dipotong memanjang 2 – 3 inci dengan ketebalan lebih kurang 1/2 inci. Makanan ini boleh anda kukus atau rebus. Pastikan makanan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Buah-buahan seperti pisang, betik dan avokado pula boleh diberi mentah.
Perkenalkan makanan jejari satu demi satu, tambah jenis yang lain secara perlahan-lahan. Jika bayi tidak menyukai sesetengah jenis makanan, teruskan mencuba dan tunggu sehingga dia bersedia.
Gunalah kreativiti anda untuk menarik perhatiannya. Anda boleh juga buat bahan pencicah (dip) yang bersesuaian dengan selera anak. Diharapkan rasa yang pelbagai akan membuatkan anak anda suka dengan makanan jejari yang disediakan.
Jika bayi sedang melalui proses pertumbuhan gigi, beri dia makanan yang sejuk bagi melegakan gusinya yang gatal dan tidak selesa itu. Antara makanan yang boleh diberi ialah tembikai atau pisang yang dibekukan.
Anda harus selalu perhatikan bayi ketika dia makan makanan jejari. Pastikan dia duduk dengan tegap, bukan berbaring atau meniarap. Hal ini boleh menyebabkan bayi tercekik! Elakkan juga daripada meninggalkan bayi ketika dia makan makanan jejari berseorangan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI